WARKAH CINTAKU
Saturday, January 28, 2012 by MAWAR BERDURI in Labels: ,

Bismillahirrahmanirrahim......

Kutujukan warkah ini buatmu kekasihku, ya Rasulullah...


Duhai kekasihku,
Walau dikau tidak pernah kutemu, namun saban hari, sering ku sebut namamu. Dalam selawat, pengikat kasih antara kita. Betapa aku rindu untuk melihat wajahmu. Semoga tertunai impianku ini, ya Rasulullah.


Duhai kekasihku,
Masih ku pegang bukti dan kiriman kasihmu buatku. Al-Quran dan As-Sunnah akan ku genggam seeratnya. Untuk menemui cinta dari Rabbul Izzati. Yang pastinya tidak dapat kunilai dengan emas mahupun permata. Dan aku tau, itulah juga yang kau dambakan sepanjang hidupmu.




Duhai kekasihku,
Betapa sayu di hati ini bila mengenangkan pengorbananmu. Jiwa dan ragamu sanggup kauketepikan demi amanat Islam buatku pada hari ini. Betapa jasamu tiada dapat kubalas sepanjang hayatku.
 
Duhai kekasihku,
Meskipun sudah ku luah rintihanku pada si Dia kekasih Agung buat kita, namun ingin juga ku mengadu padamu Ya Rasulullah. Betapa sedih hatiku ini. Bila melihat mereka menghina dirimu. Menghina syariatmu. Menghina bukti kasihmu padaku. Seolah-olah tiada iman di jiwa mereka. Aku sedih ya Rasulullah. Hatiku ini bagai dihiris dan tiada tertahan lagi untukku menanggung sebak di dadaku. Air mata bagaikan sudah lali mengalir di pipiku.  
Duhai kekasihku,
Meskipun nyawa terpaksa kubiarkan melayang, akan tetap aku berdiri di samping bukti kasih kita. Al-Quran dan Sunnahmu. Aku tahu, aku akan dicaci, dihina. Tapi, akan kupegang teguh janjiku ini. Kerana aku yakin. Dikau akan menantiku di sana. Di syurga yang kekal abadi.

Duhai kekasihku,
Banyak lagi yang ingin ku coretkan di dalam warkah ini. Namun, pasti tiada cukupnya tinta yang menanti. Kerana perjuangan cintaku pada Allah dan kasihku padamu, pasti penuh dengan ranjau dan duri, untuk aku kongsikan di sini. Akan kuredha segala yang ku alami. Amat ku pohon syafaat darimu. Demi cintaku yang tiada berganti.

Sekian dariku, buatmu kekasih hati. Ya Muhammad, Rasulullah saw.


Selawat dan salam kutitipkan buatmu..
Sallallahua'la Muhammad. Sallallahua'laihiwasallam.


Yang ikhlas,

Mawar Berduri.


p/s: Marilah sama-sama kita merenung sirah pejuangan Rasulullah saw. Simpanlah di dalam dada dan serapkan dalam hidup kita akan al-Quran dan as-Sunnah. Agar tiada kita sesat di dunia permusafiran ini.

Hidayah Termahal
Wednesday, January 11, 2012 by MAWAR BERDURI in


Malam tadi, aku cuba menghabiskan tulisan Almarhum Ustaz Fathi Yakan, Golongan Yang Tercicir sambil ditemani alunan Dream of Me (Hamza Namira). Jam dua belas tengah malam, aku menutup buku walaupun masih belum berjaya menghabiskan, walaupun mata masih belum mengantuk. Bimbang tidak cukup tidur keesokan hari memandangkan aku sudah berjanji dengan sahabatku untuk berjumpa di UIA. Sedang berusaha melelapkan mata yang masih belum juga mahu tutup, handphone ku berbunyi, tanda ada mesej diterima. Dan sejajar dengan itu, satu misscall juga diterima memberikan pengertian bahawa ada sesuatu yang penting ingin disampaikan.

"Rindunya kat akak. Erm, akak busy ke? Rasa macam need someone to talk to. Tak tahu kenapa, tiba-tiba teringat kat akak."

Dalam hati, aku berkira pada mulanya. Jarum jam sudah menghampiri jam satu pagi, namun segera aku tangkis perkiraan itu yang aku yakini datangnya dari hati yang tidak ikhlas.

"Tak tahu kenapa, akhir-akhir ini Ana (bukan nama sebenar) rasa macam maut tu dekat sangan dengan Ana. Rasa bila Ana buat semua benda, Ana akan rasa takut. Sampai every single thing yang Ana buat, Ana akan fikir pasal mati. Everyday rasa macam esok dah takde untuk Ana."
...............................


Hidayah Allah swt adalah sesuatu yang sangat ajaib, sangat miracle pada sisi kita sebagai seorang manusia yang penuh dengan kelemahan. Sesuatu yang langsung berada di luar kawalan otak kita pada zahirnya. Hidayah itu boleh hadir dalam keadaan dan situasi yang tidak dirancang, tidak disusun dan tidak dibuat-buat. Dan yang pastinya kuasa hidayah itu hanyalah terletak pada pencipta kita, Rabbul Izzati.

Beberapa tahun yang lalu, seorang juruterbang pesawat India kembali kepada Islam setelah pengalaman pesawatnya yang dinaungi dengan redupan awan ketika membawa jenazah Almarhum Tuan Guru Dato' Haji Fadzil Noor, seorang ulama' yang tidak pernah mengenal erti penat lelah dalam memperjuangkan kalimat tauhid. Ada juga kisah artis yang kembali juga kembali kepada Islam setelah diuji dengan saat-saat menghadapi kematian, seperti yang berlaku pada Yusuf Islam dan berbagai-bagai kisah lain yang pastinya sudah sering kita dengar.  

Jika mereka mengkagumkan kita dengan perubahan pegangan hidup yang asalnya tidak Islam kepada mengimani kalimah syahadatain, bagaimana pula dengan kita yang sejak lahir sudah didik dengan cara hidup Islam. Susah sekali dan jarang sekali untuk kita menyedari bahawa kita juga sering diberikan hidayah oleh Allah swt dalam rangka untuk menambahnilaikan iman kita, akhlak kita dan amal kita. Mungkin di atas sifat qanaah yang tidak bertempat apabila merasa cukup dengan ibadat yang dilakukan. Nauzubillahiminzalik. Seolah-olah hidayah yang dicampakkan Allah swt itu hanyalah sesuatu yang menyukarkan kita, menyusahkan kita. Allahurabbi. Siapalah kita untuk layak berasa demikian. Apakah syurga itu begitu murah sehingga kita dengan egonya menafikan hidayah dan petunjuk Allah swt? 

Saya menyeru diri saya, diri sahabat-sahabat sekalian untuk kita letakkan sifat rendah diri dalam persoalan pengabdian diri kepada Allah swt. Sifat rendah diri yang mampu memberikan momentum untuk kita sentiasa mengambil peluang hidayah yang diberikan Allah swt bagi menaikkan darjat kita daripada seorang Muslim kepada seorang Mukmin. Daripada seorang Muslimah kepada seorang Mukminah. Suka untuk saya meminjam kata-kata dari tulisan si cantik Kak Wardina Safiyyah sebagai salah satu cara untuk kita meletakkan kayu ukur dalam setiap kehidupan kita.

-Kata-kata naqibah saya yang cukup saya sayangi tersemat di hati. “Tidak cukup menjadi seorang Muslim, kita mestilah menjadi seorang Muslim yang beriman” katanya. “Tidak cukup beriman saja, namun kita mesti beriman dan berilmu”. “Tidak cukup kita menjadi Muslim beriman yang berilmu, namun kita mesti beramal dengan ilmu itu”. “Dan tidak cukup kita beramal kita mesti ikhlas dalam segala amalan”- Wardina Safiyyah   
.......................................

"Ana, you want to know something? Apa yang Ana rasa itu adalah tanda Allah swt sedang memberikan hidayah pada Ana. Tanda sayangnya Allah swt pada Ana. Apabila Allah swt datangkan ilham pada kita untuk sentiasa fikirkan mengenai kematian, tugas kita untuk sentiasa upgrade iman kita, upgrade akhlak kita. Syukurlah Ana kerana Allah swt sedang mencintaimu."

Akhirnya aku terlelap setelah aku melihat jam yang sudah menunjukkan angka 3.

p/s: Takziah buat Syibrah di atas pemergian sepupunya pagi ini. Innalillahi wainna ilaihirajiun..

Hari Ini Dan Suatu Ketika Dahulu
Monday, January 09, 2012 by MAWAR BERDURI in

"Assalamualaikum Asmaa'.
maaf la klau msg ni ganggu asmaa'... 
ingt aisyah (bukan nama sebenar) lg x? nk mntk tlg ni... sepanjang aisyah knal asmaa'... aisyah rsa asmaa' la org yg plg sesuai bleh tlg aisyah... nk mintak asmaa' tarbiyah aisyah... usrah secara alam maya... klau Allah tergerakkan hati asmaa' nk tlg aisyah, ni no fon aisyah 019-*******..."

Aku terkesima tatkala menerima mesej ini di dalam Inbox di Facebook pada September tahun lalu. Aku perhatikan namanya. Cuba memastikan sama ada aku kenal orangnya. Masih kabur. Aku lihat profile di Facebook. SBPI Batu Rakit, class of 2006! Lantas aku teringat, nama inilah yang antara yang sering disebut-sebut dalam mesyuarat pengawas suatu ketika dahulu. Disebut-sebut kerana peraturan sekolah yang dibenci dan dilanggarnya. Dan aku pasti, aku yang pengawas ketika itu, sudah pasti menjadi musuhnya. Namun, setelah 5 tahun berlalu...

Aku berbisik. Apakah aku layak membantumu sahabatku? Apakah aku mampu luangkan masaku buatmu dalam keadaan aku sendiri sesak dengan masaku? Apakah aku yang mungkin dikau benci dahulu, mampu kau depani dalam tautan ukhwah yang bakal diperbaharui?  Persoalan-persoalan ini keluar bertalu-talu dari benak fikiranku. Aku tidak pasti adakah datangnya dari kegusaran diriku atau syaitan yang mencucuk-cucuk jiwaku.

Mengenangkan kisah Abdullah Ibn Ummi Makhtum, aku membuka planner ku. Cuba mencari sedikit ruang untuk aku adakan pertemuan dengannya. Pertemuan yang kuharap mampu menjadi tanda pengabdianku pada Dia. Alhamdulillah, yang kurancang terjadi. PadaMu jua segala puji-pujian. Kami bertemu setelah lama terpisah. Pertemuan yang aku yakini lain ertinya buat kami sewaktu ketika dahulu. Syukur padaMu ya Allah, Kau bawakan kami pada pertemuan-pertemuan yang seterusnya. Hanya untuk mencari redhaMu.
..........................................

Beberapa hari yang lalu, kami bermusafir. Sengaja aku rancangkan bagi memantapkan ketiga-tiga rukun usrah yang kami pegang. Tawakkalku pada Allah swt agar hasratku tercapai. Sepanjang permusafiran, kami bercerita dan berkongsi. Dari perihal peribadi kepada kisah-kisah lama sewaktu di sekolah dahulu. Empat jam tempoh perjalanan bagai tidak terasa jauhnya. Kami berjalan dan berjalan. Sempat juga aku perkenalkan pada sahabat-sahabatku yang kami temui di perjalanan. Dan kami pulang memandangkan dia perlu bekerja pada hari berikutnya.

 Yang sempat kurakamkan di musafir kami. Cantikkan. =)

"Asmaa' ada nak pergi mana-mana lepas ni?"
"Rasa-rasa macam nak singgah Masjid Jamek, ada nak beli barang sikit. Aisyah nak ikut?"
"Kalau Asmaa' pergi Masjid Jamek, nak ikut. Aisyah nak beli tudung yang labuh sikit. Tapi bukan yang bidang 60. Hehe.. Kalau nak beli sendiri, Aisyah tak pandai."
"Owh, boleh-boleh. Kalau yang labuh sikit daripada yang Aisyah pakai, ada yang bidang 50. Asmaa' tau tempat yang kita boleh dapat diskaun. Jom!"
"Jom!"
...................................................

Ya Allah, Engkaulah Maha Pemberi Petunjuk. La haula wala quwwata illa billah.

Ceritera 1
Sunday, January 08, 2012 by MAWAR BERDURI in

Inilah cerita aku, di minggu yang lalu.
...................................................

Saman
Bapak aku telah ditahan oleh hulubalang diraja. Dek meletakkan kolek di pinggir laluan perahu besar. Aku terkedu. Ditautkan bapak sang kolek itu di situ. Mudahkan aku meniti ke perahu besar. Ya Allah, ini bicaraMu buatku. Terima kasih ya Tuhan, kurniakan aku bapak sehebat ini. 

Pergilah aku
Perahu besar lambat tiba. Aku sudah gusar. Emak tidak sedap duduk. Bapak pula sudah berulang alik ke kiri ke kanan. Masih tidak tiba. Sudah bergerak satu angka jam. Aku putuskan, "Jom pulang emak, bapak". Namun kata bapak, "Sabar, ini jalan perjuangan. Mudah kamu putus asa. Sabar ya". Akhirnya, tiba jua. Perahu besar rosak, maklum nakhodanya. Pergilah aku ke Serambi Mekah. Mencari barakah padanya.

Trio 
Namamu? Asmaa'. Geranganmu? Asmak. Sudah dua serikandi Abu Bakr. Dan kamu? Aku Asma'. Subhanallah, tiga rupanya kami di sini. Di tanah yang penuh berkat ini. Akhirnya, ada pertemuan untuk kami. SusunanMu, ya Rabb. Jumpalah kami "Asma' Cube".

Doc Dati
"Belum pulih kamu. Jaga diri ya." Temanku. Belajar dia ilmu tabib. Melihat mukaku masih ada kesan sakitku yang lalu. Senyumlah aku. Sangkaku, sudah pulih. Nampaknya, hujan masih harus kujauhi. Payung itu masih perlu kukelek ke sana sini.

Tuan Guru
Jumaat itu, bagai mimpi. Aku melihat begitu dekat, wajah Tuan Guru. Redup matanya. Jernih air mukanya. Dalam keuzuran, ilmu itu masih disampai. Untuk rakyat jelata. Cemburulah mereka yang tidak merasa. 

Pulanglah aku
Tidak pula aku tahu. Pengkalan itu ada dua. Silap aku di pengakalan yang bukan terdapat perahu besar yang aku tambangi. Alhamdulillah, ada jua perahu yang lain. Pulanglah aku dengan hati yang berat. Bumi barakah ini, akan aku jejaki lagi?
........................................................................

Perjuangan itu menuntut keikhlasan dan pergantungan yang tinggi pada Allah swt. Kadangkala, sesuatu yang tidak terlintas di fikiran kita namun, itulah aturan Dia yang Maha Mengetahui. Aturan yang mungkin membuatkan kita rebah, atau terus maju ke depan. Segalanya terletak pada bagaimana kita berhadapan dengan aturan itu. Pokok pangkalnya, ikhlaslah kita dalam perjuangan. Itu antara yang paling besar aku pelajari dalam pemergian aku yang lalu. Pemergian seketika di tanah Serambi Mekah.

p/s:Tenang sungguh air di kali.  

My photo
Menitikberatkan perjuangan yang jitu semata-mata berlandaskan jalan kebenaran meskipun kemenangan bagaikan sukar untuk dicapai.

...