BENARKAN KAMI BERSUARA!
Sunday, February 05, 2012 by MAWAR BERDURI in

Baru-baru ini, hmm bukan, awal tahun yang lalu, negara kita digemparkan dengan kisah seorang hero, aku kira. Adam Adli. Muda orangnya. Biarlah aku dicop sebagai orang yang agak terlambat untuk menyuarakan isu ini, namun aku tidak mahu ketinggalan untuk menyatakan kebersamaan aku dengan beliau, Safwan Anang dan sahabat-sahabat serta perjuangan mereka. Selagi mana aku yakin apa yang mereka perjuangkan masih dalam lingkungan syariat. Apa yang pasti sejak dari kisah penurunan bendera sehinggalah saat beliau digantung dari universiti, aku sentiasa mengikuti kisah beliau dan rakan-rakan. Dalam keterujaan aku mendengar kisah Adam, aku terimbas suatu kisah yang aku alami ketika aku masih di Kolej Mara Seremban (KMS). Di usia 19 tahun, jika aku tidak silap. Menjadi satu kenangan yang tidak dapat aku lupakan. Di saat aku mula belajar untuk menjadi matang, pada perkiraan aku.

.......................................................

PROSTAR. Apa kebendenya nih? Program Sihat Tanpa Aids untuk Remaja. Semua pelajar yang tinggal jauh (dari Negeri Sembilan), diwajibkan untuk menyertai salah satu program anjuran PROSTAR di Kolej Mara Banting (KMB). Dalam hati, aku mula berasa sedikit tidak sedap hati. Di saat orang lain boleh menikmati cuti bersama keluarga, aku dipaksa untuk menyertai program yang tiba-tiba. Tak adil! Tambahan pula, pada kertas senarai nama peserta yang ditampal pada papan kenyataan, terdapat sedikit nota berbaur ugutan bagi mana-mana peserta yang ponteng. Beberapa rakan aku sudah mula merancang untuk melarikan diri. Pelbagai strategi sudah dirancang. Memandangkan aku yang mempunyai saki baki perangai skema (hasil didikan waktu sekolah), pergilah aku dengan hati yang tidak rela. Dalam keterpaksaan, aku mempositifkan diri. Pasti ada sesuatu yang dapat aku peroleh di sana. Dapat juga aku menjengok KMB.

Sampai di sana, aku menerima tentatif sambil aku memerhatikan peserta. Owh, program kebangsaan yang disertai oleh semua pelajar dari Kolej Mara dan Kolej Profesional Mara seluruh Malaysia. Aku mula mencari-cari figures yang mungkin aku kenal. Ada seorang dua yang aku jumpa. Namun tidak sempat beramah mesra memandangkan peserta yang ramai memenuhi setiap ruang program. 

Dipendekkan cerita, aku dan geng-geng dari KMS mengambil keputusan untuk ponteng pada slot-slot tertentu. Ops, geng-geng perempuan sahaja. Kami susun giliran. Slot ni, kau yang pergi. Slot ni, aku yang pergi. Tiap-tiap malam sepanjang program kami adakan liqa', sesi melaporkan apa yang terjadi pada setiap slot.

Tiba di suatu malam, aku tidak pasti apakah malam terakhir. Ya, yang terakhir sebelum esoknya Majlis Perasmian Penutup bersama Timbalan Menteri Pengajian Tinggi. Kami diminta untuk ke dewan besar. Dan yang bestnya, disebabkan ini slot terakhir, kami semua membuat keputusan untuk pergi. Tidak ada giliran kali ini. Sesampainya di dewan, semua peserta diminta untuk duduk di atas lantai. Seolah-olah program santai bersama artis. Tiba-tiba, seorang pakcik, tidak aku ingat apa namanya, mengambil alih majlis. Kata beliau, dia ada tauliah untuk bercakap pada malam itu. Dan sebaik sahaja dia memegang microphone, bermulalah sesi yang membuatkan aku rasa bagai mahu menembak pakcik tu dengan senapang gajah. Nak tahu kenapa? Apa bertuliahnya seorang Islam nak mendidik orang Islam yang lain, tetapi menggunakan perkataan-perkataan dan contoh-contoh yang sangat tak senonoh?! Ya, mungkin ini program antiAids, namun aku yakin semua yang hadir sudah faham jika disebut sesuatu perkara yang berkaitan secara general. Tidak perlu se'details' itu!


Pada mulanya aku cuba bertahan. Sekali lagi cuba mempositifkan diri. Tetapi, apabila dua tiga kali apa yang disampaikan hanya menjadi bahan gelak dan lelucon dari para peserta, aku naik marah. Ni ceramah apa ni? Tanpa buang masa, di kala semua peserta masih duduk di atas lantai, aku berlari keluar dewan. Air mata aku mengalir. Mengalir kerana menahan amarah. Rakan-rakan KMS mula memerhatikan tindakan aku. Sampai di luar dewan, aku menangis, semahu-mahunya. Melepaskan geram. Tidak lama kemudian, seorang sahabat aku juga keluar. Sahabat seusrah. Kami menangis bersama-sama. Tidak ada apa yang mampu kami lakukan ketika itu. Orang perempuan, takde lain. Menangis jelah kerjanya. Gembira  menangis, sedih menangis. Marah pun menangis. Akhirnya, kami berdua membuat keputusan untuk melarikan diri. Ponteng, bahasa mudahnya. Kami menuju ke surau setelah menyusup keluar dari kawasan dewan melalui longkang besar di tepi dewan. Sampainya di surau aku mengambil mushaf al-Quran. Cuba untuk menenangkan diri dari rasa marah dan geram yang bercampur baur. Dalam lebih kurang setengah jam atau sejam selepas itu, kami terdengar suara orang memanggil-manggil nama kami. Aik, siapa pulak ni?

Tiba-tiba seorang fasilitator lelaki cuba untuk bercakap dengan aku. Aku tunjukkan muka tidak puas hati. Aku minta dia tunggu di luar. 

"Ni kawasan solat Muslimat! Tak boleh bagi salam dulu?!"

Mungkin disebabkan aku berkeras, datanglah kemudiannya seorang makcik. Semua orang memanggilnya ibu. Dia yang merupakan pengarah program cuba bercakap dengan aku. Akhirnya, hati aku sedikit lembut.

"Ibu, saya tak rasa program ni dapat mengelakkan para peserta dari AIDS, tetapi lagi menggalakkan mereka kepada AIDS. Dah la program bercampur baur lelaki dan perempuan. Siap ada sesi menari poco-poco yang macam pesta tari-tarian. Bahasa dalam ceramah pun, saya tak tahu nak cakap macam mana. Kalaulah program ni diadakan lagi tahun depan, saya memang tak bagi adik-adik saya (junior KMS) datang. Saya minta maaf."

Makcik tu diam je apabila aku dengan enaknya meluahkan rasa tidak puas hati. Dia pujuk kami sekali lagi ke dalam dewan. Kalau tak mahu join, jadi pemerhati katanya. Sesampainya kembali aku ke dewan, aku lihat beberapa kawan aku juga sedang berdiri di belakang. Aku terkejut namun aku simpankan dulu pertanyaan-pertanyaan aku. Malam ni kita kena semua kena jumpa lagi. Rupa-rupanya ada lagi yang lebih pantas. Guru kaunseling meminta kami berjumpa dengannya sebaik sahaja habis program. Aku tidak pasti sama ada beliau berada di sebelah pihak kami atau di sebelah pihak penganjur. Tapi, yang pastinya, malam itu juga aku mengetahui sebab kawan aku berada di belakang dewan. Dia dituduh pernah berzina!! Sebab bagaimana dia dituduh sedemikian, aku lupa. Allah, haru sungguh. Memang dahsyat program ni. Dan baru aku tahu, rupa-rupanya fasi-fasi telah mencari aku di seluruh KMB sebelum menemui aku di surau. Nasib korang la. KMB tu luas kut.

Esoknya, kami terasa bagai disindir sewaktu taklimat akhir majlis penutup. Kami akhirnya pulang dalam keletihan. Letih dalam belajar mematangkan diri.   

.............................................................


Apabila hari ini, mahasiswa kembali bangkit setelah sekian lama tidur, ramai yang bersuara. Biadab kata mereka. Kami dah lebih makan garam. Orang suruh belajar, dia pergi berdemo. Dan macam-macam lagi kata nista ditujukan pada anak-anak muda yang bangkit. Pakcik, makcik jangan dituduh mereka sedemikian rupa. Adalah lebih baik dilihat terlebih dahulu punca mereka bersuara sedemikian. Dan kita kena sama-sama ingat, guru yang paling baik adalah pengalaman. Pengalaman itu bukanlah sesuatu yang dapat diperoleh melalui buku mahupun diajar oleh sesiapa. Tetapi, pengalaman itu adalah sesuatu yang dirasai dan dialami sendiri oleh seseorang. Proses yang pembelajarannya membentuk manusia menjadi manusia dan bukannya robot yang boleh diperkotak-katikkan. Jika aku sebelum ini agak memilih untuk menyuarakan isu, insha Allah, selepas ini aku akan lebih terbuka pada perkara yang sepatutnya. Dalam usaha untuk aku mematangkan diri, menghadapi pancaroba dunia yang penuh dengan mehnah dan ujian. Ya Allah, pimpinlah aku menuju redhaMu.

p/s: Sedang menghitung hari......

My photo
Menitikberatkan perjuangan yang jitu semata-mata berlandaskan jalan kebenaran meskipun kemenangan bagaikan sukar untuk dicapai.

...