KALAU ITU CARA KAMU
Saturday, August 13, 2011 by MAWAR BERDURI in Labels: , ,

Sekian lama hanya memerhatikan Mawar Berduri ini terus hidup segan, mati tak mahu, ana memaksakan jari jemari ana untuk menitipkan sesuatu agar setiap ruang untuk ana menyampaikan sedikit perkongsian, dapat dimanfaatkan meskipun amat sukar sekali mencuri ruang masa untuknya.
Ya Allah, hanya Dikau tempat diri ini mencari kekuatan.
.................

Ramadhan sudahpun memasuki fasa keampunan Allah swt menandakan 10 hari pertama fasa yang penuh dengan rahmat Allah swt, telah pun berlalu. Cemburu sungguh masa dengan hamba-hamba Allah swt yang meletakkan cinta mereka sepenuhnya pada si Dia. Namun, tiada gunanya keluh kesah ini jika kita tidak mengambil langkah untuk memanfaatkan detik-detik yang masih ada agar perasaan tidak enak itu digantikan dengan rasa kesyukuran ke hadrat
Allah swt.

Ya, syukur. Suatu perkataan yang mudah ditutur tetapi bukan mudah untuk diterapkan nilainya dalam diri kita. Bersyukurlah kita kepada Allah swt kerana masih memberikan kesempatan kepada kita untuk berada di dalam bulan yang penuh barakah ini di saat insan lain pergi tanpa sempat merasai nikmat ini. Pergi buat selamanya menemui Dia, sebulan, seminggu hatta hanya beberapa hari sebelum datangnya Ramadhan. Pengalaman ana sendiri yang hampir menemui Allah swt beberapa hari sebelum Ramadhan, diuji untuk merasai kesyukuran itu. Alhamdulillah. Terima kasih ya Allah..



"Ana pun tak tahu kenapa, ana rasa roh Ramadhan tu dah hilang dalam diri ana. Sebelum Ramadhan, bukan main berkobar-kobar," bicara seorang akhawat.

"Ana pun rasa benda yang sama," sampuk sahabatnya, menyokong perihal yang sama.

Adik-adik akhawat yang ana kasihi sekalian. Jangan diasuh diri kalian untuk sentiasa mengeluh namun didiklah jiwa kita untuk sentiasa bersyukur dan bersabar bila diuji. Jadikanlah Ramadhan kali ini untuk kita bermujahadah bukan sahaja untuk sekadar menahan lapar dan dahaga namun yang paling utama untuk melatih diri menundukkan nafsu agar mudah untuk kita lentur bersesuaian dengan masa dan keadaan. Bukankah cita-citamu mahu menjadi mujahidah di medan perjuangan? Bermujahadahlah meskipun penuh dengan kepedihan.

"Bulan Ramadhan adalah (bulan) yang didalamnya diturunkan al-Quran, sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza (antara yang benar dan yang batil)...." Al-Baqarah :185.

Bulan Ramadhan, bulan al-Quran. Hampirkanlah diri kita dengan al-Quran sebagai tanda kesyukuran kita kepada Allah swt. Ramadhan yang berbaki ini, kita manfaatkan dengan terus menerus mendidik diri untuk menjadikan al-Quran ini sebagai manual utama untuk kita menghadapi hari-hari mendatang tanpa mengkesampingkan as-Sunnah yang dibawa oleh Rasulullah saw. Cuba untuk tidak jadikan 17 Ramadhan sebagai cuti biasa untuk shopping raya yang melampau tanpa mengetahui dan menghayati akan hikmah disebaliknya.

Jika bicarakan soal bagaimana untuk mengisi Ramadhan, apa sejarah yang berlaku di dalamnya, ana kira sahabat sekalian sudah pun mengetahui malah mungkin lebih arif dari ana. Persoalannya sekarang, sejauh mana semua itu kita jadikan sebagai sumber untuk kita tidak mensia-siakan Ramadhan. Adakah sekadar kita tahu, hayati, sudah cukup tanpa ada apa-apa tindakan untuk kita aplikasikan dalam diri kita sebagai tanda kita syukur dan tidak kufur dengan nikmat Ramadhan yang besar ini? Jawapannya, ana serahkan pada diri kita untuk bermuhasabah dan menilainya setelah berlalunya hampir separuh Ramadhan.

Memilih untuk tidak mahu berbicara panjang lebar (dah panjang lebar sebenarnya), izinkan ana untuk meletakkan suatu kesimpulan bagi perkongsian kali ini. Ramadhan itu tiba hanya setahun sekali. Jika kita terus mendidik diri kita untuk membiarkan Ramadhan itu berlalu sia-sia, rugilah kita wahai sahabat. Usahlah bicara soal perjuangan jika Ramadhan kita sama seperti Ramadhan mereka yang hanya mendapat lapar dan dahaga di siang hari.
Jom bersyukur kerana adanya Ramadhan buat kita.

p/s: teruja apabila dapat bertemu dengan Dr Fawwaz, anakanda Allahyarhamah Dr. Lo'lo..

My photo
Menitikberatkan perjuangan yang jitu semata-mata berlandaskan jalan kebenaran meskipun kemenangan bagaikan sukar untuk dicapai.

...