Pengisian usrah baru-baru ini diserikan dengan tayangan video berbahasa Arab yang mengimbau perjuangan Sayyid Qutb, seorang tokoh pejuang Ikhwanul Muslimin yang menghadapi kekejaman di zaman pemerintahan Jamal Abdul Nasir. Keterujaan aku mengimbau kehebatan tokoh ini diserikan lagi dengan keterujaan aku mendengar kak Amalina menterjemah bait-bait perkataan di dalam video itu daripada bahasa Arab kepada bahasa Melayu. Sebelum ini, aku pernah teruja dengan kehebatan seorang ustaz muda yang begitu fasih menterjemah ceramah yang disampaikan oleh seorang wakil Hamas di salah sebuah program di ibu kota.
Lughatul Arabiyah, lughatul jannah. Bahasa Arab, bahasa syurga. Itulah bandingan yang sering aku dengar sejak mula aku mengambil mata pelajaran tersebut sehingga ke waktu SPM. Masih aku ingat, kesukaran yang aku alami ketika mula-mula menghafal sifir-sifir yang disediakan oleh ustazah Zubaidah sewaktu di Tingkatan 1. Aku hampir berputus asa. Namun, hari demi hari, dalam menghadapi kesukaran, aku mula menyedari yang aku meminati bahasa Arab. Bermula dengan didikan Ustazah Zubaidah sewaktu di Tingkatan 1, Ustaz Man (Abdul Rahman) di Tingakatan 2, Ustazah Rahimah di Tingkatan 3, diikuti Ustaz Megat di Tingkatan 4 dan akhirnya aku bersama-sama Ustazah Nik Hadiah di Tingakatan 5. Alhamdulillah, dengan izin Allah swt dan berkat didikan mereka, aku berjaya mendapat keputusan yang aku inginkan untuk matapelajaran Bahasa Arab Tinggi. Dan dalam hati aku berazam untuk memastikan bahasa Arab ini tidak hilang dari ingatanku.
"Enti nok sambung belajar di Jordan, pengajian Bahasa Arab? Ustaz boleh tolong."
"Saya pun dok pasti lagi ustaz. Kena bincang dengan keluarge dulu rasanye. Insha Allah, kalu ade ape-ape, saya maklum pada ustaz."
Aku terharu dengan pelawaan Ustaz Man sewaktu aku menziarahi beliau sebaik sahaja keputusan SPM dikeluarkan. Aku menjadi sedikit berbelah bahagi untuk membuat pilihan lantaran keluarga aku lebih selesa meminta aku membuat keputusan sendiri, sesuai dengan minatku. Akhirnya, aku hanya mampu menyerahkan perhitungan pada Allah swt. Sesungguhnya, Dialah jua yang Maha Mengetahui apa yang terbaik buat hambaNya. Alhamdulillah, aku akur pada keputusan Allah swt. Meskipun aku tidak meneruskan pengajian di bidang ini, aku tidak akan sesekali membenarkan minat aku pada Bahasa Arab hilang begitu sahaja.
Hari ini, setelah 4 tahun meninggalkan alam persekolahan, aku sedar meskipun minat pada Bahasa Arab masih mendalam, namun penguasaan aku telahpun tumpul. Banyak yang sudah hilang diingatan. Itulah hakikat aku yang lemah ini apabila mempelajari bahasa. Apabila tidak diamalkan, akan hilang begitu sahaja meskipun masih terasa kesusahan sewaktu mempelajarinya. Disebabkan masa yang agak terbatas dan keperluan untuk mengutamakan perihal yang lebih awla, aku hanya bergantung harap pada Al-Quran terjemahan dan pengajian bahasa Arab di Ikim.fm. Itupun masih mengikut ketentuan masa dan keadaan.
Sehingga ke hari ini, jikalau ada yang bertanya, "Masa sekolah dulu, kau suka subjek apa?" Jawapan klise yang akan aku berikan adalah matapelajaran Matematik dan Bahasa Arab dan aku akan pastikan, jawapan ini akan terus tersemat di dalam dadaku. Semoga Allah swt memberikan peluang untukku terus menguasai bahasa ini sebelum aku kembali menemuiNya.