Minyak wangi vs besi panas
Friday, May 18, 2012 by MAWAR BERDURI in

"Kak Asmaa', bagilah nasihat untuk saya." 

Pinta Salsabila ketika berkunjung ke rumah, saya balasi dengan senyuman pada mulanya. Adik hebat ini bakal meneruskan perjuangannya ke University of Wisconsin-Medison tidak lama lagi. Becita-cita menjadi seorang ahli geologi Muslimah yang berjaya. Kagum sungguh saya dengan semangat ingin tahunya yang kuat.

Dik, nanti di sana, carilah sahabat yang baik. 

Bicara soal persahabatan mungkin sudah biasa kita dengari malah mungkin sudah mampu menghafal bait-bait isi untuk diutarakan. Meskipun demikian, nilai disebalik sebuah persahabatan itu tidak pernah berkurang malah semakin tinggi nikmatnya jika diselami secara mendalam dan diulang-ulang dari sudut pengamalannya dari sehari ke sehari. Itulah persahabatan atau ukhwah yang dibina atas niat yang satu. Lillahi taa'la. Kerana Allah Taala.


Bagi seorang pelajar yang duduk berjauhan dari pandangan keluarga, sahabat memainkan peranan yang amat penting dalam pembentukan diri untuk menjadi seorang Muslim dan Muslimah dalam erti kata yang sebenar. Merekalah yang berada di sisi di kala kita gembira, di waktu kesedihan, di saat kesusahan dan di ketika merindui ahli keluarga. Maka, tidak mustahil bukan jika saya katakan senyuman kita, peribadi kita malah akhlak kita tatkala bersama mereka dipengaruhi sebahagian besarnya daripada persekitaran kita yang dilingkungi oleh sahabat. Persahabatan yang sama ada diikat dengan aqidah yang satu atau tidak adalah persahabatan yang menentukan siapa kita suatu hari nanti. Lingkungan ukhwah yang dipenuhi dengan peringatan, tegur menegur ke arah kebaikan, tolong menolong serta kasih dan cinta atas dasar keimanan mampu membawa kita menuju redha Allah swt. Merekalah cerminan siapa diri kita yang sebenarnya. Bersahabat dengan pembuat minyak wangi pasti turut menadapat aroma wangiannya. Berkawan dengan pembuat besi, takkan terlepas dari terasa bahangnya.


Soal ukhwah inilah juga yang saya tekankan ketika diminta menyampaikan tazkirah ringkas di penghujung mesyuarat Nisa' Petaling Jaya Selatan baru-baru ini. Pentingnya ukhwah dalam sesebuah organisasi dakwah tidak harus terletak di dalam usrah semata-mata, harus dibawa sekali rohnya di dalam sebarang gerak kerja Islam. Tanpa ukhwah, suatu gerak kerja itu akan terus berjalan, namun pastinya dalam suasana yang penuh dengan ketegangan dan perasaan tidak puas hati. Malah akan melahirkan keterpaksaan dalam melaksanakan tanggungjawab. Keikhlasan akan menjadi pudar. 


Gerakan Ikhwanul Muslimin mampu terus utuh di medan amal Islaminya dek ukhwah yang menjadi teras dalam setiap perkara. Inilah yang ditekankan oleh Assyahid Imam Hassan al-Banna melalui modul usrah dan al-Mathurat yang secara praktikalnya diamalkan secara jamaei dalam membentuk persahabatan yang bertunjangkan perjuangan Islam.   

"Tidak sempurna iman seseorang itu selagi mana dia tidak mengasihi saudaranya sebagaimana dia mengasihi dirinya sendiri." Riwayat Bukhari dan Muslim

Kegemilangan negara Islam Madinah ketika zaman Rasulullah saw bermula dengan persahabatan yang erat di antara kaum Muhajirin dan Ansar. Tindakan Rasulullah saw mempersaudarakan kedua-dua kaum ini sebaik sahaja tiba di Madinah ketika peristiwa hijrah, mampu memberi panduan terbaik pada kita bahawa soal persahabatan ini tidak harus dipandang enteng. Sama ada kita tercampak ke utara, selatan, timur mahupun barat, usahakanlah untuk mencari sahabat dan berukhwahlah kerana Allah swt. Selain dari mendapat keberkatan dari pengamalan sunnah Rasulullah saw, perjalanan hidup kita akan lebih mudah kerana adanya sahabat yang melengkapi kekurangan kita dan meraikan kelebihan yang kita ada. Begitulah juga sebaliknya. 

Kesimpulannya, walau di mana sahaja kita berada, berukhwahlah kerana Allah swt kerana di antara 7 golongan yang mendapat naungan Allah swt di padang mahsyar nanti adalah dua orang yang saling cinta mencintai kerana Allah swt di mana keduanya saling bertemu dan perpisah juga kerana Allah swt. Besar bukan ganjaran sebuah ukhwah fillah.;-)

p/s: Ukhwah itu ibarat sup bunjut.

My photo
Menitikberatkan perjuangan yang jitu semata-mata berlandaskan jalan kebenaran meskipun kemenangan bagaikan sukar untuk dicapai.

...