Coret sana, coret sini
Saturday, June 23, 2012 by MAWAR BERDURI in

DariNya kita datang, kepadaNya kita kembali 

Hari ini saya sengajakan diri untuk tidak menyentuh sebarang buku. Tambahan pula dengan kepala yang sedikit berpusing pagi tadi membuatkan saya berada dalam keadaan yang serba tidak kena untuk membuat sebarang kerja. Apa-apapun, syukur pada Allah swt atas kesempatan untuk menulis lagi. 

Seminggu ini banyak berita yang agak memeritkan hati sampai kepada saya. Pemergian Allahyarham Ustaz Yahya Othman, seorang Murabbi Tarbiyah yang sangat saya kagumi dari segi kehebatannya dalam mengemudi tarbiyyah dalam gerakan Islam tertua di tanah air membuatkan mata saya berair sebaik sahaja menerima perkhabaran itu. Masakan tidak. Januari yang lalu, saya telah dipelawa oleh sahabat untuk menziarahi beliau yang sedang sakit ketika berkunjung di bumi serambi Mekah namun tidak berkesempatan memenuhi pelawaan itu disebabkan hal-hal yang perlu saya lunaskan dengan segera pada ketika itu. Tidak dapat saya bayangkan betapa terkilannya saya kerana tidak berkesempatan untuk bersemuka dengan beliau sehingga ke akhir hayatnya. Hari ini, saya hanya mampu menatap tulisan beliau dengan hati yang menakung sebak yang mendalam. Apa yang mampu saya lakukan untuk menebus rasa terkilan di hati adalah keazaman untuk melahirkan ramai tokoh-tokoh hebat sepertinya bagi meneruskan kesinambungan perjuangan menegakkan khilafah Islamiyyah di atas bumi Allah swt ini. Ya Allah, perkenankanlah. 

Tidak sempat perasaan reda dengan pemergian beliau, saya didatangi pula dengan berita pemergian seorang mujahidah Nisa', Allahyarhamah Zarina yang meninggalkan kami, menemui Allah swt di usia yang muda melalui asbab kemalangan di jalan raya. Allahuakbar! Mulianya beliau kerana pergi dalam keadaan dirinya sibuk meneruskan tugas sebagai seorang amilin di medan dakwah. Semoga Allah swt meletakkan beliau sebaris dengan Sumaiyyah, syahidah terawal selepas kerasulan Rasulullah saw. Agak cemburu juga saya pada beliau. Semoga Allah swt mentakdirkan kematian saya juga sebagai seorang syahidah, dalam keadaan hati yang ikhlas untuk terus berada di dalam penerusan perjuangan para Rasul. 

Ramadhan

Hari ini sudahpun masuk 3 Syaaban 1433 H. Tidak sampai sebulan, akan menjelmalah Ramadhan. Subhanallah. Perasaan tidak sabar untuk bertemu dengan Ramadhan, membuatkan saya sudak mula membiarkan nasyid-nasyid yang memuliakan Ramadhan menemani saya ketika sedang membuat persediaan bagi peperiksaan akhir. Saya berasa sedikit bimbang sekiranya Allah swt tidak memberikan kesempatan untuk merasai Ramadhan pada tahun ini memandangkan seorang demi seorang mereka yang dekat di hati sudah dipanggil menemui Rabbul Izzati. Allahumma balighna Ramadhan. 

Meskipun tahun ini saya dan ahli keluarga bakal meraikan kedatangan Ramadhan dengan kekurangan salah seorang ahli keluarga, arwah Abang, namun saya sangat yakin arwah juga sedang tidak sabar menanti kedatangan Ramadhan sama seperti kami yang masih diberikan peluang untuk bernafas hari ini. Masih terngiang-ngiang bacaan surah kegemaran arwah, Surah Al-Baqarah saat arwah mengimamkan kami bagi solat Tarawikh tahun lalu. Ya Allah, Kau jadikan kalam-kalam suci yang mengalir di segenap salur darah arwah adikku sebagai cahaya yang menerangi kuburnya. 

Saya berasa terdapat sedikit perbezaan dalam memandang kehadiran Ramadhan tahun ini. Pandangan yang sedikit dewasa, saya kira. Perasan dah besar. Mungkin disebabkan pelbagai peristiwa yang singgah dan terus-terusan mentarbiyyah hati untuk terus meletakkan pergantungan pada Allah swt. Semoga sisi pandang saya pada kedatangan Ramadhan yang masih tidak mampu saya kongsikan di sini mampu menjadi peneguh hati untuk mendepani mehnah dunia yang semakin hari semakin dahsyat menyerang di samping merasai haruman-haruman kebangkitan Islam sedunia yang semakin mekar baunya dari hari ke hari. 

Izinkan hamba ini terus berdoa, Allahumma balighna Ramadhan. 

Ikhlas  

Saya tidak tahu mengapa, namun saya sangat tersentuh apabila mendengar bicara Wardina Safiyyah yang menyebut soal ikhlas. Apakah ukuran sebuah keikhlasan? Itu soalan yang ditanya kepada beliau yang dijawab dengan ringkas namun sangat tepat. Meskipun tanpa sebarang dalil dan hanya mengemukakan hujah melalui logik akal, beliau menyatakan ikhlas itu adalah apabila sesorang itu sudah mampu mengawal diri untuk bersifat neutral tatkala dipuji dan juga tika dikritik dalam melakukan sesuatu yang berada di dalam landasan syariat. Ya, saya pernah dipuji dan saya juga pernah dikritik. Namun, lemah sungguh saya apabila saya sedar yang saya masih tidak mampu mencapai tahap meneutralkan diri apabila berhadapan dengan kritikan dan pujian tersebut. Meskipun sukar, saya berdoa dan sangat berharap saya berjaya mencapai tahap keikhlasan di sisi Allah swt. Meskipun tidak dapat dilihat pada pandangan mata manusia, cukuplah Allah swt yang memandangnya. Ya Allah, bantulah hambaMu yang lemah ini dalam mencapai redha Mu. 

p/s: Dah penat aku reka alasan. Kalau orangnya Islam, senang je aku cakap. Ikhtilat syeikh, ikhtilat..  

My photo
Menitikberatkan perjuangan yang jitu semata-mata berlandaskan jalan kebenaran meskipun kemenangan bagaikan sukar untuk dicapai.

...