Persiapan diri
Sunday, February 26, 2012 by MAWAR BERDURI in

Alhamdulillah, setelah hampir 3 bulan berada dalam rutin harian yang mempunyai sedikit kerehatan, hari ini saya kembali kepada hidup yang membuatkan saya menghargai apa yang dikatakan sebagai masa. Memilih untuk menghadiri Seminar Maza Yakni Intimai Lil Islam (Apa Erti Saya Menganut Islam), saya meletakkan harapan dan doa agar Allah swt menaungi sedikit usaha untuk persiapan diri ini dengan redha dan rahmat dari Nya.


Menelusuri sekitar pembentangan, segala puji bagi Allah swt yang memberikan peluang untuk melihat tulisan Almarhum Syeikh Dr Fathi Yakan pada sisi yang sedikit berbeza dan penuh dengan unsur-unsur yang kelihatan segar meskipun sudah berulangkali menjadi rujukan dalam pembawaan usrah. Syabas dan sekalung tahniah buat Ustaz Hasrizal Abdul Jamil dan teamnya.

Sedikit perkongsian buat sahabat sekalian, kami meneliti realiti cabaran dan dugaan yang dihadapi oleh masyarakat hari ini khususnya komuniti Muslim pada sudut pandangan pembangunan material yang sangat ekstrim dan keruntuhan institusi keluarga yang saban hari menjadi paparan di dada-dada akhbar. Dengan merujuk sepotong hadith Rasulullah saw yang terkenal dengan gelaran hadith Jibril menerusi tanda-tanda awal Kiamat, permasalahan ini dikupas dan dikoreksi penyelesaiannya melalui pembentukan seorang Muslim dalam erti kata yang sebenar melalui pandangan agama yang berteraskan al-Quran dan as-Sunnah. Paduan yang sempurna pada aqidah, ibadah dan akhlak yang dilahirkan dari unsur iman, Islam dan ihsan, mampu merealisasikan makna kehidupan seorang Muslim yang hanya untuk Islam dengan tidak mengenesampingkan rumahtangga dan kawal diri yang berteraskan syariatullah dan sunnatullah.


Saya melihat kupasan buku Maza Yakni ini sebagai suatu muhasabah dan persediaan yang cukup realistik dan tidak kelihatan seperti terlalu idealistik sehingga sukar untuk diraih pengamalannya dalam kehidupan seharian terutamanya bagi insan yang belajar untuk bergelar daei. Kadang-kadang kita terlalu banyak mengeluarkan idea dan konsep yang kelihatannya hanya indah di bibir sedangkan hakikat medan dakwah itu memerlukan sesuatu yang tidak hanya bersifat retorik semata-mata. Suka untuk saya berkongsi salah satu persoalan yang dibangkitkan mengenai ketidakstabilan sebuah rumahtangga yang telah dibina dengan amat mematuhi syariatullah sehingga melupakan tuntutan sunnatullah. Secara tuntas, dalam setiap aspek kehidupan perlulah kita berpendirian tetap untuk mengambil kira kedua-dua elemen penting ini tanpa membelakangkan salah satu antara keduanya. Mungkin ada sahabat yang bertanya, apa yang dikatakan sebagai syariatullah dan apa pula yang diistilahkan sebagai sunnatullah. Adalah wajar bagi saya untuk menjawab persoalan itu dengan membawa sahabat sekalian untuk membaca tulisan-tulisan Ustaz Hasrizal sendiri mahupun Ustaz Pahrol yang saya rasa amat tepat dalam mengetengahkan apa yang itu syariatullah dan sunnatullah.  

Kesimpulannya, dalam kita melayari kehidupan di atas bumi pinjaman Allah swt ini, kita tidak terlepas dari didatangi dengan ujian-ujian yang kadangkala langsung tidak terlintas di kepala. Adalah amat penting untuk kita sentiasa meletakkan muhasabah dan pengislahan diri sebagai salah satu modul tarbiyah yang penting terhadap diri kita sendiri agar kita mengerti bahawa kita hanyalah seorang hamba yang sedang diperhatikan segenap inci hidupnya oleh penguasa yang Maha Hebat, Allah swt.

My photo
Menitikberatkan perjuangan yang jitu semata-mata berlandaskan jalan kebenaran meskipun kemenangan bagaikan sukar untuk dicapai.

...