Ceritera II
Hari yang dinanti sudahpun tiba. Pergilah aku ke medan pertempuran. Debaran di dada cuba kuselindung dengan ukiran senyuman. Apakah kelat, tidak aku pasti. Bertemankan si cantik manis di sisi, menjadi penghilang runsing. Dan pabila tiba masanya, bertempurlah aku. Kuletakkan tawakkal hanya pada Allah swt. Dan, berkat doa bapak dan ibuku, juga saudara mara, pertempuran berakhir dengan jayanya. Alhamdulillah. Puji-pujian hanya untukMu, ya Allah. Setelah berulang kali aku gagal di sini, akhirnya Kau berikan juga aku kejayaan. Petang itu, aku tersenyum gembira. Aku yakin, tiada sudah kelatnya.
p/s: Penantian berakhir. Misi selesai.
Dalam meneruskan perjuangan Rasulullah saw, keikhlasan dalam setiap amalan memandu dalam perjuangan menuju mardhatillah.
Bismillahirrahmanirrahim......
Kutujukan warkah ini buatmu kekasihku, ya Rasulullah...
Duhai kekasihku,
Walau dikau tidak pernah kutemu, namun saban hari, sering ku sebut namamu. Dalam selawat, pengikat kasih antara kita. Betapa aku rindu untuk melihat wajahmu. Semoga tertunai impianku ini, ya Rasulullah.
Duhai kekasihku,
Masih ku pegang bukti dan kiriman kasihmu buatku. Al-Quran dan As-Sunnah akan ku genggam seeratnya. Untuk menemui cinta dari Rabbul Izzati. Yang pastinya tidak dapat kunilai dengan emas mahupun permata. Dan aku tau, itulah juga yang kau dambakan sepanjang hidupmu.
Duhai kekasihku,
Betapa sayu di hati ini bila mengenangkan pengorbananmu. Jiwa dan ragamu sanggup kauketepikan demi amanat Islam buatku pada hari ini. Betapa jasamu tiada dapat kubalas sepanjang hayatku.
Duhai kekasihku,
Meskipun sudah ku luah rintihanku pada si Dia kekasih Agung buat kita, namun ingin juga ku mengadu padamu Ya Rasulullah. Betapa sedih hatiku ini. Bila melihat mereka menghina dirimu. Menghina syariatmu. Menghina bukti kasihmu padaku. Seolah-olah tiada iman di jiwa mereka. Aku sedih ya Rasulullah. Hatiku ini bagai dihiris dan tiada tertahan lagi untukku menanggung sebak di dadaku. Air mata bagaikan sudah lali mengalir di pipiku.
Duhai kekasihku,
Meskipun nyawa terpaksa kubiarkan melayang, akan tetap aku berdiri di samping bukti kasih kita. Al-Quran dan Sunnahmu. Aku tahu, aku akan dicaci, dihina. Tapi, akan kupegang teguh janjiku ini. Kerana aku yakin. Dikau akan menantiku di sana. Di syurga yang kekal abadi.
Duhai kekasihku,
Banyak lagi yang ingin ku coretkan di dalam warkah ini. Namun, pasti tiada cukupnya tinta yang menanti. Kerana perjuangan cintaku pada Allah dan kasihku padamu, pasti penuh dengan ranjau dan duri, untuk aku kongsikan di sini. Akan kuredha segala yang ku alami. Amat ku pohon syafaat darimu. Demi cintaku yang tiada berganti.
Sekian dariku, buatmu kekasih hati. Ya Muhammad, Rasulullah saw.
Selawat dan salam kutitipkan buatmu..
Sallallahua'la Muhammad. Sallallahua'laihiwasallam.
Yang ikhlas,
Mawar Berduri.
p/s: Marilah sama-sama kita merenung sirah pejuangan Rasulullah saw. Simpanlah di dalam dada dan serapkan dalam hidup kita akan al-Quran dan as-Sunnah. Agar tiada kita sesat di dunia permusafiran ini.
Pulangnya diriku ke tanah halaman,
Membawa satu impian,
Untuk kembali kepada ketenangan desa,
Bagi merasai tiupan sang bayu,
Yang tidak pernah jemu memberikan pengharapan,
Bahawa desa ini masih seperti dulu,
Adanya permai, adanya damai.
Namun,
Resah itu tiba,
Berkunjung di dalam kotak hatiku,
Mengapa pengharapan itu seolah-olah palsu,
Bayu itu dapat kurasa,
Tapi, kenapa pula tidak sehalus dahulu?
Aku meneliti,
Dan aku pasti,
Damai itu yang berbicara,
Ibarat mengerti apa yang disangsi,
Penghuni desa sudah tidak seperti dahulu,
Tiada lagi yang berhijab membawa sopan,
Tiada lagi yang manis bila berbicara,
Tiada lagi yang menunduk pinta laluan,
Yang ada hanya dosa penghias rupa,
Kian larut dan hanyut mereka itu,
Anak muda hilang pedoman,
Bagai Tuhan dibuang mereka.
Apa benar sang bayu, perkhabaran itu?
Aduh, pedih benar terasa hatiku,
Bicaramu itu kusaksi dengan mataku,
Tiada yang tidak,
Bila dikau tidak sehalus dahulu,
Meniupkan khabar yang sayu buatku.
Ya Allah,
Pohonku ini hanya keranaMu,
Ketuklah jiwa mereka,
Agar kembali kepadaMu,
Supaya pengharapan dahulu, tiada yang palsu buatku.
p/s: Ana doakan kejayaan buat kita. Seeru a'la barakatillah..
"Asmaa' kena belajar pakai cantik-cantik. Make up sikit. Baru nampak profesional. Bukan apa, kita nak berhadapan dengan orang yang profesional, kita pun kena jadi profesional," pesan seorang kakak yang bekerjaya, hanya ana balas dengan senyuman.
"Cuba belajar untuk pakai blouse, skirt labuh, kasut bagi tinggi sikit. Atau cubalah pakai kebaya. Mesti cantik," sambungnya apabila melihat ana hanya tersenyum. Namun, walaupun kali ini kata-katanya turut dibalas dengan senyuman, namun ana dapat merasakan senyuman di bibir menjadi sedikit tawar.
Inilah ujian bagi wanita apabila bekerjaya atau dalam erti kata lain apabila berada di dalam mana-mana profesion. Tidak kiralah wanita itu seorang peguam, seorang guru, seorang pegawai bank, seorang akauntan, doktor atau apa-apa profesion yang lain. Diuji untuk menjadi lebih bergaya yang tidak kena dengan syariat.
Tidak ada salahnya untuk berhias, namun cukuplah dengan kadar yang amat sederhana. Jika ingin ber'blouse', ber'skirt', ber'make up' malah jika ingin berjubah, pastikan dulu ukuran syariatnya. Maklumlah, jubah zaman sekarang banyaknya yang hanya mementingkan fesyen Sudah hilang nilai syariatnya. Ukurlah sama ada cukupkah longgarnya, jarang atau tidak, menarik perhatiankah dan yang pastinya, menutup keseluruhan aurat yang perlu dilindungi dari pandangan mereka yang bukan mahram. Begitu juga dengan tudung menutup kepala. Pastikan juga dilabuhkan hingga ke bawah dada.

Mungkin sukar untuk ana menyampaikan mesej ini kepada mereka di luar sana hanya dengan coretan di sini. Namun, apa yang menjadi harapan ialah buat sahabat sekalian yang membaca perkongsian ini, sama-samalah kita jauhi konsep berhias yang melampau. Mungkin tidak sampai tahap untuk kita membuka aurat, namun jagalah dari segi tabarujjnya. Masih tidak sempurna jika berpakaian yang sudah menutup aurat dengan sempurna, namun make up masih tebal, wangiannya yang menusuk hidung, malah akan dilaknatlah jika mengubah ciptaan Allah swt dengan mencukur alis dan memakai bulu mata palsu.
"Akak kerja apa ya?" soal ana sambil mengira-ngira di dalam hati, mungkin seorang ustazah di sekolah. Masakan tidak. Bertudung labuh, menjaga pertuturan persis ustazah sewaktu ana di sekolah dulu.
"Akak akauntan di Bank Negara," balasnya sambil tersenyum, bagai dapat membaca apa yang terlintas di fikiran ana sebelum itu. Dan mulai saat itu, beliaulah yang menjadi qudwah untuk ana jadikan pembakar semangat untuk berjaya.
Ramai lagi mereka yang ana temui mampu menghadapi ujian untuk berhias secara berlebih-lebihan meskipun mereka itu doktor, pensyarah, guru, jurutera mahupun usahawan. Lihat sahaja pemilik Sendayu Tinggi, Puan Rozita Ibrahim yang mampu menjadi ikon jutawan Muslimah dengan personalitinya yang berniqab.
Namun, jangan pula bila dikata jangan berhias berlebih-lebihan, langsung tidak menjaga kebersihan dan kekemasan. Yang perlu di'iron', mesti di'iron'. Yang perlu dirapi, rapikanlah dan yang pastinya mana yang kotor cucikanlah. Jangan pula menjadi fitnah, Muslimah tidak menjaga kebersihan dan kekemasan. Kebersihan itu sendiri adalah sebahagian dari iman.
Kesimpulannya, tepuk dada, tanya iman. Biarlah apa sahaja ukuran sebagai profesional, apa yang penting, jadikanlah taqwa dan iman yang tinggi sebagai matlamat untuk mencapai professional di akhirat kelak. Sebagai tuntas bagi perkongsian ini, berjaga-jagalah dengan amaran Rasulullah saw.
Abu Hurairah r.a. meriwayatkan bahawa Rasulullah saw pernah bersabda yang bermaksud, "Ada dua golongan yang akan menjadi penghuni neraka. Aku belum pernah melihat mereka iaitu golongan yang mempunyai cemeti-cemeti bagaikan ekor lembu yang digunakan untuk memukul orang dan golongan kedua adalah para wanita yang berpakaian tapi bertelanjang, berlenggang lenggok ketika berjalan, menarik perhatian orang yang melihat mereka. Kepala mereka bonngol unta yang senget. Mereka tidak akan bau syurga dan tidak dapat mencium bau wanginya. Sesunggunya bau wangi syurga boleh terhidu dari jarak perjalanan yang sangat jauh." (Riwayat Muslim)
Seterusnya, jika dilihat daripada hadith yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari, Muslim dan Abu Daud, Rasullullah saw juga bersabda yang bermaksud, "Allah melaknat wanita-wanita yang mencabut bulu kening atau bulu muka atau meminta orang lain mencukur dan mencabut bulu keningnya, wanita yang mengasah gigi untuk kelihatan cantik. Perbuatan itu telah mengubah ciptaan Allah."
Semoga Allah melindungi kita dari laknatNya dan dari halangan untuk membau haruman syurga. Nauzubillahiminzalik.
Catatan ini ditujukan khas buat diri penulis yang penuh dengan dosa ini dan berharap kebaikannya dapat menjadi tanda kasih buat sahabat sekalian.
p/s: Berhiaslah berlebih-lebihan untuk suami.
Assalamualaikum wbt..
...................................................................................
Apabila mengimbas kembali kenangan sewaktu di sekolah, ana akan tersenyum sendirian mengenangkan betapa tak matured dan 'skema'nya ana ketika itu. Perasaan takut untuk melanggar peraturan sekolah (kerana takut kena denda) membuatkan ana berasa selesa untuk mematuhinya meskipun kadang-kadang terdetik di hati merasa ketidakadilan undang-undang yang dicipta manusia. Namun, persoalan itu berjaya ditepis dan akhirnya atas dasar husnu zhon (berbaik sangka) Alhamdulillah, hidup yang diatur di bawah peraturan sekolah berjaya ana harungi. Hari ini, tiada lagi roll call, tiada lagi prep, tiada lagi denda pusing bangunan dan tiada lagi apa-apa yang ada ketika zaman persekolahan. Namun, hidup seorang manusia tidak akan terlepas dari aturan Allah swt yang digarap melalui al-Quran dan as-Sunnah. Meskipun hari ini tiada lagi peraturan sekolah yang ketat, tetap menjadi suatu keperluan bagi kita untuk mewujudkan peraturan kita seharian dengan berlandaskan al-Quran dan as-Sunnah berdasarkan pengalaman yang sedia ada. Peraturan itulah yang akan menjadi pendirian dalam hidup kita untuk menghadapi dugaan dan cabaran dunia luar yang sangat dahsyat hari ini. Dan yang pastinya, setiap dari kita akan ditanya sejauh mana kita berjaya mewujudkan kesungguhan dan kepatuhan terhadap undang-undang yang telah dicipta oleh Allah swt yang mana keadilannya tak terjangkau dek fikiran.
Lembu pun patuh pada undang-undang Allah..
Ku dedikasikan luahan hati ini buat mereka yang telah, sedang dan akan mencurahkan kasih sayang buat diri ini.. Terimalah, KAU MENYAYANGIKU.
Kau menyayangiku,
Seperti bumi,
Menyayangi titah Tuhannya,
Tidak pernah letih,
Menanggung beban derita,
Tidak pernah penat,
Menghisap luka.
Kau menyayangiku,
Seperti matahari,
Menyayangi titah Tuhannya,
Tidak pernah letih,
Membahagi cerahnya cahaya,
Tidak pernah letih,
Menghangatkan jiwa.
Kau menyayangiku,
Seperti air,
Mencintai titah Tuhannya,
Tak pernah letih,
Membersihkan lara,
Tak pernah letih,
Menyejukkan dahaga.
Kau menyayangiku,
Seperti bunga,
Mencintai titah Tuhannya,
Tak pernah letih,
Tak pernah letih,
Meneduhkan gelisah nyala.

Meskipun bingkisan ini ku petik dari filem Ketika Cinta Bertasbih, namun tidak salah rasanya untuk aku jadikannya sebagai suatu coretan tanda bahagianya diri ini menerima rasa cinta dan kasih dari mereka yang telah, sedang dan akan mengikhlaskan kasih sayang buat diriku. Meskipun ada ketikanya balasan dariku tidak setanding dengan apa yang telah mereka berikan buatku. Ya Allah, kurniakanlah syurga yang kekal abadi mereka dengan rahmat dan kasih sayangMu. Sesungguhnya, Engkaulah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.
p/s: Allahumma bariklana fi Sya'ban wa balighrna fi Ramadhan..
...............................
Memilih untuk tidak terus membebel panjang, ingin ana kongsikan satu isu yang mungkin sudah jemu untuk diperkatakan dalam masyarakat iaitu berkaitan kes pembunuhan terancang oleh ibu bapa atau mereka yang mungkin sesuai digelarkan sebagai syaitan bertopengkan manusia (minta maaf kerana ana terpaksa menggunakan istilah yang agak keras bunyinya). Penjenayah-penjenayah ini tidak jemu-jemu melakukan pembunuhan saban hari terhadap anak-anak kecil yang telah dengan sempurna kejadiannya mahupun terhadap anak-anak yang tidak sempat untuk merasai nikmat kasih sayang di dalam rahim ibu selama 9 bulan 10 hari.
Apabila isu ini sibuk diperkatakan, perihal tunding menunding sudah menjadi kelaziman dalam melepaskan tanggungjawab di atas bahu pihak lain. Bukankah al-Quran sudah menerangkan dengan jelas dan terang bahawa kita semua ada tanggungjawab di atas segala apa yang berlaku di atas muka bumi ini. Kita semua adalah khalifah! Jadi, jangan terus salah menyalahkan antara satu sama lain. Ambillah apa-apa tindakan dengan penuh strategi bersesuaian dengan kemampuan kita untuk menjalankannya. Kerajaan dengan bidang kuasanya, masyarakat dengan anggota-anggotanya, keluarga dengan ahli-ahlinya dan diri sendiri dengan imannya.
Ana terasa geram apabila terdapat pihak bertanggungjawab yang hanya menjengahkan muka apabila masyarakat mula sibuk memperkatakan tentang sesuatu masalah sedangkan langkah pencegahan langsung tidak dimulakan sebelum masalah itu timbul. Mungkin ana tidak ada hak untuk mempertikaikan tindakan mereka yang kononnya lebih berkuasa, namun hakikatnya, semua manusia ada hak untuk memperbetulkan keadaan agar menjadi lebih baik. Prevention is better than cure. Itulah yang telah Islam ajarkan sejak berkurun lama dahulu dalam setiap perkara yang berlaku di atas muka bumi ini. Jangan sampai azab Allah swt mendahului kita. Nauzubillahimin zalik..
Ana rasa cukuplah sekadar ini ana berkongsi antara isu-isu terkini yang disiarkan di dalam akhbar mahupun di kaca-kaca televisyen khususnya di bumi Malaysia. Jika ana terus menulis, emosi mungkin telah mengatasi akal fikiran ana.
Bersama-samalah kita menyediakan jawapan melalui tindakan-tindakan kita agar kita tidak kelu andai ditanya mengenai tugas yang telah kita lakukan ketika bertemu Allah swt di Padang Mahsyar nanti..
Selamat bermuhasabah...
p/s: Terbaca berita janin di dalam botol yang mungkin digunakan untuk pemujaan.. Astaghfirullah...
Tiada mungkin akan kutemui lagi,
Peritnya hati menanggung dosa di hati,
Lantaran dunia mengaburi jiwa yang sepi.
Mudahnya aku tewas,
Di jalan mujahadah ini,
Yang sememangnya penuh dengan liku cabaran yang menanti,
Di manakah jiwaku yang kental dahulu,
Di manakah janjiku yang setia dahulu,
Untuk terus menongkah arus perjalanan ini,
Untuk terus mencari cintaMu Ya Rabbi.

Aku kini,
Mengenang kembali,
Akan kenangan di jalan mujahadah dahulu,
Kerinduanku akan nikmat perjuangan itu,
Disebalik keperitan yang kualami,
Membawaku bertemu redha Mu, Ya Ilahi.
Apakah masih ada buatku peluang itu?
Untuk aku kembali ke perjuangan diri,
Menentang cinta duniawi,
Yang hanya penuh dusta buat diri,
Cinta manusia,
Cinta harta,
Cinta yang palsu semata-mata,
Yang tidak menjanjikan apa-apa,,
Di akhirat yang setia menanti.
Entah kenapa,
Di saat kekusutan ini,
Dapat ku lihat,
Masih ada sinar buat diri ini,
Untuk kembali ke mujahadah diri,
Agar dapat ku temui,
CintaMu Ya Rabbul Izzati,
Hidayah Allah peneman diri.
Kuatkanlah dirimu,
Cekalkan hatimu,
Sabarkanlah jiwamu,
Di medan perjuangan ini,
Wahai mujahidah Islam yang sejati,
Sesungguhnya,
Janji Allah,
Itulah yang dinanti,
Di syurga yang kekal abadi.
Kadang-kadang ana akan bertanya, kenapa kita mengelakkan diri daripada sesuatu? Ianya adalah disebabkan kita takut untuk merasai kehilangan. Selamat berjuang sahabatku..
PERGI…..
Sayu terpisah
hikayat indah kini hanya tinggal sejarah
berhembus angin rindu
begitu nyamannya terhidu wangian kasihmu
hujan lebat mencurah kini
bagaikan tiada henti
kaulah laguku kau irama terindah
tak lagi kudengari
kau pergi.. pergi..
sepi tanpa kata
terdiam dan kaku tak daya kau kulupa
apa pun kata mereka
biarkan kenangan berbunga di ranting usia
hujan lebat mencurah kini
bagaikan tiada henti
kaulah laguku kau irama terindah
tak lagi kudengari
kau pergi.. pergi..
p/s: Tak dapat tahan air mata
Kehadapan sahabat-sahabat yang dikasihi sekalian, apa khabar semua? Pertama-tamanya, ribuan kemaafan dipohonkan andai diri ini telah melukakan hati kalian semua. Bukanlah diri ini sengaja mendiamkan diri, Cuma mencari masa yang sesuai untuk diri ini mendapatkan kekuatan kembali. Maaf andai diri ini dianggap tidak menghargai kalian. Ujian itu agak berat untuk ana dan sehingga kini ana masih berusaha memperkuatkan jiwa agar dapat berada pada jalan kemenangan di atas dunia yang fana ini. Hampir sebulan ana tidak mampu untuk tersenyum seperti dahulu. Benarlah kata orang, memang indah memberi kekuatan kepada orang lain tetapi kekuatan itu begitu sukar untuk ditanam di dalam diri sendiri apabila ujian mula menimpa. Jutaan terima kasih buat sahabat-sahabat yang sudi memperingatkan diri ana dengan nasihat dan kata-kata yang sedikit sebanyak menghilangkan sebak di dada. Tidak dilupa buat guru-guru di KMS yang tidak jemu-jemu memberi kekuatan dengan kata-kata motivasi agar terus mengecapi kejayaan walaupun mungkin melalui cara lain yang telah diatur oleh si Dia Yang Maha Agung.
Hari ini adalah hari terakhir diriku di KMS, bumi yang banyak memberikan kenangan dan memori yang pastinya tidak dapat dilupakan. Usai solat subuh buat kali terakhir, kami(jemaah muslimat) meneruskan bacaan Al-Mathurat dalam halaqah bersama-sama. Diri ini diminta untuk menitipkan kata-kata yang terakhir sebagai tazkirah untuk pagi ini. Sedikit sebak di dalam hati bila mengenangkan sahabat-sahabat yang akan ditinggalkan..
p/s: Sejuta penghargaan buat yang sudi menemani diri ana sepanjang seminggu ini. Buat sahabat yang sempat ana jumpa di surau (Farah, Ain, Aisyah Mardhiah, Siti Aisyah, Farah Nabilah dan Namirah), ingat wasiat ana...he.. Tidak dilupakan, Samihah yang sudi ambilkan makanan dari ds untuk ana, terima kasih.
FINAL EXAM!!
Ya, itulah yang membawakan satu suasana yang menyebabkan makan tak kenyang, tidur tak lena, dan mungkin mandi tak basah. Manakan tidak. Below 35, mungkin diri ini tidak mampu menjejakkan kaki di sana..
p/s: Ya Allah, kiranya ada rezekiku di sana, Kau kuatkanlah hatiku untuk menempuh segala mehnah yang mampu mencabar iman di dalam diriku ini...
...........................................
p/s: Ya Allah, aku mohon agar Kau tabahkanlah hatiku ini dalam menempuh ujianMu ini.

Ana teringat perbualan dengan abi tercinta dua hari sebelum menghadapi SAT.
“ Abuya(panggilan terhadap abi), kaklong exam hari Jumaat ni. Abuya tolong doakan kaklong ye.”
“ Insya Allah, abuya memang selalu doakan kaklong. Umi, adik-adik di rumah pun doakan kejayaan kaklong juga. Apa yang penting, kaklong jangan asyik fikirkan yang soalan-soalan tu susah. Kita buat sedaya upaya. Jangan lupa berdoa. Selebihnya, tawakkallah pada Allah. Allah tidak melihat keputusan kaklong yang keluar nanti, tapi Dia akan menilai sejauh manakah kaklong berhadapan dengan ketentuan-Nya nanti. Tidak kira sama ada diuji dengan kejayaan mahupun kegagalan.”
Sebak diri ana mendengar kata-kata daripada seorang ayah yang selalu mengambil berat akan anaknya ini.
Buat sahabat yang dikasihi dan dirahmati Allah s.w.t sekalian…..
Tiba-tiba diri ini terbayangkan kalamullah yang tercatat di dalam Surah As-Saff, ayat 2 & 3. Adakah diriku termasuk di dalam kalangan mereka yang dimurkai Allah s.w.t. lantaran diriku tidak melakukan apa yang ku perkatakan?
Sedih. Pilu. Ku dengar desas desus yang memperkatakan tentang kesalahan yang telah kulakukan. (Kupohonkan keampunan dari Mu, ya Allah atas apa yang telah aku lakukan.. Ku pohon jua ribuan kemaafan buat saudara-saudaraku yang berada di Palestin, mahupun di negara-negara Islam yang ditindas oleh kafir laknatullah…)
“Pendakwah kuat KMS makan Mc D!”
“Asmaa’ tulis dalam blog, suruh boikot Mc D. Tapi dia yang makan Mc D!”
(Ana x pernah tulis pasal boikot kat dalam blog ana. Ana sedih bila ada hamba Allah tu kata ana x boikot Mc D, tapi suruh orang boikot dalam blog ana.)
Sahabat… Ku tahu akan peranan seorang sahabat yang menjadi cermin bagi sahabatnya yang lain. Namun, dimanakah cara berhikmahnya? Adakah dengan memperkatakan keburukan seseorang di belakang, kita dapat menyelesaikan masalah yang berlaku?
Jika perkara itu benar, maka ia akan dikira mengumpat sekiranya orang yang diumpatnya itu sedih dan marah apabila mendengar apa yang telah diperkatakan..
Namun jika semuanya dusta, fitnahlah bahananya.
Sanggupkah kita meratah daging saudara kita sendiri atau sedarkah kita bahawa sesungguhnya fitnah itu lebih teruk dari membunuh?
Sahabat.. Diri ini mengharapkan diri kalian faham situasi ana sekarang. Behentilah dalam memperkatakan keburukan sahabat-sahabat kita yang lain. Jangan sampai apa yang kita perkatakan memakan diri kita sendiri suatu hari nanti.
Sesungguhnya doa orang yang dizalimi akan dimakbulkan Allah s.w.t.
p/s: Kupohon ribuan kemaafan di atas kata-kataku yang mungkin menyinggung perasaan sesetengah pihak..
- MAWAR BERDURI
- Menitikberatkan perjuangan yang jitu semata-mata berlandaskan jalan kebenaran meskipun kemenangan bagaikan sukar untuk dicapai.






