"Apa makanan favourite awak?"
"Tentulah makanan yang dimasak oleh ibu saya."
Aku pasti jika tidak semua, sebahagian besar dari kita pasti mempunyai jawapan yang serupa jika ditanya dengan soalan yang sama. Biarlah seindah dan semahal manapun makanan di restoran-restoran mahupun di hotel-hotel, keenakan dan kenikmatan yang terdapat pada masakan ibu kita tetap tiada tandingannya. Perkongsian kali ini bukanlah untuk berhujahan dalam membuat perbandingan masakan siapakah yang paling sedap, akan tetapi aku tertarik untuk mengajak sahabat sekalian berfikir akan mengapakah ramai di antara kita menganggap masakan yang dimasak oleh ibu kita merupakan makanan yang terbaik berbanding masakan yang lain?
Menurut salah satu buku psikologi yang pernah aku terbaca, inilah tanda mengalirnya kasih sayang dan cinta yang Allah swt berikan kepada ibu kita yang mana tidak dapat dilihat secara zahir namun dapat dirasai dengan hati yang tulus. Sehabat manapun sesuatu makanan dihias, tiadalah terbanding dengan sepinggan nasi dan ikan goreng seorang ibu yang disediakan dengan penuh kasih sayang buat anaknya. Begitu hebat Allah swt dalam aturannya. Hanya dengan perasaan cinta yang tulus, tingginya martabat sepinggan nasi ikan gorang dan jatuhnya martabat makanan di Pan Pacific Hotel. Itulah kuasa cinta dan kasih sayang.
"Putri, sedapnya Putri masak."
"Mestilah kak. Putri masak dengan penuh rasa cinta."
"Akak, macam mana nak jadi ikhlas?"
"Jagalah hubungan dengan Allah swt. Jagalah hubungan dengan Rasulullah saw"
Ya. Jagalah hubungan dengan Allah swt dan jangan diabaikan hubungan dengan Rasulullah saw. Apakah mudah untuk aku laksanakan dalam hidup seperti mana mudahnya aku bicarakan? Cabaran yang datang dari dunia hari ini menuntut aku untuk mengakui ianya bukan mudah buat diriku yang serba lemah ini. Aku cuba mengimbau sirah Rasulullah saw dan para sahabat. Aduh. Ternyata aku yang silap. Cabaran mereka lagi dahsyat jika dibandingkan dengan apa yang aku alami. Jika aku berhadapan dengan cabaran hiburan dan ancaman sekular, mereka telahpun berjaya dalam mendepani cabaran psikologi apabila dipulaukan dan ancaman nyawa dan darah. Persoalannya, bagaimanakah mereka boleh menjadi sehebat itu?
Ketaatan mereka pada Allah swt dan Rasulullah saw langsung tidak berbelah bahagi walaupun tiada siapa yang membela. Lihat sahajalah apa yang telah berlaku pada keluarga Yassir. Dibunuh dengan kejam, namun hati-hati itu masih terikat pada Allah swt, pada Rasulullah saw. Inilah hasil tarbiyah Rasulullah saw dalam membina cinta dan kasih sayang dalam hati-hati para sahabat terhadap zat yang Maha Agung dan utusanNya. Perasaan yang murni ini telah membina teras keyakinan mereka akan balasan yang akan mereka terima dalam mempertahankan cinta yang tulus dan suci ini. Dan dengan cinta ini lahirlah keyakinan mereka terhadap aqidah yang satu, seterusnya membuatkan membuatkan mereka tidak bersoal kira dalam menjaga hubungan dengan Allah swt dan Rasulullah saw. Lihat sahajalah apabila turunnya kalam cinta dari Allah swt berkenaan pengharaman arak, segera dipecahkan segala bekas tempat tersimpannya arak. Tiada keraguan langsung walaupun jika dikira hakikat minuman ini yang telah sebati dengan hidup mereka sebelumnya. Itulah akhlak mereka. Hebat dan sungguh hebat.
Bandingkan sahaja dengan kita hari ini. Tatkala disebutkan soal pelaksanaan hukum Tuhan, banyak sungguh 'tapi'nya. Kerana apa? Kerana kita tidak ada cinta pada Rabb yang Maha Agung. Kerana kita mengabaikan cinta pada kekasih Allah swt. Akibatnya, biadab pada al-Quran dan as-Sunnah. Hubungan kita dengan Allah swt dan Nabi Muhammad saw bagai hidup segan mati tak mahu. Tiada lagi ikhlas.Yang tinggal hanya riya' dan takabbur. Nauzubillahiminzalik.
...........................................
Sebagai tuntas, bagaimana lazatnya sebuah masakan itu kerana cinta dan kasih sayang yang lahir daripada ibu yang memasaknya begitulah jua lazatnya perhambaan itu kerana cinta dan kasih sayang yang lahir daripada seorang insan yang memperhambakan dirinya itu. Suburkanlah cinta dan kasih sayang, akan tersemailah bahagia dan ketenangan.