VD
Tuesday, February 14, 2012 by MAWAR BERDURI in Labels: ,

"Kaklong, esok ada usrah kat sekolah. Kak Yam nak cakap apa ya pasal Valentine's Day?"

Malam tadi, sambil menjadi cikgu tak bertauliah untuk Kak Yam, tiba-tiba dia bertanyakan aku berkenaan perayaan yang aku kira tidak pernah termasuk dalam senarai perkara-perkara yang aku ingin fikirkan. Mendepani adat-adat yang pelbagai dalam masyarakat Melayu sendiri pun sudah membuatkan aku lelah, inikan pula memikirkan perayaan yang langsung tidak dianjurkan dalam Islam. Mungkin hakikat penolakan itu terletak pada kepelbagaian versi sejarah perayaan tersebut, namun ada yang lebih besar isunya iaitu soal kepercayaan.


Kasih sayang dan cinta itu bukanlah sesuatu yang harus diraikan pada hari-hari tertentu malah sepatutnya diraikan setiap hari. Itulah yang dianjurkan dalam agama kita. Apabila lahirnya seorang bayi yang suci di muka bumi Allah swt, maka lahirlah kasih sayang. Begitu juga apabila ada insan menemui Ilahi, tertitislah jua air mata kerana adanya kasih sayang. Dan setiap hari, akan mengalirlah jua kasih sayang di antara seorang ibu dengan anaknya, seorang suami dengan isterinya, seorang murabbi dengan anak muridnya, seorang pemimpin dengan anak buahnya dan yang pasti setiap saat adanya kasih sayang yang Maha Hebat datangnya dari Allah swt terhadap hamba-hambaNya. Maka, tidak timbul isu kepercayaan bahawa kita harus meraikan kasih sayang pada hari tertentu sahaja.


Sengaja aku menjengah Facebook pagi ini sekadar melihat suasana rakan-rakan di kala dada-dada akhbar sibuk menayangkan iklan-iklan yang pada pandangan aku seolah-olah mempromosikan juga sambutan Valentine's Day dengan gambar-gambar yang agak tidak wajar. Alhamdulillah, aku kira sudah ramai yang menyedari hakikat kasih sayang yang sebenar melihatkan ramai yang mula menolak perayaan-perayaan pelik yang tidak pernah dianjurkan dalam Islam. Melihat kesuburan yang begitu, aku lega.

"Kaklong tak suka sangat nak sebut-sebut pasal Valentine's Day ni. Apa kata kak Yam cerita pasal kasih sayang?=)"

p/s: Semoga kemenangan bersama-sama saudara-saudara di Syria. Pilu melihatkan kekejaman yang berlaku. 

My photo
Menitikberatkan perjuangan yang jitu semata-mata berlandaskan jalan kebenaran meskipun kemenangan bagaikan sukar untuk dicapai.

...