PERSIMPANGAN HIDUP
Sunday, December 25, 2011 by MAWAR BERDURI in

Mendepani usia yang semakin meningkat, tanpa aku sedar satu demi satu cabang persimpangan terpaksa aku hadapi dalam membuat keputusan. Jika dahulunya, segala-galanya aku serahkan pada kedua ibu bapaku untuk menentukan apa yang terbaik buat diriku. Tidak ada berdikari di situ. Ternyata berbeza sekali dengan hari ini. Pendedahan cabaran dunia luar yang terpaksa aku hadapi, membuatkan aku belajar untuk membuat keputusan di atas kaki sendiri. Dari sekecil-kecil perkara sehinggalah kepada keputusan yang mencorakkan masa depanku. Ternyata, ini amat sukar. Persimpangan-persimpangan ini harus dipandu dengan panduan dari Al-Quran dan As-Sunnah dan diterangi dengan pergantungan sepenuhnya pada Allah swt. Doa kupohon, agar aku tidak tersalah memilih laluan, untuk aku menuju redha Ilahi.

Bangkitlah hati!
Monday, December 19, 2011 by MAWAR BERDURI in

Duhai hati,
Berbicaralah kamu,
Andai benar perjuangan yang dikau dambakan,
Kenapa tersungkur kamu dalam dunia,
Di mana syahid yang dikau pasakkan,
Apakah turut hanyut dalam gelombang mehnah,

Duhai hati,
Bangkitlah kembali,
Turut sama membawa jasad,
Agar jihad bisa dikau bawakan,
Agar syahid bisa ditawan,
Dalam penerusan perjuangan.

p/s: Menyelusuri kisah Abdullah Azzam


MENDUNG BERARAK
Wednesday, December 14, 2011 by MAWAR BERDURI in

Kisah sang Ayub penyembuh lara. Penyuntik kuat buat jiwa. Tatkala diuji sedemikian rupa. Dia masih disitu. Teguh bertemankan Zat yang Maha Kuasa. Aku masih ada mereka. Mengambil kira makanku, minumku. Bagaimana keadaanku hari ini. Adik-adik yang masih ceria menemani aku. Aku cuba kuat. Insha Allah, tidak lama untuk diuji begini. Tapi semalam, air mata aku tumpah juga. Bukan kerana sakit yang dirasa. Tapi peritnya hati merasai diri menjadi beban. Ya Allah, padaMu jua aku berharap.

Oh bulan..
Monday, December 12, 2011 by MAWAR BERDURI in

Baru-baru ini aku berkesempatan solat sunat gerhana bulan yang mana kejadian yang sama seperti itu berlaku sebelumnya pada 1957. Aku berterima kasih buat sahabat-sahabat yang saling mengingatkan untuk sama-sama menginsafi akan peristiwa yang mempunyai ibrahnya yang tersendiri ini.

Gerhana bulan yang sering berlaku mutakhir ini merupakan salah satu daripada tanda-tanda kecil Hari Kiamat. Namun, berapa ramai yang menyedarinya atau mungkin melihatnya dari aspek peringatan daripada Tuhan?

Tenang-tenang si ikan kaloi
Saturday, December 10, 2011 by MAWAR BERDURI in


Bermusafir ke bumi Kangar, Kedah dan akhirnya ke kampung di Raub.

INILAH RASA TULUSNYA JIWA
Saturday, December 03, 2011 by MAWAR BERDURI in

"Apa makanan favourite awak?"
"Tentulah makanan yang dimasak oleh ibu saya." 

Aku pasti jika tidak semua, sebahagian besar dari kita pasti mempunyai jawapan yang serupa jika ditanya dengan soalan yang sama. Biarlah seindah dan semahal manapun makanan di restoran-restoran mahupun di hotel-hotel, keenakan dan kenikmatan yang terdapat pada masakan ibu kita tetap tiada tandingannya. Perkongsian kali ini bukanlah untuk berhujahan dalam membuat perbandingan masakan siapakah yang paling sedap, akan tetapi aku tertarik untuk mengajak sahabat sekalian berfikir akan mengapakah ramai di antara kita menganggap masakan yang dimasak oleh ibu kita merupakan makanan yang terbaik berbanding masakan yang lain?

Menurut salah satu buku psikologi yang pernah aku terbaca, inilah tanda mengalirnya kasih sayang dan cinta yang Allah swt berikan kepada ibu kita yang mana tidak dapat dilihat secara zahir namun dapat dirasai dengan hati yang tulus. Sehabat manapun sesuatu makanan dihias, tiadalah terbanding dengan sepinggan nasi dan ikan goreng seorang ibu yang disediakan dengan penuh kasih sayang buat anaknya. Begitu hebat Allah swt dalam aturannya. Hanya dengan perasaan cinta yang tulus, tingginya martabat sepinggan nasi ikan gorang dan jatuhnya martabat makanan di Pan Pacific Hotel. Itulah kuasa cinta dan kasih sayang.

"Putri, sedapnya Putri masak."
"Mestilah kak. Putri masak dengan penuh rasa cinta."

 ..............................................................................

"Akak, macam mana nak jadi ikhlas?"
"Jagalah hubungan dengan Allah swt. Jagalah hubungan dengan Rasulullah saw"

Ya. Jagalah hubungan dengan Allah swt dan jangan diabaikan hubungan dengan Rasulullah saw. Apakah mudah untuk aku laksanakan dalam hidup seperti mana mudahnya aku bicarakan? Cabaran yang datang dari dunia hari ini menuntut aku untuk mengakui ianya bukan mudah buat diriku yang serba lemah ini. Aku cuba mengimbau sirah Rasulullah saw dan para sahabat. Aduh. Ternyata aku yang silap. Cabaran mereka lagi dahsyat jika dibandingkan dengan apa yang aku alami. Jika aku berhadapan dengan cabaran hiburan dan ancaman sekular, mereka telahpun berjaya dalam mendepani cabaran psikologi apabila dipulaukan dan ancaman nyawa dan darah. Persoalannya, bagaimanakah mereka boleh menjadi sehebat itu?

Ketaatan mereka pada Allah swt dan Rasulullah saw langsung tidak berbelah bahagi walaupun tiada siapa yang membela. Lihat sahajalah apa yang telah berlaku pada keluarga Yassir. Dibunuh dengan kejam, namun hati-hati itu masih terikat pada Allah swt, pada Rasulullah saw. Inilah hasil tarbiyah Rasulullah saw dalam membina cinta dan kasih sayang dalam hati-hati para sahabat terhadap zat yang Maha Agung dan utusanNya. Perasaan yang murni ini telah membina teras keyakinan mereka akan balasan yang akan mereka terima dalam mempertahankan cinta yang tulus dan suci ini. Dan dengan cinta ini lahirlah keyakinan mereka terhadap aqidah yang satu, seterusnya membuatkan membuatkan mereka tidak bersoal kira dalam menjaga hubungan dengan Allah swt dan Rasulullah saw. Lihat sahajalah apabila turunnya kalam cinta dari Allah swt berkenaan pengharaman arak, segera dipecahkan segala bekas tempat tersimpannya arak. Tiada keraguan langsung walaupun jika dikira hakikat minuman ini yang telah sebati dengan hidup mereka sebelumnya. Itulah akhlak mereka. Hebat dan sungguh hebat.

Bandingkan sahaja dengan kita hari ini. Tatkala disebutkan soal pelaksanaan hukum Tuhan, banyak sungguh 'tapi'nya. Kerana apa? Kerana kita tidak ada cinta pada Rabb yang Maha Agung. Kerana kita mengabaikan cinta pada kekasih Allah swt. Akibatnya, biadab pada al-Quran dan as-Sunnah. Hubungan kita dengan Allah swt dan Nabi Muhammad saw bagai hidup segan mati tak mahu. Tiada lagi ikhlas.Yang tinggal hanya riya' dan takabbur. Nauzubillahiminzalik.
...........................................

Sebagai tuntas, bagaimana lazatnya sebuah masakan itu kerana cinta dan kasih sayang yang lahir daripada ibu yang memasaknya begitulah jua lazatnya perhambaan itu kerana cinta dan kasih sayang yang lahir daripada seorang insan yang memperhambakan dirinya itu. Suburkanlah cinta dan kasih sayang, akan tersemailah bahagia dan ketenangan.

My photo
Menitikberatkan perjuangan yang jitu semata-mata berlandaskan jalan kebenaran meskipun kemenangan bagaikan sukar untuk dicapai.

...