Lembaran insomnia..
Thursday, May 17, 2012 by MAWAR BERDURI in

Malam semakin berlalu menongkah masa yang tidak pernah menoleh ke belakang menantikan aku yang masih terkebil-kebil. Ke kanan aku berpaling, cuba melelapkan mata. Masih tidak berdaya. Ku cuba pula untuk ke kiri, mencari sisi selesa agar mata ini tertutup jua. Namun, usaha aku ini tidak berhasil. Jam sudah menunjukkan 2.30 pagi. Esok pagi, rutinku bakal dimulakan dengan kelas tepat jam 8 pagi. Inilah yang berlaku padaku semenjak akhir-akhir ini. Banyak sungguh perkara yang berlegar di kepala menuntut untuk diberi perhatian. Kadang-kadang sehingga membawa ke dalam mimpi. Insomnia menjadi-jadi. 

Aku bingkas bangun sambil memerhatikan teman-teman di sisi yang sudah lama menyenyakkan diri. Cemburu sungguh aku. Sungguh. Aku bingkas bangun. Tidak harus kubiar masa itu berlalu begitu sahaja. Selepas melakukan apa yang patut dan berkira-kita untuk terus melakukan apa, akhirnya aku memilih untuk membuka kembali assignment yang sudah separuh disiapkan.

Sedang aku cuba menambah apa yang perlu, membetulkan mana yang silap pada assignment yang sedang suba kusempurnakan, kepalaku tiba-tiba terimbas tawaran interview kerja pada 21 Mei 2012 yang aku peroleh petang tadi. Financial Planning Advisor dengan tawaran gaji yang agak baik. Namun, memikirkan sekiranya diizinkan Allah swt untuk melepasi interview, pekerjaan ini bakal membuatkan aku terlibat dengan sistem kewangan yang berteraskan riba, aku membuat keputusan untuk menolak dengan baik tawaran yang diberi. Semoga aku dikurniakan rezeki yang lebih tinggi keberkatannya di sisi Allah swt pada masa hadapan. Inilah salah satu perkara yang mengganggu fikiranku selain memikirkan soal gerak kerja yang masih banyak perlu diselesaikan, hal-hal peribadi yang pelbagai dan masalah-masalah sahabat-sahabat di kampus yang butuhkan pertolongan diri kerdil ini. Itu belum masuk soal assignments yang sedang beratur minta diselesaikan. Ya Allah, permudahkanlah diri ini. 

Ah, siapalah aku untuk mengeluh akan kepenatan kecil yang aku rasai. Aku pasti pada ketika ini, sahabat-sahabat, pendokong-pendokong dakwah Islam yang lain masih sibuk merencana strategi menguatkan ummah, menyebarkan kebenaran dan seterusnya mengembalikan kegemilangan Islam di atas muka bumi Allah swt. Entahkan tidur entahkan tidak. Aku yang kerdil dengan taklifan yang kecil ini, layakkah untuk berkata-kata? 


Aku membuka blogku yang sudah bersawang dek ketidaksempatan mengemasikini dengan perkongsian-perkongsian baru buat sahabat pembaca yang dikasihi. Dan akhirnya, aku memilih untuk metitipkan 'lembaran insomnia' ini pada pagi yang semakin hening terasa. Jam menunjukkan tepat pukul 4.00 pagi. Aku harus melelapkan mata. Perlu. Kerana esok sedang menanti dengan susunan jadual yang sedang menanti. Allahuma rabbi yassir wa la tu'assir.  

p/s: The More I Try To Get Rid Of You, The More I Miss You.

My photo
Menitikberatkan perjuangan yang jitu semata-mata berlandaskan jalan kebenaran meskipun kemenangan bagaikan sukar untuk dicapai.

...