JALINAN MINGGUAN..
Wednesday, October 22, 2008 by MAWAR BERDURI in Labels:

Perjumpaan usrah pada minggu ini sedikit berlainan berbanding sebelumnya. Pengisian oleh naqibah kami yang baru, Kak Wani, Alhamdulillah dapat ana dan Misya(partner ana) bawakan dalam perjumpaan usrah dengan sahabat-sahabat sama ada junior mahupun senior. La Tahzan. Tajuknya saling tak tumpah ibarat buku karangan Dr ‘Aidh bin Abdullah Al-Qarni, La Tahzan.


USRAH SENIOR

Usrah kali ini, Alhamdulillah dihadiri oleh semua sahabat-sahabat yang banyak memberikan kerjasama sepanjang ana dan Misya mengendalikan keluarga cilik kita ini. Hanya Fatin yang terpaksa berhadapan dengan sedikit kesulitan yang menyebabkan dia harus pulang ke rumahnya di Kelantan (ayahnya sakit). Ana doakan Fatin sabar dengan ujian yang telah Allah berikan. Sesungguhnya ujian itu adalah tanda Allah mengasihi hambaNya. Selain itu, jutaan penghargaan buat Syamin, Qilah AS31 dan Ilayni kerana sudi bersama-sama mengejar nikmat berada di dalam taman-taman syurga walaupun dipenuhi dengan kesibukan sebagai seorang pelajar. Semoga Allah mengurniakan rahmat buat kita semua.

USRAH JUNIOR

Misya telah memberikan penyampaian pada perjumpaan kali ini. Jazakillahi khairan katheera. Sekali lagi ana bersyukur kerana Allah telah kurniakan ana dengan adik-adik yang seronok dan gembira untuk mendengar bait-bait peringatan yang kami (ana dan Misya) sampaikan. Namun sedikit terkilan di hati apabila ana menyedari bahawa kami kekurangan seorang adik usrah kami. Mungkin dia ada hal yang perlu dibuat. Ana cuba untuk menenangkan hati yang bimbang kiranya adik yang disayangi ditimpa masalah.


KONFLIK JIWA SEORANG REMAJA

Selesai solat Isyak berjemaah, tiba-tiba salah seorang adik yang disayangi menghampiri diri ana. Kelihatan dirinya bagai dirundung masalah. Kesudiannya untuk berkongsi masalah membuatkan ana terharu akan jambatan hati yang terbina. Konflik jiwa, kak. Ujarnya tika ana menganjurkan persoalan akan masalah yang dihadapinya. Konflik jiwa sebagai seorang remaja.

“Teringin kak, nak berpasang-pasangan macam orang lain. Tapi, Islam tak bagi kan, kak?”

Ana tersenyum. Jiwa yang suci ini harus dielakkan dari dinodai dengan keinginan-keinginan yang membawa kepada kemurkaan Allah.

“Adik, izinkan akak berkongsi pendapat peribadi akak dalam hal ini. Bagi akak, tidak salah jika kita mempunyai perasaan untuk berpasang-pasangan dan saling menyayangi sesama manusia. Itu fitrah. Allah jadikan kita untuk berpasang-pasangan, melahirkan zuriat-zuriat yang soleh dan solehah. Namun apa yang penting sejauh manakah kita berjaya menyalurkan keinginan fitrah kita itu pada jalan yang betul.


Jangan diabaikan cinta utama yang seharusnya kita zahirkan dengan pengabdian diri kita kepada Zat yang berkuasa di atas tiap-tiap hidupan di atas muka bumi ini. Cinta pada-Nya haruslah melebihi segala-galanya. Adakah dengan keluar berdua-duaan, saling berbalas pesanan rindu itu merupakan saluran yang betul untuk kita lunaskan fitrah kita sebagai seorang manusia?


Akak masih teringat kata-kata seorang ustazah, ‘adalah jihad bagi kita selagi kita merahsiakan orang yang kita kasihi daripada pengetahuan orang lain termasuk orang yang kita kasihi itu’. Apa yang penting bagi adik, jangan jadikan konflik itu sebagi satu bebanan. Jadikanlah ia sebagai salah satu anugerah buat kita sebagai seorang yang beriman. Kendalikanlah ia dengan jalinan syarak.”
p/s: Syukran jazilan liukhti Misya kerana sudi menjadi penyampai buat usrah kali ini.

My photo
Menitikberatkan perjuangan yang jitu semata-mata berlandaskan jalan kebenaran meskipun kemenangan bagaikan sukar untuk dicapai.

...