Selama ni, kita selalu bincangkan soal sistem-sistem yang telah dijajah oleh Barat termasuklah, sistem ekonomi. Tapi, pernahkan kita terfikir adakah kita betul-betul faham apakah yang dikatakan ekonomi Islam yang sebenar? Kenapa ekonomi hari ini dikatakan ekonomi yang tidak Islami? Apakah hanya disebabkan riba dan kadar faedah yang berleluasa selain daripada rasuah yang sudah menjadi darah daging kebanyakan pemimpin?
Di dalam Surah Al-Hasyr ayat 7, Allah swt memberi amaran agar harta milik sesebuah negara tidak beredar dalam kalangan pemimpin sahaja. Wajib diagih-agihkan kepada mereka yang berhak. Sebagai orang yang masih tidak diberi kesempatan untuk mendalami ilmu tafsir dan ilmu fiqh, aku memandang firman Allah swt ini mudah difahami secara zahirnya. Kebetulan baru-baru ini aku mendengar penjelasan mengenai ayat ini dari seorang pakar ekonomi Islam ketika menghadiri satu kuliah mengenai konsep ekonomi dalam sebuah negara berkebajikan.
"Alah, aku ni tak kerja lagi. Kenderaan pun takde. Tak payah fikir lah pasal cukai-cukai ni lagi."
"Buat apa sibuk-sibuk pasal ekonomi. Yang penting kita berdakwah pada orang. Pembentukan diri lagi penting."
"Cukai tu road tax ke?"
Alhamdulillah, memandangkan aku mengambil subjek ekonomi, sedikit sebanyak aku memahami apa yang sedang berlaku pada ekonomi Malaysia yang sebenarnya lebih teruk menindas rakyat jika dibandingkan dengan negara Eropah seperti UK. Penindasan melalui apa?
CUKAI! Sebagai salah satunya.
Setiap proses jualbeli yang berlaku di bumi Malaysia tidak kira di bandar, di kampung semuanya dikenakan cukai. Hatta pada pembelian sebiji gula-gula. Kerana kerajaan kita hari ini dengan baik hatinya telah mengenakan apa yang dikatakan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) sebanyak 4% atau dalam bahasa mudahnya, bagi sebuah kerusi yang berharga RM100, RM4 adalah bayaran cukai. Meskipun kelihatan kecil bagi satu unit barang atau bagi satu pembelian,
tidak mustahil jumlahnya akan jadi beratus juta malah berbilion ringgit
jika digandakan dengan jumlah pembelian sebenar yang berlaku setiap
hari. Perlu kita ingat bahawa GST ini dikenakan ke atas setiap pengeluaran yang berlaku dalam pasaran atau dalam bahasa mudahnya dalam setiap barang yang kita beli dan pada setiap perkhidmatan yang kita dapatkan. Bukan hanya pada peruncit, termasuklah pada pengeluar dan pemborong, sehinggalah akhirnya kita yang menanggung keseluruhan cukai.
Jadi, bolehkah kita mengatakan soal cukai ini tidak ada kaitan dengan kita? Jika budak kecil yang berusia 7 tahun membeli sebungkus gula-gula sudah terlibat dalam soal pembayaran cukai kepada kerajaan, bagaimana pula dengan kita yang perlu membeli alat tulis, buku-buku, pakaian, makanan, ROKOK, dan bermacam lagi? Tak termasuk tol, duti import, harga petrol dan macam-mcam cukai yang lain lagi.
Sepanjang yang aku belajar, faedah daripada pembayaran cukai ini sepatutnya atau memang wajib kembali kepada rakyat disebabkan kita yang membayarnya. Malangnya hari ini, apa yang kita dapat? Jika belajar pun kena bayar, jalan raya pun ada tol, hospital pun ada charge, adakah faedahnya yang kembali kepada kita? Di Eropah, rakyat mereka akan bangkit sekiranya mereka menyedari faedah yang mereka peroleh tidak setimpal dengan cukai yang mereka bayar. Bukanlah aku suka mengagung-agungkan masyarakat di sana namun aku cukup kagum dengan cara mereka mempertahankan hak mereka dan yang hebatnya suara mereka ditakuti oleh pemerintah. Kuasa rakyat yang kuat. Bagaimana pula di negara kita? Hanya tahu, angguk-angguk, geleng-geleng.
Cukai yang kita bayar akan digunakan oleh kerajaan untuk dilaburkan di projek yang besar-besar melalui syarikat-syarikat yang ada saham milik kerajaan. Hukum suatu pelaburan pasti akan ada hasilnya sama ada untung atau rugi. kalau dilihat di dalam akhbar, kebanyakan berita yang keluar menyatakan pelaburan yang dilakukan oleh kerajaan mendatangkan keuntungan. Soalnya, siapa yang dapat keuntungan tersebut? Sudah pastilah dibahagi-bahagikan mengikut siapa yang menyumbang pada pelaburan tersebut.
Contoh mudah. Syarikat A akan menjalankan satu projek membina pusat membeli belah. Modal untuk projek ini akan dikongsi berdua, antara kerajaan dan pemegang saham Syarikat A. Kerajaan akan menggunakan cukai yang kita bayar untuk membayar bahagian modal tersebut. Proses pembayaran ini dipanggil pelaburan. Bila dapat untung daripada projek ini, untung tersebut akan dibahagi dua. Separuh kepada kerajaan, separuh kepada pemegang saham. Bahagian yang diperoleh kerajaan akan dilaburkan kembali untuk projek-projek yang lain. Tapi, separuh daripada keuntungan tadi sudah pastilah berbalik kepada pemegang saham Syarikat A yang sudah pastilah terdiri daripada korporat-korporat yang hartanya bak kata Haji Bakhil, kapal di laut, gedung di darat.
Bagaimana pula dengan kita yang turut sama menyumbang melalui cukai yang digunakan oleh kerajaan untuk pelaburan yang sama? Adakan kita mendapat untung yang sama seperti pakcik-pakcik korporat tersebut?
Yang ada cumalah kesengsaraan kita untuk berhadapan dengan harga barangan yang semakin tinggi, PTPTN yang bakal dimansuhkan, cukai yang baru dikenakan, harga petrol yang tak pernah turun, saman dan bermacam-macam lagi tekanan-tekanan hidup yang menghimpit. Hidup dari pagi ke petang digunakan untuk mencari duit bagi menghadapi kehidupan yang penuh dengan penindasan ini. Hasilnya, anak-anak terbiar. Ibu bapa stress. Agama diabaikan. Rumahtangga hancur. Masyarakat rosak. Dan tidak mustahil, inilah yang mungkin Allah swt nak tunjukkan sebagaimana yang berlaku di Indonesia dan Jepun melalui kejadian tsunami sebelum ini. Mahukan kita mengundang perkara yang sama? Nauzubillahiminzalik.
Wahai pemimpin sekalian, rujuklah kembali Surah Al-Hasyr, ayat 7.
Dunia hari ini memperlihatkan jika kita mengambil sikap ignorance, kita bersetuju dan menyokong dengan sistem yang sedia ada. Apakah hujah kita jika dipersoalkan Allah swt di akhirat kelak jika kita hanya sibuk kononnya dalam soal pembentukan diri sedangkan kita hanya terus-terusan membiarkan diri kita menyokong kezaliman? Rujuklah 2:124.
Mungkin kita tidak mampu untuk menyedarkan pemimpin kita secara langsung, namun sebagai seorang yang diberi sedikit kefahaman untuk hidup berteraskan al-Quran dan as-Sunnah, kita harus pastikan ada usaha yang kita lakukan agar kita tidak termasuk dalam golongan mereka yang menyokong kepimpinan yang zalim bukan sahaja kepada agama kita termasuklah juga zalim kepada kita sebagai seorang rakyat yang mempunyai hak untuk hidup dengan aman dan sejahtera. Cubalah kita fahami bagaimana yang dikatakan sistem pendidikan, sistem ekonomi, sistem politik, dan sistem perlembagaan yang berteraskan Islam. Agar kita tidak terus-terusan ditipu dengan sistem yang ada hari ini. Dan jangan lupa, tugas kita jugalah untuk memahamkan mereka di sekeliling kita dengan kefahaman yang kita peroleh dan menyokong kepimpinan yang berjuang mengembalikan sistem hidup berteraskan al-Quran dan as-Sunnah. Agar bisa menjadi hujah jika dipersoalkan di akhirat kelak.