HOBI ATAU PERLU?
Thursday, April 28, 2011 by MAWAR BERDURI in Labels:

Apa hobi awak ye? Hobi saya membaca.
Kelihatannya amat klise tetapi jika diteliti akan seruan pertama buat umat Islam tidak lain tidak bukan adalah Iqra'. Bacalah!

Segala puji bagi Allah swt kerana menganugerahkan ana dengan sifat ingin tahu yang amat mendalam yang mana membawa kepada keterujaan ana dengan apa jua bahan bacaan terutamanya buku. Berada dalam lingkungan ahli keluarga dan kemudiannya pernah bersama-sama dengan sahabat yang amat gemar membaca membuatkan ana kian giat menambahkan koleksi pembacaan dari sehari ke sehari. Hinggakan antara hadiah yang amat ana hargai adalah apa jua yang dapat mendorong ana untuk lebih banyak membaca.

"Tak naklah jadi ulat buku. Boring giler."
"Nampak nerd la kalau pegang buku-buku ni."
"Tak de kelas langsung hobi membaca.
Orang biarlah hobi mendaki gunung ke, melancong ke."

Ana tidak memandang membaca itu sebagai perkara yang perlu dijadikan sebagai hobi. Membaca itu adalah sesuatu yang perlu! Bukan untuk masa-masa lapang. Kegemilangan umat Islam di zaman Abbasiyah adalah antaranya disebabkan umat Islam ketika itu yang amat dekat dengan bahan bacaan. Malangnya budaya itu tiada pada majoriti umat Islam hari ini. Tidak hairanlah jika negara-negara Islam dilihat mundur pada kaca mata Barat.


Tapi, macam mana nak pupuk minat membaca ni?

Ana amat gemarkan sesuatu yang penuh dengan pengembaraan dan cabaran, lantaran itu sebagai permulaannya ana jadikan buku-buku travelog sebagai pencetus ana untuk hampir dengan dunia buku. Kisah yang dinukilkan membuatkan ana dapat mencipta suatu imiginasi yang seolah-olah ana berada di dunia mereka.
"Travelog Iran: Menyingkap Misteri Bumi Ahmadinejad" seolah-olah membuatkan ana dapat merasai sendiri dunia di bawah pemerintahan seorang tokoh hebat di dalam dunia Islam. Subhanallah, hebat sungguh nikmat disebalik wahyu pertama yang diturunkan oleh Allah swt untuk kita. Apa yang cuba ana sampaikan adalah carilah suatu bacaan yang amat hampir dengan diri kita untuk dijadikan pencetus ke arah dunia pembacaan yang lebih hebat.

Percaya atau tidak, dunia buku ini juga telah berjaya membuatkan ana begitu hampir dengan mereka yang berada di sekeliling ana tidak kira mereka yang baru ana kenali mahupun yang sekian lama berkongsi cerita. Bahan bacaan yang diperoleh, ana jadikan modal untuk mengenali dan mendekati masyarakat. Bagaimana untuk mendekati adik-adik remaja, ada isu yang boleh ditimbulkan. Begitu juga apabila bersama-sama dengan kakak-kakak yang lebih dewasa malah yang seusia dengan ana. Cantik bukan, apabila budaya membaca itu dijadikan sesuatu yang sebati dengan jiwa kita terutamanya bagi yang benar-benar merasai beratnya tanggungjawab amar makruf nahi munkar.

Buat sahabat-sahabat yang sependapat dengan ana, sudi-sudikanlah untuk berkongsi bahan bacaan sahabat sekalian dengan ana. Ana sangat menghargainya. Dan buat sahabat-sahabat yang masih berusaha untuk mendekati dunia yang ana cintai ini, teruskan usaha itu. Marilah kita bersama-sama menyahut seruan Allah swt. Bacalah!

p/s: Book fair oh book fair...

My photo
Menitikberatkan perjuangan yang jitu semata-mata berlandaskan jalan kebenaran meskipun kemenangan bagaikan sukar untuk dicapai.

...