no title
Wednesday, February 29, 2012 by MAWAR BERDURI in

Dada berasa sesak
Hati berasa pilu
Jiwa berasa sedih
Pedih..

Persiapan diri
Sunday, February 26, 2012 by MAWAR BERDURI in

Alhamdulillah, setelah hampir 3 bulan berada dalam rutin harian yang mempunyai sedikit kerehatan, hari ini saya kembali kepada hidup yang membuatkan saya menghargai apa yang dikatakan sebagai masa. Memilih untuk menghadiri Seminar Maza Yakni Intimai Lil Islam (Apa Erti Saya Menganut Islam), saya meletakkan harapan dan doa agar Allah swt menaungi sedikit usaha untuk persiapan diri ini dengan redha dan rahmat dari Nya.


Menelusuri sekitar pembentangan, segala puji bagi Allah swt yang memberikan peluang untuk melihat tulisan Almarhum Syeikh Dr Fathi Yakan pada sisi yang sedikit berbeza dan penuh dengan unsur-unsur yang kelihatan segar meskipun sudah berulangkali menjadi rujukan dalam pembawaan usrah. Syabas dan sekalung tahniah buat Ustaz Hasrizal Abdul Jamil dan teamnya.

Sedikit perkongsian buat sahabat sekalian, kami meneliti realiti cabaran dan dugaan yang dihadapi oleh masyarakat hari ini khususnya komuniti Muslim pada sudut pandangan pembangunan material yang sangat ekstrim dan keruntuhan institusi keluarga yang saban hari menjadi paparan di dada-dada akhbar. Dengan merujuk sepotong hadith Rasulullah saw yang terkenal dengan gelaran hadith Jibril menerusi tanda-tanda awal Kiamat, permasalahan ini dikupas dan dikoreksi penyelesaiannya melalui pembentukan seorang Muslim dalam erti kata yang sebenar melalui pandangan agama yang berteraskan al-Quran dan as-Sunnah. Paduan yang sempurna pada aqidah, ibadah dan akhlak yang dilahirkan dari unsur iman, Islam dan ihsan, mampu merealisasikan makna kehidupan seorang Muslim yang hanya untuk Islam dengan tidak mengenesampingkan rumahtangga dan kawal diri yang berteraskan syariatullah dan sunnatullah.


Saya melihat kupasan buku Maza Yakni ini sebagai suatu muhasabah dan persediaan yang cukup realistik dan tidak kelihatan seperti terlalu idealistik sehingga sukar untuk diraih pengamalannya dalam kehidupan seharian terutamanya bagi insan yang belajar untuk bergelar daei. Kadang-kadang kita terlalu banyak mengeluarkan idea dan konsep yang kelihatannya hanya indah di bibir sedangkan hakikat medan dakwah itu memerlukan sesuatu yang tidak hanya bersifat retorik semata-mata. Suka untuk saya berkongsi salah satu persoalan yang dibangkitkan mengenai ketidakstabilan sebuah rumahtangga yang telah dibina dengan amat mematuhi syariatullah sehingga melupakan tuntutan sunnatullah. Secara tuntas, dalam setiap aspek kehidupan perlulah kita berpendirian tetap untuk mengambil kira kedua-dua elemen penting ini tanpa membelakangkan salah satu antara keduanya. Mungkin ada sahabat yang bertanya, apa yang dikatakan sebagai syariatullah dan apa pula yang diistilahkan sebagai sunnatullah. Adalah wajar bagi saya untuk menjawab persoalan itu dengan membawa sahabat sekalian untuk membaca tulisan-tulisan Ustaz Hasrizal sendiri mahupun Ustaz Pahrol yang saya rasa amat tepat dalam mengetengahkan apa yang itu syariatullah dan sunnatullah.  

Kesimpulannya, dalam kita melayari kehidupan di atas bumi pinjaman Allah swt ini, kita tidak terlepas dari didatangi dengan ujian-ujian yang kadangkala langsung tidak terlintas di kepala. Adalah amat penting untuk kita sentiasa meletakkan muhasabah dan pengislahan diri sebagai salah satu modul tarbiyah yang penting terhadap diri kita sendiri agar kita mengerti bahawa kita hanyalah seorang hamba yang sedang diperhatikan segenap inci hidupnya oleh penguasa yang Maha Hebat, Allah swt.

Tribut buat saudaraku di Syria...
Wednesday, February 15, 2012 by MAWAR BERDURI in

Peluru itu terus menggasak mereka,
Tangisan anak kecil bagaikan sudah lali kedengaran,
Warna merah juga yang kelihatan di sana sini,
Kabur dan samar-samar pada pandangan mata.

Hati yang pedih ditahan jua,
Perit menahan siksa sang penzalim,
Jika hari ini ibu di sisi,
Esok tiada siapa yang tahu apa kemungkinannya.

Ya Allah, apakah cintaMu bersama kami?
Ya Allah, apakah redhaMu bersama kami?
Ya Allah, apakah kemenangan itu bersama kami?
Ya Allah, apakah syurga ganjaranMu buat kami?

Persoalan itu hadir membujuk hati,
Membawa mereka terus ke hadapan,
Yang zalim harus diperangi,
Sekutu firaun itu harus dihapuskan.

Sekian lama mereka sabar menanti,
Hari ini, mereka bangkit,
Menegakkan keadilan membuang kezaliman,
Demi cinta mereka pada Allah dan Rasul.
Demi cinta mereka pada syurga Allah.

Ya Allah, mereka saudaraku,
Kau bantu mereka, ya Allah,
Kau hancurkan kezaliman itu,
Hadiahkanlah mereka dengan kemenangan,
Atau syahid menemuiMu,
Kerana mereka dambakan itu, ya Allah.

nukilan: mawarberduri

VD
Tuesday, February 14, 2012 by MAWAR BERDURI in Labels: ,

"Kaklong, esok ada usrah kat sekolah. Kak Yam nak cakap apa ya pasal Valentine's Day?"

Malam tadi, sambil menjadi cikgu tak bertauliah untuk Kak Yam, tiba-tiba dia bertanyakan aku berkenaan perayaan yang aku kira tidak pernah termasuk dalam senarai perkara-perkara yang aku ingin fikirkan. Mendepani adat-adat yang pelbagai dalam masyarakat Melayu sendiri pun sudah membuatkan aku lelah, inikan pula memikirkan perayaan yang langsung tidak dianjurkan dalam Islam. Mungkin hakikat penolakan itu terletak pada kepelbagaian versi sejarah perayaan tersebut, namun ada yang lebih besar isunya iaitu soal kepercayaan.


Kasih sayang dan cinta itu bukanlah sesuatu yang harus diraikan pada hari-hari tertentu malah sepatutnya diraikan setiap hari. Itulah yang dianjurkan dalam agama kita. Apabila lahirnya seorang bayi yang suci di muka bumi Allah swt, maka lahirlah kasih sayang. Begitu juga apabila ada insan menemui Ilahi, tertitislah jua air mata kerana adanya kasih sayang. Dan setiap hari, akan mengalirlah jua kasih sayang di antara seorang ibu dengan anaknya, seorang suami dengan isterinya, seorang murabbi dengan anak muridnya, seorang pemimpin dengan anak buahnya dan yang pasti setiap saat adanya kasih sayang yang Maha Hebat datangnya dari Allah swt terhadap hamba-hambaNya. Maka, tidak timbul isu kepercayaan bahawa kita harus meraikan kasih sayang pada hari tertentu sahaja.


Sengaja aku menjengah Facebook pagi ini sekadar melihat suasana rakan-rakan di kala dada-dada akhbar sibuk menayangkan iklan-iklan yang pada pandangan aku seolah-olah mempromosikan juga sambutan Valentine's Day dengan gambar-gambar yang agak tidak wajar. Alhamdulillah, aku kira sudah ramai yang menyedari hakikat kasih sayang yang sebenar melihatkan ramai yang mula menolak perayaan-perayaan pelik yang tidak pernah dianjurkan dalam Islam. Melihat kesuburan yang begitu, aku lega.

"Kaklong tak suka sangat nak sebut-sebut pasal Valentine's Day ni. Apa kata kak Yam cerita pasal kasih sayang?=)"

p/s: Semoga kemenangan bersama-sama saudara-saudara di Syria. Pilu melihatkan kekejaman yang berlaku. 

Ikhlas tapi rindu..
Monday, February 13, 2012 by MAWAR BERDURI in


Mencuri masa selama sejam lebih, aku menyelusuri kisah Delisa bersama hafalan bacaan solatnya menerusi filem Hafalan Shalat Delisa. Kisah pilu ini membuatkan aku teringatkan arwah Abang. Ya, ujian yang aku alami masih tidak sehebat saudaraku di Aceh. Mereka bukan sahaja kehilangan seorang adik malah hampir keseluruhan ahli keluarga mereka, tempat tinggal mereka malah hamper tidak ada apa-apa lagi yang tinggal. Aku masih ada kedua ibu bapa, masih ada 4 orang adik yang lain. Masih ada rumah tempat berteduh dan masih boleh terus belajar. Meskipun hanya sebuah lakonan, aku seharusnya mencemburui Delisa. Seorang anak kecil yang menjadi kekuatan buat abinya, buat ustaz Rahmannya, buat rakan-rakannya malah buat mereka di sekelilingnya yang telah diuji dengan hebatnya oleh Allah swt. Bukan tidak pernah aku diuji, tetapi ujian sebuah kehilangan ini agak menyesakkan dadaku. Membujuk hati, aku yakinkan diri, Allah swt sangat mengasihi Abang dan itulah hakikatnya. Bak kata Delisa pada abinya, aku ikhlas akan pemergian Abang, cuma aku rindu. Tidak salah, bukan. Abang, kaklong akan sentiasa memperbaiki bacaan solat kaklong, supaya kaklong dapat mendoakan Abang di sana.  

p/s: Terima kasih atas saranan untuk filem ni. 

...............
Sunday, February 12, 2012 by MAWAR BERDURI in Labels:

Ceritera II

Hari yang dinanti sudahpun tiba. Pergilah aku ke medan pertempuran. Debaran di dada cuba kuselindung dengan ukiran senyuman. Apakah kelat, tidak aku pasti. Bertemankan si cantik manis di sisi, menjadi penghilang runsing. Dan pabila tiba masanya, bertempurlah aku. Kuletakkan tawakkal hanya pada Allah swt. Dan, berkat doa bapak dan ibuku, juga saudara mara, pertempuran berakhir dengan jayanya. Alhamdulillah. Puji-pujian hanya untukMu, ya Allah. Setelah berulang kali aku gagal di sini, akhirnya Kau berikan juga aku kejayaan. Petang itu, aku tersenyum gembira. Aku yakin, tiada sudah kelatnya. 

p/s: Penantian berakhir. Misi selesai.

Kerana aku masih makhlukNya
Tuesday, February 07, 2012 by MAWAR BERDURI in

Andai aku sang mawar, kuncuplah aku menantikan sang mentari,
Andai aku sang kolek, di situlah aku menantikan sang nelayan,
Andai aku sang rerama, terbanglah aku menantikan bebunga,
Andai aku sang unggas, berkicaulah aku menantikan reranting.
Tetapi aku manusia.. Tidak berandai-andai.. Namun masih ternanti-nanti..
Kerana aku masih makhluk Nya.


BENARKAN KAMI BERSUARA!
Sunday, February 05, 2012 by MAWAR BERDURI in

Baru-baru ini, hmm bukan, awal tahun yang lalu, negara kita digemparkan dengan kisah seorang hero, aku kira. Adam Adli. Muda orangnya. Biarlah aku dicop sebagai orang yang agak terlambat untuk menyuarakan isu ini, namun aku tidak mahu ketinggalan untuk menyatakan kebersamaan aku dengan beliau, Safwan Anang dan sahabat-sahabat serta perjuangan mereka. Selagi mana aku yakin apa yang mereka perjuangkan masih dalam lingkungan syariat. Apa yang pasti sejak dari kisah penurunan bendera sehinggalah saat beliau digantung dari universiti, aku sentiasa mengikuti kisah beliau dan rakan-rakan. Dalam keterujaan aku mendengar kisah Adam, aku terimbas suatu kisah yang aku alami ketika aku masih di Kolej Mara Seremban (KMS). Di usia 19 tahun, jika aku tidak silap. Menjadi satu kenangan yang tidak dapat aku lupakan. Di saat aku mula belajar untuk menjadi matang, pada perkiraan aku.

.......................................................

PROSTAR. Apa kebendenya nih? Program Sihat Tanpa Aids untuk Remaja. Semua pelajar yang tinggal jauh (dari Negeri Sembilan), diwajibkan untuk menyertai salah satu program anjuran PROSTAR di Kolej Mara Banting (KMB). Dalam hati, aku mula berasa sedikit tidak sedap hati. Di saat orang lain boleh menikmati cuti bersama keluarga, aku dipaksa untuk menyertai program yang tiba-tiba. Tak adil! Tambahan pula, pada kertas senarai nama peserta yang ditampal pada papan kenyataan, terdapat sedikit nota berbaur ugutan bagi mana-mana peserta yang ponteng. Beberapa rakan aku sudah mula merancang untuk melarikan diri. Pelbagai strategi sudah dirancang. Memandangkan aku yang mempunyai saki baki perangai skema (hasil didikan waktu sekolah), pergilah aku dengan hati yang tidak rela. Dalam keterpaksaan, aku mempositifkan diri. Pasti ada sesuatu yang dapat aku peroleh di sana. Dapat juga aku menjengok KMB.

Sampai di sana, aku menerima tentatif sambil aku memerhatikan peserta. Owh, program kebangsaan yang disertai oleh semua pelajar dari Kolej Mara dan Kolej Profesional Mara seluruh Malaysia. Aku mula mencari-cari figures yang mungkin aku kenal. Ada seorang dua yang aku jumpa. Namun tidak sempat beramah mesra memandangkan peserta yang ramai memenuhi setiap ruang program. 

Dipendekkan cerita, aku dan geng-geng dari KMS mengambil keputusan untuk ponteng pada slot-slot tertentu. Ops, geng-geng perempuan sahaja. Kami susun giliran. Slot ni, kau yang pergi. Slot ni, aku yang pergi. Tiap-tiap malam sepanjang program kami adakan liqa', sesi melaporkan apa yang terjadi pada setiap slot.

Tiba di suatu malam, aku tidak pasti apakah malam terakhir. Ya, yang terakhir sebelum esoknya Majlis Perasmian Penutup bersama Timbalan Menteri Pengajian Tinggi. Kami diminta untuk ke dewan besar. Dan yang bestnya, disebabkan ini slot terakhir, kami semua membuat keputusan untuk pergi. Tidak ada giliran kali ini. Sesampainya di dewan, semua peserta diminta untuk duduk di atas lantai. Seolah-olah program santai bersama artis. Tiba-tiba, seorang pakcik, tidak aku ingat apa namanya, mengambil alih majlis. Kata beliau, dia ada tauliah untuk bercakap pada malam itu. Dan sebaik sahaja dia memegang microphone, bermulalah sesi yang membuatkan aku rasa bagai mahu menembak pakcik tu dengan senapang gajah. Nak tahu kenapa? Apa bertuliahnya seorang Islam nak mendidik orang Islam yang lain, tetapi menggunakan perkataan-perkataan dan contoh-contoh yang sangat tak senonoh?! Ya, mungkin ini program antiAids, namun aku yakin semua yang hadir sudah faham jika disebut sesuatu perkara yang berkaitan secara general. Tidak perlu se'details' itu!


Pada mulanya aku cuba bertahan. Sekali lagi cuba mempositifkan diri. Tetapi, apabila dua tiga kali apa yang disampaikan hanya menjadi bahan gelak dan lelucon dari para peserta, aku naik marah. Ni ceramah apa ni? Tanpa buang masa, di kala semua peserta masih duduk di atas lantai, aku berlari keluar dewan. Air mata aku mengalir. Mengalir kerana menahan amarah. Rakan-rakan KMS mula memerhatikan tindakan aku. Sampai di luar dewan, aku menangis, semahu-mahunya. Melepaskan geram. Tidak lama kemudian, seorang sahabat aku juga keluar. Sahabat seusrah. Kami menangis bersama-sama. Tidak ada apa yang mampu kami lakukan ketika itu. Orang perempuan, takde lain. Menangis jelah kerjanya. Gembira  menangis, sedih menangis. Marah pun menangis. Akhirnya, kami berdua membuat keputusan untuk melarikan diri. Ponteng, bahasa mudahnya. Kami menuju ke surau setelah menyusup keluar dari kawasan dewan melalui longkang besar di tepi dewan. Sampainya di surau aku mengambil mushaf al-Quran. Cuba untuk menenangkan diri dari rasa marah dan geram yang bercampur baur. Dalam lebih kurang setengah jam atau sejam selepas itu, kami terdengar suara orang memanggil-manggil nama kami. Aik, siapa pulak ni?

Tiba-tiba seorang fasilitator lelaki cuba untuk bercakap dengan aku. Aku tunjukkan muka tidak puas hati. Aku minta dia tunggu di luar. 

"Ni kawasan solat Muslimat! Tak boleh bagi salam dulu?!"

Mungkin disebabkan aku berkeras, datanglah kemudiannya seorang makcik. Semua orang memanggilnya ibu. Dia yang merupakan pengarah program cuba bercakap dengan aku. Akhirnya, hati aku sedikit lembut.

"Ibu, saya tak rasa program ni dapat mengelakkan para peserta dari AIDS, tetapi lagi menggalakkan mereka kepada AIDS. Dah la program bercampur baur lelaki dan perempuan. Siap ada sesi menari poco-poco yang macam pesta tari-tarian. Bahasa dalam ceramah pun, saya tak tahu nak cakap macam mana. Kalaulah program ni diadakan lagi tahun depan, saya memang tak bagi adik-adik saya (junior KMS) datang. Saya minta maaf."

Makcik tu diam je apabila aku dengan enaknya meluahkan rasa tidak puas hati. Dia pujuk kami sekali lagi ke dalam dewan. Kalau tak mahu join, jadi pemerhati katanya. Sesampainya kembali aku ke dewan, aku lihat beberapa kawan aku juga sedang berdiri di belakang. Aku terkejut namun aku simpankan dulu pertanyaan-pertanyaan aku. Malam ni kita kena semua kena jumpa lagi. Rupa-rupanya ada lagi yang lebih pantas. Guru kaunseling meminta kami berjumpa dengannya sebaik sahaja habis program. Aku tidak pasti sama ada beliau berada di sebelah pihak kami atau di sebelah pihak penganjur. Tapi, yang pastinya, malam itu juga aku mengetahui sebab kawan aku berada di belakang dewan. Dia dituduh pernah berzina!! Sebab bagaimana dia dituduh sedemikian, aku lupa. Allah, haru sungguh. Memang dahsyat program ni. Dan baru aku tahu, rupa-rupanya fasi-fasi telah mencari aku di seluruh KMB sebelum menemui aku di surau. Nasib korang la. KMB tu luas kut.

Esoknya, kami terasa bagai disindir sewaktu taklimat akhir majlis penutup. Kami akhirnya pulang dalam keletihan. Letih dalam belajar mematangkan diri.   

.............................................................


Apabila hari ini, mahasiswa kembali bangkit setelah sekian lama tidur, ramai yang bersuara. Biadab kata mereka. Kami dah lebih makan garam. Orang suruh belajar, dia pergi berdemo. Dan macam-macam lagi kata nista ditujukan pada anak-anak muda yang bangkit. Pakcik, makcik jangan dituduh mereka sedemikian rupa. Adalah lebih baik dilihat terlebih dahulu punca mereka bersuara sedemikian. Dan kita kena sama-sama ingat, guru yang paling baik adalah pengalaman. Pengalaman itu bukanlah sesuatu yang dapat diperoleh melalui buku mahupun diajar oleh sesiapa. Tetapi, pengalaman itu adalah sesuatu yang dirasai dan dialami sendiri oleh seseorang. Proses yang pembelajarannya membentuk manusia menjadi manusia dan bukannya robot yang boleh diperkotak-katikkan. Jika aku sebelum ini agak memilih untuk menyuarakan isu, insha Allah, selepas ini aku akan lebih terbuka pada perkara yang sepatutnya. Dalam usaha untuk aku mematangkan diri, menghadapi pancaroba dunia yang penuh dengan mehnah dan ujian. Ya Allah, pimpinlah aku menuju redhaMu.

p/s: Sedang menghitung hari......

SEGENGGAM TABAH
Saturday, February 04, 2012 by MAWAR BERDURI in

Hari ini, genap seminggu arwah Abang (panggilan untuk arwah adik) menemui Allah swt. Keadaan di rumah cuba dikembalikan seperti biasa. Senyuman yang agak pahit pada mulanya, dipaksa untuk dimaniskan. Bukan suatu yang mudah buat aku yang sempat menghabiskan hidup bersama dengan Abang selama 17 tahun. Daripada mula mengenal dunia sehinggalah mampu menjadi imam buat kami sekeluarga. Masih terbayang akan alunan Surah Al-Baqarah yang dibacanya ketika mengimamkan kami Solat Isyak malam sebelum beliau pergi menemui Rabbul Izzati. Suara yang pasti aku rindui buat selama-lamanya. Aisy, mengalir pulak air mata ni.

Alhamdulillah, kehadiran ramai tetamu semasa urusan pengebumian arwah teramat memberi kesejukan di hati kami. Solat jenazah dilakukan tiga kali jemaah di rumah dan sekali di kubur arwah (solat jenazah ghaib) menunjukkan kasihnya Allah swt kepada kami. Jemaah yang datang daripada pelbagai peringkat benar-benar mengharukan aku. Daripada pimpinan DUN sehinggalah kepada sahabat-sahabat yang datang dari jauh. Sungguh, hanya Allah swt yang layak mengganjari kalian dengan sebaik-baik ganjaran. Dan inilah juga kali pertama aku solat jenazah, bersama-sama di saf Muslimat. Hadiah yang mampu aku berikan sebelum arwah keluar dari rumah kami buat selama-lamanya.


Aku tidak berniat menulis panjang, cuma ingin mengucapkan jutaan terima kasih buat insan-insan yang sudi mendengar esak tangisku, sudi berada di sisi aku dari awal sehingga akhirnya. Maafkan aku kerana aku tidak mampu berbuat demikian pada ahli keluargaku. Mereka butuhkan sedikit ketabahan aku untuk terus tabah menghadapi ujian Allah swt. Anak sulung, yang perangainya persis arwah Abang. Hanya pada Mu jua tempat kami bergantung, Ya Allah. Innalillahi wainna ilaihi rajiun.

p/s: Ya Allah, tempatkanlah adikku bersama-sama para shuhada' dan para solehin.

My photo
Menitikberatkan perjuangan yang jitu semata-mata berlandaskan jalan kebenaran meskipun kemenangan bagaikan sukar untuk dicapai.

...