Cabar diri
Tuesday, May 29, 2012 by MAWAR BERDURI in

Meniti saat-saat akhir di bumi Taylor's membuatkan ada sedikit haru di dalam hati. Insha Allah, dalam tempoh lebih kurang sebulan, tamatlah sudah pengajian saya di sini. Di medan yang banyak mengajar saya untuk mengenali siapa diri saya yang sebenar. Bagi sesetengah orang, tamatnya tempoh bergelar seorang pelajar merupakan suatu yang amat dinanti-nantikan. Tidak sabar untuk bekerja, pegang duit sendiri kata mereka. Namun sedikit berbeza bagi saya. Saya tidak pernah melatih diri malah mengelak untuk mempunyai perasaan sedemikian. Saya suka mempunyai guru. Saya suka berada dipersekitaran ilmu. Saya suka jadual waktu harian yang flexible. Semua itu hanya mampu saya peroleh ketika saya bergelar seorang pelajar secara formal. Di sudut hati, saya sangat mengharapkan agar saya akan terus bergelar seorang pelajar. Saya tidak takut untuk digelar nerd kerana gelaran itu hanya akan keluar dari mulut mereka yang bencikan ilmu. Menganggap hidup yang cintakan ilmu sebagai boring dan no life. Bencikan ilmu bererti bencikan para ulama' kerana ulama' cintakan ilmu. Jadi, mengapa perlu diambil peduli akan kata-kata mereka yang bencikan pewaris para nabi?

"Akak, apa maksud akak kita kena mencabar diri?"

Sms yang saya terima dari seorang adik muslimin malam tadi membuatkan saya tersenyum. Barangkali sedikit terkesan dengan bicara saya pada pertemuan terakhir bersama-sama dengan mereka baru-baru ini. Kagum saya apabila teringatkan semangat adik-adik yang tidak jemu-jemu untuk belajar menjadi seorang daei. Mereka cintakan ilmu. Jika yang muslimat gelagatnya begini, yang muslimin ada perangainya yang tersendiri dalam membentuk jiwa daei yang bukan sahaja pandai malah bijaksana. Mereka inilah keluarga saya di Taylor's yang akan saya rindui tatkala berpisah di penghujung Jun nanti.
.................................................

Memilih untuk hidup sebagai seorang pejuang dan daei yang mendokong gerakan Islam tidak akan lengkap tanpa adanya jiwa yang dididik untuk menjadi kental dan kuat menahan segala mehnah dan trebulasi dalam sebuah perjuangan. Kekuatan ini seakan-akan sudah menjadi suatu keperluan yang penting agar diri dapat terus bertahan dengan perjuangan walaupun di saat yang tinggal hanyalah pergantungan pada Allah swt. Namun, persoalannya bagaimanakan jiwa sebegitu dapat dibentuk. Apakah cukup dengan hanya mengikuti usrah, daurah, tamrin dan program-program lain yang kelihatan seperti ada keseronokan padanya? Sahabat, itu tidak cukup. Amat tidak cukup untuk bergelar seorang pejuang yang berjiwa kental. Semua itu hanya sekadar untuk perolehan ilmu dan perkongsian sahaja. Tiada aplikasi padanya. Jiwa yang kental perlukan sesuatu yang lebih daripada itu. Jadi, bagaimana?

Belajarlah untuk berada bersama-sama mereka yang berjuang untuk menegakkan keadilan kerana Islam itu fitrahnya adil.

Di sinilah peranan kita untuk mencari sesuatu yang mencabar diri. Kerana dengan mencabar diri, kita akan beroleh pengalaman yang merupakan guru yang terbaik dalam kita melewati kehidupan di atas dunia persinggahan ini. Ilmu-ilmu yang diperoleh akan diaplikasi dan digunapakaikan. Guru inilah yang bakal membentuk kita menjadi seorang yang bijaksana, bukan hanya seorang yang pandai di atas kertas dan di sudut teorinya sahaja.

Salah satu yang paling mudah untuk mencabar diri adalah untuk menjadi diri sendiri. Menjadi diri sendiri dalam erti kata mempunyai pendirian untuk berpegang teguh dengan al-Quran dan as-Sunnah. Kelihatannya tidak sukar, namun ini tidak mudah untuk dilaksanakan. Contoh yang mudah. Sejauh mana kita berpendirian terhadap pakaian kita yang menutup aurat? Adakah kita perpakaian sedemikian adalah semata-mata disebabkan kita berada di persekitaran sahabat-sahabat yang menutup aurat? Atau kerana pendirian kita untuk berpegang dengan perintah yang diwahyukan oleh Allah swt dan diperjelaskan melalui baginda Rasulullah saw? Di sini, kita akan mencabar diri untuk meletakkan pendirian yang sepatutnya di dalam hati.

Kita lihat pada skop yang sedikit luas dalam konteks kehidupan di medan dakwah. Seorang daei itu tidak mampu mempunyai kekuatan jiwa di sudut kesabaran dan kesejahteraan dalam mendepani sebarang ujian jika dia hanya melihat adanya keseronokan dan keselasaan pada kegiatan dakwah yang kebetulannya disertai oleh majoriti sahabat-sahabatnya. Dalam bahasa mudah, menjadi daei secara ikut-ikutan. Apa yang perlu adalah pendirian yang dibina di sudut hati untuk mematuhi kewajipan amar makruf nahi munkar sebagaimana yang tercatat di dalam al-Quran dan as-Sunnah. Apabila pendirian ini terbina akan lahirlah perasaan untuk melakukaan sesuatu bagi mengukuhkan pendirian yang sedang dibina. Di sinilah kita akan bertemu dengan banyak perkara yang mencabar diri. 

Jadilah seperti pepohon kelapa ini yang teguh berdiri meskipun seringkali ditiup dengan angin yang kuat.

Sebagai contoh, kehidupan seorang daei memerlukan kita berhadapan dengan pelbagai kelompok masyarakat kerana Islam tidak pernah mengajar kita untuk memilih-milih golongan tertentu sahaja. Maka untuk itu, adalah suatu keperluan untuk kita turun ke dalam masyarakat. Bagaimana caranya, kitalah yang perlu memilih sama ada untuk mengikut wadah perjuangan Islam yang menyediakan lapangan untuk bertemu dengan masyarakat yang pelbagai atau tidak, tanpa dipengaruhi oleh sesiapapun. Pemilihan inilah yang dikatakan mencabar diri kerana di saat ini kita mungkin memilih sesuatu yang berlainan dengan persekitaran kita malah mungkin kelihatan melawan arus. Pengalaman dipandang sinis, dikritik, diumpat malah mungkin difitnah akan membentuk jiwa yang kental mendepani cabaran. Minda akan terdidik untuk bijak mengatur strategi dan perancangan apabila tiba suatu tahap diri terpaksa berhadapan dengan musuh yang pelbagai termasuklah musuh tradisi umat Islam, syaitan laknatullah. Pergantungan pada Allah swt akan menjadi semakin kuat. Hasilnya, akan terlahirlah seorang daei yang bijaksana, berjiwa kental dan hidup penuh dengan pergantungan diri terhadap Allah swt. Formula yang mudah namun sukar untuk dilaksanakan. 

Walaupun demikian, usahlah kesukaran itu kita jadikan sebagai alasan untuk tidak meng'upgrade' diri atau mungkin melarikan diri dari kehidupan sebagai seorang pendokong perjuangan Islam. Syurga Allah swt itu bukan murah nilainya. Kesukaran yang kita pilih itulah adalah sunnatullah yang bakal menentukan layakkah atau tidak kita mendapat tawaran untuk berada di dalam kenikmatan di akhirat kelak. Sedangkan Rasulullah saw yang sudah dijanjikan syurga dibaling batu di Taif, inikan pula kita yang hidup penuh dengan dosa dan noda. Layakkah untuk mempersoalkan kesukaran itu?
................................................................
 Tidak terus meninggalkan sms yang dikirim dengan persoalan, saya cuba menjawab dengan serba ringkas.

"Akhi, maksud akak ialah jangan takut pada cabaran. Jangan takut untuk cuba dan merasai sesuatu yang baru. Dalam erti kata lain, kita jadilah diri kita yang sebenar. Ada pendirian, diikat dengan al-Quran dan as-Sunnah. Dan, cabar diri untuk berhadapan dengan pandangan sinis orang lain apabila kita tak sama seperti mereka."

Di dalam hati, saya mengharapkan agar Allah swt terus memegang hati ahli keluarga saya di Taylor's ini untuk terus thabat di atas jalan perjuangan yang dipilih mereka.   

My photo
Menitikberatkan perjuangan yang jitu semata-mata berlandaskan jalan kebenaran meskipun kemenangan bagaikan sukar untuk dicapai.

...