....

Isnin, Februari 08, 2010

PEDIHNYA MUJAHADAH INI

Hari-hari yang berlalu,
Tiada mungkin akan kutemui lagi,
Peritnya hati menanggung dosa di hati,
Lantaran dunia mengaburi jiwa yang sepi.

Mudahnya aku tewas,
Di jalan mujahadah ini,
Yang sememangnya penuh dengan liku cabaran yang menanti,
Di manakah jiwaku yang kental dahulu,
Di manakah janjiku yang setia dahulu,
Untuk terus menongkah arus perjalanan ini,
Untuk terus mencari cintaMu Ya Rabbi.



Aku kini,
Mengenang kembali,
Akan kenangan di jalan mujahadah dahulu,
Kerinduanku akan nikmat perjuangan itu,
Disebalik keperitan yang kualami,
Membawaku bertemu redha Mu, Ya Ilahi.

Apakah masih ada buatku peluang itu?
Untuk aku kembali ke perjuangan diri,
Menentang cinta duniawi,
Yang hanya penuh dusta buat diri,
Cinta manusia,
Cinta harta,
Cinta yang palsu semata-mata,
Yang tidak menjanjikan apa-apa,,
Di akhirat yang setia menanti.

Entah kenapa,
Di saat kekusutan ini,
Dapat ku lihat,
Masih ada sinar buat diri ini,
Untuk kembali ke mujahadah diri,
Agar dapat ku temui,
CintaMu Ya Rabbul Izzati,
Hidayah Allah peneman diri.

Kuatkanlah dirimu,
Cekalkan hatimu,
Sabarkanlah jiwamu,
Di medan perjuangan ini,
Wahai mujahidah Islam yang sejati,
Sesungguhnya,
Janji Allah,
Itulah yang dinanti,
Di syurga yang kekal abadi.

Nukilan: Mawar Berduri

Selasa, Februari 02, 2010

JOM MEMASAK...

Tidak tahu mengapa kali ini ana ingin berkongsi mengenai falsafah memasak. Ya. Memasak yang selalu disinonimkan dengan golongan hawa. Ana rasa dalam banyak-banyak kerja rumah yang perlu dibuat memasaklah yang paling banyak memberikan kepuasan. Mana tidaknya, memasaklah satu-satunya kerja yang tidak memerlukan pengulangan kerja yang sama jika dibandingkan dengan mengemas, menjemur kain dan kerja-kerja lain yang biasa dilaksanakan di rumah. Hari ini masak nasi ayam. Esok pastinya lauk lain yang menanti. Apa yang pasti, dengan memasak kita mampu meransang sel-sel otak untuk terus bergiat secara kreatif dan kritis.

......................................

Sup tulang

Mungkin sesetengah daripada kita memandang isu memasak ini tidak relevan untuk diperkatakan memandangkan bercambahnya restoran-restoran yang menyediakan juadah yang pelbagai jenis. Tinggalnya, pilih sahaja yang mana satu. Kalau tidak pun diserahkan tugas ini kepada bibik. Namun demikian, pernahkan kita terfikir akan isu kekeluargaan yang sudah kerap diperkatakan hari ini ada kaitannya juga dengan memasak? Walaupun impaknya mungkinlah tidak sebesar hal yang lain, namun sedikit sebanyak, elemen memasak ini mampu membantu dalam membentuk kondisi kasih sayang di dalam sesebuah keluarga lantas menjadi salah satu faktor yang mendorong ke arah kebahagiaan.

"Umi, hari ini umi nak masak apa ye?" tanya si anak pada ibunya. Lantas dijawab dengan penuh kasih sayang oleh si ibu, "Hari ini umi nak masak laksa Penang. Muhammad suka tak?" Dijawabnya kembali oleh si anak, "Mestilah suka, sebab umi yang masak. Umi masak sedap-sedap ye."

"Wah, sedapnya. Kalau hari-hari macam ni, gemuklah abang,"bicara seorang suami terhadap isterinya di meja makan. Si isteri merah pipinya menahan malu kerana dipuji oleh suaminya di hadapan anak-anak.

Laksam Ganu memang best

Perbualan ini hanya mampu dizahirkan oleh mereka yang memandang tinggi akan perihal memasak dan melaksanakannya dengan ikhlas. Memasak dan kasih sayang di dalam sesebuah keluarga merupakan antara amalan yang telah diwariskan oleh nenek moyang kita dan menjadi petua pengikat kasih sayang keluarga bagi masyarakat Melayu suatu ketika dahulu. Tidak hairanlah jika dilihat masalah rumahtangga amat jarang untuk diperkatakan suatu ketika dahulu.

Suasana yang serba maju hari ini melihat akan penterlibatan kaum hawa di medan pekerjaan. Kesibukan bekerja mungkin menjadi alasan untuk menafikan amalan yang dibincangkan ini. Tidak. Cubalah untuk tidak menjadikan ini sebagai alasan. Jika tidak mampu untuk menjadikannya sebagai amalan wajib setiap hari, laksanakanlah pada setiap hujung minggu atau pada waktu jika ada kelapangan. Mustahillah tiada cuti dalam seminggu, hatta sesibuk seorang doktor pun ada shifnya (mungkin waktu housemanship dapat dikecualikan). Janganlah kerana sibuk mencari rezeki, perkara yang penting kita gadaikan.

Mungkin pula ada yang menyatakan, "Kalau macam tu, perempuan tak payah bekerjalah?" Bukan dan ana menafikannya. Soal bekerja atau tidak itu terpulang pada masing-masing. Soalnya di sini ialah perihal kesungguhan untuk meluangkan masa bagi menjalinkan kasih sayang terhadap ahli keluarga melalui salah satu mediumnya iaitu memasak. Dan yang pastinya hendak seribu daya, tidak mahu seribu dalih.

Ana suka untuk memberikan contoh daripada salah seorang sahibah yang merupakan seorang doktor gigi di sebuah hospital kerajaan. Ana memanggilnya Mak Cik Laila. Jika kita bayangkan kesibukannya memanglah ana tidak dapat nafikan apatah lagi tempat kerjanya adalah di hospital kerajaan. Namun, apa yang ana kagumi ialah kemampuannya untuk meluangkan masa bersama-sama dengan anak-anak di hujung minggu malah mampu untuk memasak untuk mereka. Ya, ini memang benar-benar berlaku dan merupakan suatu yang realiti.

Kesimpulannya, apa yang ingin ana tekankan dalam perkongsian ini adalah kesungguhan untuk menunaikan amanah dalam baitul muslim yang dibina. Fitrah seorang isteri mahupun ibu untuk lebih rapat dengan anak-anak usahlah kita nafikan. Memasak mungkin suatu elemen yang kecil namun hakikat disebaliknya adalah besar iaitu kepentingan menyalurkan fitrah keimanan kepada ahli keluarga dan soal keberkatan yang dipandang enteng oleh kita semua. Peringatan ini yang pentingnya berbalik kepada ana yang serba lemah ini dan diharapkan mampu menjadi perkongsian buat sahabat sekalian. Mungkin sebagai perkara untuk difikir-fikirkan sebelum pembinaan masjid dijalankan. Sekian untuk kali ini. Jom kita fikirkan.

p/s: credit to all sisters kat oversea... memasak dah jadi sesuatu yang perlu... buat adik-adik yang sedang cuti spm, jangan lupe belajar memasak juga ye... jangan asyik ambil lesen je..

Rabu, Januari 20, 2010

PANJANG HARAPAN

Pernah suatu ketika ana memasang cita-cita untuk memiliki sebuah rumah persis yang dipaparkan dalam sebuah drama Korea. Itupun setelah ana menjumpai sebuah rumah yang menyerupainya dalam sebuah majalah hiasan yang agak terkenal di negara kita. Ana mula memikirkan bentuk lanskapnya, luas ruang tamunya dan banyak lagi angan-angan yang telah berjaya dicipta oleh musuh utama manusia yang beriman, syaitan yang pastinya. Namun demikian dengan izin Allah, tidak lama selepas itu, ana telah terpanggil untuk membelek sebuah kitab nukilan Imam Habib Abdullah Haddad, 'Nasihat Agama dan Wasiat Iman'. Sedang asyik membelek, mata ana terpempan pada salah satu tajuk risalah beliau iaitu 'Bahaya panjang harapan'.

Dalam nasihat itu, ana telah ditegur melalui tulisannya akan bahayanya meletakkan suatu keyakinan bahawa kita akan kekal hidup di atas dunia yang fana ini sehingga perasaan itu mengusai hati. Ana mengakui akan kata-kata beliau. Betapa sibuknya kita dalam mengatur kehidupan kita pada masa akan datang membuatkan kita lupa akan persediaan untuk mengahadapi saat kematian yang mungkin berkunjung tiba bila-bila masa. Dalam erti kata lain, betapa larutnya kita di dalam angan-angan yang mungkin hanya menjadi seperti angan-angan Mat Jenin sehingga melupakan akan kepastian yang akan berkunjung tiba.

Rasulullah saw pernah mengingatkan kita dalam sabdanya yang berbunyi: "Orang yang pertama-tama terselamat dari umat ini ialah dengan zuhud dan yakin. Dan yang terakhir binasa pula ialah dengan cintakan harta benda dan panjang harapan."

Jika kita renungkan, adakah jika ajal menjemput kita seminit selepas ini, kita mampu untuk merasai haruman syurga Allah swt? Atau adakah bakaran api neraka yang bakal menanti kita? Nauzubillahi min zalik.. Teringat ana akan salah satu wasiat dari Imam Ghazali akan perkara yang paling hampir dengan diri kita iaitu tidak lain tidak bukan panggilan dari kubur.

Semoga cita-cita adindaku ini untuk menjadi jurutera yang huffaz sentiasa dalam redha Allah swt dan dipermudahkan olehNya.

Menghindari angan-angan atau memendekkan harapan bukanlah bermaksud kita dilarang untuk memasang impian mahupun cita-cita. Namun demikian, semua itu seharusnya diselaraskan semata-mata untuk mengharapkan keredhaan Allah ditambah nilaikan dengan usaha gigih yang dilakukan tanpa meminggirkan doa dan tawakkal ke hadrat Allah swt.

Di samping itu ingatlah pesan Allah swt dalam firmanNya yang bermaksud, " Janganlah engkau menumpukan perhatianmu kepada kesenangan yang telah Kami berikan kepada beberapa golongan antara mereka sebagai keindahan hidup di dunia, kerana Kami mahu menguji mereka di dalamnya, dan rezeki (pemberian) Tuhanmu adalah lebih baik dan kekal."
(Surah Taha:131)

Akhir kata, semoga Allah swt memberikan kekuatan untuk kita mengamalkan segala perintah Nya. Insya Allah...

p/s: Bekerjalah untuk dunia seolah-olah kita tidak akan mati selama-lamanya. Dan bekerjalah untuk akhirat seolah-olah ajal menunggu kita di hari esok.

Sabtu, Januari 16, 2010

SEINDAH HIASAN



Wanita solehah. Untuk mencapainya tidaklah semudah untuk menyebutnya. Ayuh kita singkapi sirah para sahabiah di zaman Rasulullah saw dan para sahabat. Betapa gigihnya usaha mereka untuk mencapai redha Allah. Segala penat dan derita sanggup ditelan lantaran kecintaan terhadap Maha Pencipta mengatasi segala-galanya. Kesetiaan seorang isteri bernama Saidatina Khadijah di sisi suami tika baginda dicerca dan dihina membuatkan Rasulullah saw menangisi pemergiannya. Lihatlah kehidupan Saidatina Fatimah dan suaminya yang langsung tidak berjaya dijengah dengan cinta duniawi. Bagaimana pula dengan Saidatina Aisyah yang tiada sedikitpun ungkapan mengeluh tatkala suami tercinta sibuk memperjuangkan agama Allah swt, dan yang pastinya ramai lagi sahabiah-sahabiah yang sanggup berkorban untuk mencapai martabat sebagai seorang wanita solehah. Berikut ana senaraikan antara ciri-ciri wanita solehah yang mungkin dapat kita jadikan panduan untuk sama-sama kita merasai nikmat syurga di akhirat nanti.. Insya Allah..

1-Mencintai Allah swt dan Rasul- prasyarat utama untuk menjadi mukminah sejati
2-Mentaati kedua ibu dan bapa - bukan pada suruhan ke arah kemunkaran dan khusus untuk yang belum memasuki alam baitul Muslim
3-Mentaati suami dan menguruskan rumahtangga - khusus untuk yang sudah membina masjid dan hanya pada perkara yang makruf sahaja
4-Berpakaian menutup aurat sebagaimana yang telah disyariatkan - juga sebagai tanda ketaatan terhadap perintah Allah swt.
5-Menjaga batas pergaulan - sama seperti di atas iaitu sebagai tanda ketaatan terhadap suruhan Allah swt.
6-Bersahabat dengan wanita solehah - untuk turut merasai haruman minyak wangi dan bukannya percikan besi

p/s: Wanita adalah hiasan dunia yang mempunyai fitrah keindahan yang tiada tolok bandingannya pada pandangan insan yang akur akan ciptaan Allah swt. Usahlah kita cacatkan keindahan ini dengan kerendahan akhlak yang membuatkan kita hina di akhirat kelak.

Rabu, Disember 16, 2009

JARUM KEROSAKAN

Hmm.. Rasanya, sudah hampir seminggu ana tidak menjengah blog ni. Maklumlah, bila berada di samping keluarga ni, apa yang tidak sibuk, disibuk-sibukkan. Alhamdulillah, ana masih berkesempatan untuk merasa nikmat berkeluarga jika dibandingkan dengan anak-anak Palestin yang sudah kehilangan ibu dan bapa di usia yang masih kecil.

........................................



Baru-baru ini ana sempat berbincang mengenai sirah Rasulullah saw bersama-sama dengan adik-adik ana dan kedua ummi dan abi setelah menunaikan solat Isyak berjemaah. Ana tertarik untuk mengenengahkan salah satu daripada isu yang dibincangkan iaitu mengenai significantnya peristiwa Rasulullah saw ditidurkan oleh Allah ketika hendak melihat suasana hiburan di kota Mekah. Walaupun berulangkali mencuba untuk ke sana, namun dengan izin Allah swt, Rasulullah saw tetap dipelihara oleh Allah daripada perkara yang boleh merosakkan hati baginda yang suci bersih itu. Abi meminta kami cuba memikirkan apakah yang dapat dilihat daripada peristiwa tersebut di mana pada akhirnya dapatlah dirumuskan betapa besarnya hikmah peristiwa tersebut terutamanya dalam dunia yang penuh dengan kuasa hedonisme ini.

Jika kita fikirkan, tujuan Rasulullah saw pada ketika itu hanyalah untuk melihat dan mengkaji apakah yang sebenarnya berlaku pada majlis hiburan tersebut. Tidaklah baginda berniat untuk turut serta menghiburkan diri dengan perkara-perkara yang melalaikan itu. Namun demikian, betapa besarnya kuasa Allah untuk mengajar kita sebagai seorang manusia yang lemah agar jangan sekali-kali kita mencuba untuk mendekati sesuatu yang haram itu meskipun hanya sekadar untuk memerhati. Subhanallah.. Ana mula membayangkan akan kehidupan ana di tengah kota yang dikelilingi dengan perkara-perkara yang mungkin membawa ana jauh dari landasan Islam.. Nauzubillah...

Abi juga cuba mengaitkan akan peristiwa ini dengan salah satu pengajaran yang telah disampaikan oleh seorang ustaz di kampung ana. Mesej yang disampaikan pada asalnya adalah untuk mereka yang telah bekeluarga namun ana merasakan mesej ini tetap ada relevannya buat sesiapa yang masih tidak mendirikan rumahtangga. Antara yang dapat ana petik ialah betapa perlunya seorang bapa atau seorang ketua keluarga itu untuk mengasingkan keluarganya daripada kerosakan yang berlaku dalam masyarakat yang ada di sekeliling. Dalam erti kata lain, konsep menguzlahkan diri sedikit sebanyak telah dikaitkan dengan perihal ini. Bagi konteks kita yang masih tidak memikul tanggungjawab berkeluarga dan situasi sekeliling kita yang penuh dengan masalah yang berlaku dalam masyarakat, adalah menjadi suatu keperluan untuk memastikan tidak ada secalit pun tempias kerosakan itu mengenai iman di dalam diri kita. Pergantungan yang tinggi pada Allah swt amatlah diperlukan dan carilah sahabat yang mampu membentuk ikatan aqidah dengan diri kiata agar jarum-jarum syaitan tidak dapat menembusi perisai iman yang telah dibina. Janganlah kita tersilap mengambil langkah yang akan menjerumuskan kita ke dalam azab api neraka Allah swt. Nauzubillahiminzalik..

p/s: Dulu-dulu rasa aman bila tinggal di kampung. Tapi sekarang, kat kampung pun ada mat rempit.. pening-pening..

Selasa, Disember 08, 2009

SELAMAT HARI TUA..

Terima kasih ya Allah, di atas nikmat yang telah Kau kurniakan buat hambaMu ini. Masukkanlah diriku dalam kalangan hambaMu yang bersyukur...

Memandangkan 8 Disember baru sehari berlalu, ana ingin mengucapkan jazakumullahu khairan katheera buat semua sahabat yang sudi mendoakan ana, insan yang kerdil di sisi Allah. Bimbangnya ana bila memikirkan apakah amalan yang mampu ana bawa seandainya maut menjemput ana pada saat ini. Apakah bekalan selama dua puluh tahun ana hidup di dunia ini mencukupi untuk ana bertemu dengan Allah? Ya Allah, permudahkanlah urusanku di dunia dan di akhirat..

...............................................................................


Sahabat seperjuangan: Dari kiri, Mizah, Amatillah, Wanie, Syibrah, Nisa, Fizah, Syahidani, Syuhadah


Kali ini ana teringin mengimbau kenangan kali pertama menyambut hari kelahiran bersama sahabat-sahabat di zaman sekolah. Ketika itu ana berada di dalam Tingkatan 5 SA1 dan tarikh lahir ana jatuh pada hari terakhir SPM. Maklumlah, kebiasaanya bulan Disember cuti sekolah. Sahabat-sahabat memberikan kejutan sebaik sahaja kami selesai menjawab kertas Pendidikan Syariah Islamiah.. Yang bestnye jugak, sahabat ana, Nisa n Syibrah sanggup membuat preparation dari rumah untuk dibawa ke hostel memandangkan paper diorang habis dulu.. Kegembiraan ketika itu menjadi dua kali ganda disebabkan SPM telah berakhir dan kebetulannya jatuh pada tarikh lahir ana.. Sempat juga kami merakamkan kenangan dengan handphone (sekolah bagi bawak sebab SPM). Rindu pulak kat sekolah..


p/s: bile pulak reunion kali ke seterusnya? rindu nak jumpa dengan sahabat satu sekolah..

Khamis, Disember 03, 2009

MESEJ BUAT KITA

Salam Aidiladha buat semua. Kemeriahannya sudah hampir seminggu ditinggalkan setelah umat Islam bersama-sama melaungkan takbir memuji kebesaran Allah pada 10, 11, 12 dan 13 Zulhijjah. Saban tahun kita meraikan kedatangan Aidiladha ini dengan penuh kesyukuran dan apa yang pasti kita akan diperingatkan dengan peristiwa dan mesej yang sangat berkait rapat dengan sambutan yang penuh dengan kebesaran Allah ini. Peristiwa yang berlaku di antara Nabi Ibrahim a.s dan Nabi Ismail a.s mungkin sudah larut dalam ingatan kita lantaran sering diperingatkan setiap tahun oleh khatib melalui khutbah yang disampaikannya. Bagaimana pula dengan mesej disebalik peristiwa yang berlaku dan hikmah ibadat haji dan korban itu sendiri? Adakah perihal ini sekadar larut namun tidak dicerna melalui penghayatan yang mendalam?

Suasana sewaktu Aidiladha baru-baru ini. Sampai sekarang ana tak mampu nak tengok darah banyak-banyak. Takut pitam...

Mengambil iktibar daripada peristiwa yang berlaku ke atas kedua-dua nabi Allah ini, ana terpanggil untuk membincangkan isu pengorbanan yang menjadi salah satu daripada mesej-mesej yang dapat kita kutip daripada hikmah Aidiladha. Hal ini mungkin sudah acap kali didengari oleh kita semua, namun mungkin tidak salah untuk ana memperingati diri ana yang penuh dengan dosa dan kelalaian ini, serta menjadi satu perkongsian buat sahabat sekalian. Apabila membicarakan soal pengorbanan ini, kita tidak akan lari daripada menyentuh isu pengorbanan seorang ayah terhadap keluangnya, seorang ibu yang bertungkus lumus membesarkan anaknya dan seorang guru yang sanggup menerangi kehidupan anak didiknya. Namun demikian, mungkin kita terlupa akan satu pengorbanan yang mungkin tidak mampu untuk dicapai oleh kita semua iaitu pengorbanan seorang Rasul untuk membawa nur ke seluruh dunia, menghilangkan dzulmat yang penuh dengan kejahilan.

Para sepupu sedang berseronok menikmati air laut. Nasib baiklah, ana ni dah tue. Kalau zaman mude-mude dulu, selalu jugak jadi jaguh air laut ni.

Duhai sahabat, sudilah kiranya jika kita sama-sama membayangkan betapa besarnya pengorbanan yang telah dilakukan oleh seorang insan bernama Muhammad bin Abdullah yang telah membawa cahaya Islam ke dalam kehidupan kita pada hari ini. Kesakitan yang dirasai ketika memikul amanah Allah ini langsung tidak melumpuhkan kekuatan iman dalam dirinya. Mampukah kita untuk merasai kesakitan balingan batu yang bertubi-tubi? Ataupun kuatkah kita untuk menahan segala cacian dan tohmahan? Bagaimana pula dengan ancaman bunuh yang menjadi penantian yang tidak diundang? Adakah kita mampu untuk menghadapi semua ini, sahabat? Inilah dia cabaran yang pastinya menanti kita wahai pejuang agama Allah. Mehnah dan trebulasi menjadi makanan yang pasti buat kita dalam membawa nilai pengorbanan untuk mengembalikan Islam agar kembali gemilang di atas muka bumi ini. Mungkin sukar untuk kita menelan segala kepahitannya. Namun, ingatlah. Syurga Allah sedang menanti dan yang pastinya inilah yang telah dirindui oleh si dia, kekasih Allah yang kita kasihi. Terima kasih wahai Rasulullah di atas pengorbananmu. Kami rindu padamu dan terimalah kami sebagai ummatmu di akhirat kelak.

Si cilik yang mewarnai Aidiladha.

Perjuangan dalam menegakkan syiar Islam dan pengorbanan merupakan dua aspek yang tidak dapat dipisahkan. Hal ini telah jelas ditunjukkan melalui firman Allah dalam surah As-Saff ayat 10 dan 11. Sirah yang menceritakan akan liku-liku perjuangan Rasulullah s.a.w dan para sahabat turut menjadi gambaran akan peritnya jalan yang menuju redha Allah. Yang pastinya, tiada jalan pintas untuk menuju destinasi ini dan ini adalah petanda bahawa besarnya nikmat yang bakal dirasai oleh mereka yang memilih untuk berada pada jalan perjuangan dengan keyakinan yang teguh pada janji Allah. Adalah mustahil untuk kita tidak tergelincir dalam menghadapi liku-liku tersebut. Oleh sebab itu, yakinlah pada keampunan Allah melalui taubat kepada Nya. Kasih sayang Allah pada kita tiada tara bandingannya. Itulah fitrah bagi kita sebagai seorang insan yang lemah. Bersama-samalah kita kembali pada Allah agar dosa tidak mencemari pengorbanan buat perjuangan kita di bumi Allah ini. Ya Allah, terimalah taubat kami. Ampunkanlah dosa kami. Kami ini lemah dan tidak berdaya, ya Allah. Perkenankanlah permintaan kami...

Inilah yang mampu ana coretkan kali ini. Aidiladha dan pengorbanan merupakan dua perkataan yang tidak dapat kita pisahkan. Pengorbanan dan perjuangan pula merupakan dua medan yang tidak mampu dirungkai ikatannya. Kesimpulannya, Aidiladha, pengorbanan dan perjuangan sangat berkait rapat jika kita sudi melihat akan setiap pengertian dengan penuh penghayatan. Akhir kalam, salam Aidiladha buat sahabat sekalian..
Align Center
p/s: Bercita-cita nak pergi haji diusia 30 tahun. Semoga Allah permudahkan.