"Asmaa' kena belajar pakai cantik-cantik. Make up sikit. Baru nampak profesional. Bukan apa, kita nak berhadapan dengan orang yang profesional, kita pun kena jadi profesional," pesan seorang kakak yang bekerjaya, hanya ana balas dengan senyuman.
"Cuba belajar untuk pakai blouse, skirt labuh, kasut bagi tinggi sikit. Atau cubalah pakai kebaya. Mesti cantik," sambungnya apabila melihat ana hanya tersenyum. Namun, walaupun kali ini kata-katanya turut dibalas dengan senyuman, namun ana dapat merasakan senyuman di bibir menjadi sedikit tawar.
Inilah ujian bagi wanita apabila bekerjaya atau dalam erti kata lain apabila berada di dalam mana-mana profesion. Tidak kiralah wanita itu seorang peguam, seorang guru, seorang pegawai bank, seorang akauntan, doktor atau apa-apa profesion yang lain. Diuji untuk menjadi lebih bergaya yang tidak kena dengan syariat.
Tidak ada salahnya untuk berhias, namun cukuplah dengan kadar yang amat sederhana. Jika ingin ber'blouse', ber'skirt', ber'make up' malah jika ingin berjubah, pastikan dulu ukuran syariatnya. Maklumlah, jubah zaman sekarang banyaknya yang hanya mementingkan fesyen Sudah hilang nilai syariatnya. Ukurlah sama ada cukupkah longgarnya, jarang atau tidak, menarik perhatiankah dan yang pastinya, menutup keseluruhan aurat yang perlu dilindungi dari pandangan mereka yang bukan mahram. Begitu juga dengan tudung menutup kepala. Pastikan juga dilabuhkan hingga ke bawah dada.

Mungkin sukar untuk ana menyampaikan mesej ini kepada mereka di luar sana hanya dengan coretan di sini. Namun, apa yang menjadi harapan ialah buat sahabat sekalian yang membaca perkongsian ini, sama-samalah kita jauhi konsep berhias yang melampau. Mungkin tidak sampai tahap untuk kita membuka aurat, namun jagalah dari segi tabarujjnya. Masih tidak sempurna jika berpakaian yang sudah menutup aurat dengan sempurna, namun make up masih tebal, wangiannya yang menusuk hidung, malah akan dilaknatlah jika mengubah ciptaan Allah swt dengan mencukur alis dan memakai bulu mata palsu.
"Akak kerja apa ya?" soal ana sambil mengira-ngira di dalam hati, mungkin seorang ustazah di sekolah. Masakan tidak. Bertudung labuh, menjaga pertuturan persis ustazah sewaktu ana di sekolah dulu.
"Akak akauntan di Bank Negara," balasnya sambil tersenyum, bagai dapat membaca apa yang terlintas di fikiran ana sebelum itu. Dan mulai saat itu, beliaulah yang menjadi qudwah untuk ana jadikan pembakar semangat untuk berjaya.
Ramai lagi mereka yang ana temui mampu menghadapi ujian untuk berhias secara berlebih-lebihan meskipun mereka itu doktor, pensyarah, guru, jurutera mahupun usahawan. Lihat sahaja pemilik Sendayu Tinggi, Puan Rozita Ibrahim yang mampu menjadi ikon jutawan Muslimah dengan personalitinya yang berniqab.
Namun, jangan pula bila dikata jangan berhias berlebih-lebihan, langsung tidak menjaga kebersihan dan kekemasan. Yang perlu di'iron', mesti di'iron'. Yang perlu dirapi, rapikanlah dan yang pastinya mana yang kotor cucikanlah. Jangan pula menjadi fitnah, Muslimah tidak menjaga kebersihan dan kekemasan. Kebersihan itu sendiri adalah sebahagian dari iman.
Kesimpulannya, tepuk dada, tanya iman. Biarlah apa sahaja ukuran sebagai profesional, apa yang penting, jadikanlah taqwa dan iman yang tinggi sebagai matlamat untuk mencapai professional di akhirat kelak. Sebagai tuntas bagi perkongsian ini, berjaga-jagalah dengan amaran Rasulullah saw.
Abu Hurairah r.a. meriwayatkan bahawa Rasulullah saw pernah bersabda yang bermaksud, "Ada dua golongan yang akan menjadi penghuni neraka. Aku belum pernah melihat mereka iaitu golongan yang mempunyai cemeti-cemeti bagaikan ekor lembu yang digunakan untuk memukul orang dan golongan kedua adalah para wanita yang berpakaian tapi bertelanjang, berlenggang lenggok ketika berjalan, menarik perhatian orang yang melihat mereka. Kepala mereka bonngol unta yang senget. Mereka tidak akan bau syurga dan tidak dapat mencium bau wanginya. Sesunggunya bau wangi syurga boleh terhidu dari jarak perjalanan yang sangat jauh." (Riwayat Muslim)
Seterusnya, jika dilihat daripada hadith yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari, Muslim dan Abu Daud, Rasullullah saw juga bersabda yang bermaksud, "Allah melaknat wanita-wanita yang mencabut bulu kening atau bulu muka atau meminta orang lain mencukur dan mencabut bulu keningnya, wanita yang mengasah gigi untuk kelihatan cantik. Perbuatan itu telah mengubah ciptaan Allah."
Semoga Allah melindungi kita dari laknatNya dan dari halangan untuk membau haruman syurga. Nauzubillahiminzalik.
Catatan ini ditujukan khas buat diri penulis yang penuh dengan dosa ini dan berharap kebaikannya dapat menjadi tanda kasih buat sahabat sekalian.
p/s: Berhiaslah berlebih-lebihan untuk suami.
suke post ni =). suke jgk ayat ko yg last tu.. hehe