SEGENGGAM TABAH
Saturday, February 04, 2012 by MAWAR BERDURI in

Hari ini, genap seminggu arwah Abang (panggilan untuk arwah adik) menemui Allah swt. Keadaan di rumah cuba dikembalikan seperti biasa. Senyuman yang agak pahit pada mulanya, dipaksa untuk dimaniskan. Bukan suatu yang mudah buat aku yang sempat menghabiskan hidup bersama dengan Abang selama 17 tahun. Daripada mula mengenal dunia sehinggalah mampu menjadi imam buat kami sekeluarga. Masih terbayang akan alunan Surah Al-Baqarah yang dibacanya ketika mengimamkan kami Solat Isyak malam sebelum beliau pergi menemui Rabbul Izzati. Suara yang pasti aku rindui buat selama-lamanya. Aisy, mengalir pulak air mata ni.

Alhamdulillah, kehadiran ramai tetamu semasa urusan pengebumian arwah teramat memberi kesejukan di hati kami. Solat jenazah dilakukan tiga kali jemaah di rumah dan sekali di kubur arwah (solat jenazah ghaib) menunjukkan kasihnya Allah swt kepada kami. Jemaah yang datang daripada pelbagai peringkat benar-benar mengharukan aku. Daripada pimpinan DUN sehinggalah kepada sahabat-sahabat yang datang dari jauh. Sungguh, hanya Allah swt yang layak mengganjari kalian dengan sebaik-baik ganjaran. Dan inilah juga kali pertama aku solat jenazah, bersama-sama di saf Muslimat. Hadiah yang mampu aku berikan sebelum arwah keluar dari rumah kami buat selama-lamanya.


Aku tidak berniat menulis panjang, cuma ingin mengucapkan jutaan terima kasih buat insan-insan yang sudi mendengar esak tangisku, sudi berada di sisi aku dari awal sehingga akhirnya. Maafkan aku kerana aku tidak mampu berbuat demikian pada ahli keluargaku. Mereka butuhkan sedikit ketabahan aku untuk terus tabah menghadapi ujian Allah swt. Anak sulung, yang perangainya persis arwah Abang. Hanya pada Mu jua tempat kami bergantung, Ya Allah. Innalillahi wainna ilaihi rajiun.

p/s: Ya Allah, tempatkanlah adikku bersama-sama para shuhada' dan para solehin.

My photo
Menitikberatkan perjuangan yang jitu semata-mata berlandaskan jalan kebenaran meskipun kemenangan bagaikan sukar untuk dicapai.

...