DILEMA PERATURAN
Thursday, July 29, 2010 by MAWAR BERDURI in Labels: ,

Assalamualaikum wbt..



"Saya nak kamu semua berlari keliling Aspuri ni sebanyak tiga kali. Lain kali kalau lambat lagi, saya suruh pusing keliling padang!" arahan warden ini menandakan hukuman itu tiada kata duanya untuk pembelaan diri. Lantas, selesai roll call pagi itu, hukuman dilaksanakan dengan berbaju kurung sekolah sambil muka menjadi merah menahan malu sambil mata berair menunggu masa untuk mengalir. Itulah hukuman pertama yang telah kuterima akibat lewat untuk turun ke roll call pada pukul 7.20 pagi sewaktu berada di Tingkatan 3 ketika menuntut di SBPIBR. Andai diberi peluang untuk membela diri, mahu saja kuberitahu akan ketidaksedaranku bahawa jam di tangan sudah habis baterinya lalu silap dalam menunjukkan waktunya. Namun kupasti, alasan itu amat sukar untuk diterima. Memang tak adil (emosi sikit). Itulah kali pertama dan terakhir diri ini dihukum sebelum dilantik menjadi pengawas sekolah yang selalunya dibenci di sekolah (terutama bila dibuat spot check).

...................................................................................

Apabila mengimbas kembali kenangan sewaktu di sekolah, ana akan tersenyum sendirian mengenangkan betapa tak matured dan 'skema'nya ana ketika itu. Perasaan takut untuk melanggar peraturan sekolah (kerana takut kena denda) membuatkan ana berasa selesa untuk mematuhinya meskipun kadang-kadang terdetik di hati merasa ketidakadilan undang-undang yang dicipta manusia. Namun, persoalan itu berjaya ditepis dan akhirnya atas dasar husnu zhon (berbaik sangka) Alhamdulillah, hidup yang diatur di bawah peraturan sekolah berjaya ana harungi. Hari ini, tiada lagi roll call, tiada lagi prep, tiada lagi denda pusing bangunan dan tiada lagi apa-apa yang ada ketika zaman persekolahan. Namun, hidup seorang manusia tidak akan terlepas dari aturan Allah swt yang digarap melalui al-Quran dan as-Sunnah. Meskipun hari ini tiada lagi peraturan sekolah yang ketat, tetap menjadi suatu keperluan bagi kita untuk mewujudkan peraturan kita seharian dengan berlandaskan al-Quran dan as-Sunnah berdasarkan pengalaman yang sedia ada. Peraturan itulah yang akan menjadi pendirian dalam hidup kita untuk menghadapi dugaan dan cabaran dunia luar yang sangat dahsyat hari ini. Dan yang pastinya, setiap dari kita akan ditanya sejauh mana kita berjaya mewujudkan kesungguhan dan kepatuhan terhadap undang-undang yang telah dicipta oleh Allah swt yang mana keadilannya tak terjangkau dek fikiran.


Terdapat satu persoalan yang pernah terlintas dalam benak fikiran ana. Berapa ramai mereka yang berjaya mematuhi peraturan sewaktu di zaman sekolahnya, namun berapa ramai pula antara mereka yang mampu meneruskan usaha untuk mewujudkan peraturan diri/pendirian setelah keluar dari sekolah. Dan, bagaimana pula yang sebaliknya. Sama-sama kita fikirkan..

Lembu pun patuh pada undang-undang Allah..



Sekian dulu untuk kali ini. Yang pastinya, segala apa yang dikongsi akan berbalik kepada diri ana yang lemah ini. Ambillah apa-apa yang dapat dijadikan pedoman dan ejen pengubah diri. Semoga Allah swt terus merahmati kita dalam menempuhi bulan Ramadhan yang akan mendatang tidak lama lagi. Wassalam...




p/s: Ada seorang athies bagi tau kat ana, dia kata, kesian kat Muslims sebab tak boleh makan 'ba' 'alif' 'ba' 'ya'. Mahu je ana cerita kisah bagaimana Allah swt ciptakan binatang tu.

DEDIKASI BUAT YANG TERSAYANG
Tuesday, July 27, 2010 by MAWAR BERDURI in Labels: ,

Ku dedikasikan luahan hati ini buat mereka yang telah, sedang dan akan mencurahkan kasih sayang buat diri ini.. Terimalah, KAU MENYAYANGIKU.

Kau menyayangiku,
Seperti bumi,
Menyayangi titah Tuhannya,
Tidak pernah letih,
Menanggung beban derita,
Tidak pernah penat,
Menghisap luka.

Kau menyayangiku,
Seperti matahari,
Menyayangi titah Tuhannya,
Tidak pernah letih,
Membahagi cerahnya cahaya,
Tidak pernah letih,
Menghangatkan jiwa.

Kau menyayangiku,
Seperti air,
Mencintai titah Tuhannya,
Tak pernah letih,
Membersihkan lara,
Tak pernah letih,
Menyejukkan dahaga.

Kau menyayangiku,
Seperti bunga,
Mencintai titah Tuhannya,


Tak pernah letih,
Menebar mekar aroma bahagia,
Tak pernah letih,
Meneduhkan gelisah nyala.



Meskipun bingkisan ini ku petik dari filem Ketika Cinta Bertasbih, namun tidak salah rasanya untuk aku jadikannya sebagai suatu coretan tanda bahagianya diri ini menerima rasa cinta dan kasih dari mereka yang telah, sedang dan akan mengikhlaskan kasih sayang buat diriku. Meskipun ada ketikanya balasan dariku tidak setanding dengan apa yang telah mereka berikan buatku. Ya Allah, kurniakanlah syurga yang kekal abadi mereka dengan rahmat dan kasih sayangMu. Sesungguhnya, Engkaulah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

p/s: Allahumma bariklana fi Sya'ban wa balighrna fi Ramadhan..

ISTIQAMAH : SENANG ATAU SUSAH?
Saturday, July 24, 2010 by MAWAR BERDURI in Labels:



p/s: sila sesuaikan masa dan waktu mengikut lokaliti anda..

HALAL KE?
Sunday, July 18, 2010 by MAWAR BERDURI in Labels: ,

Suka untuk ana berkongsi dengan sahabat akan satu persoalan yang dikemukakan kepada Ustaz Zaharuddin Abd Rahman mengenai Konsep Advertisement Blog.

Soalannya:
Saya nak bertanya mengenai satu advertisement blog yang bernama Nuffnang. Kalau kita letakkan subscribe Nuffnang dan Google Adsense di blog, kita akan dapat duit upah kerana sudah mengiklankan sesuatu produk. Soalan saya ialah, boleh ke kita ambil duit yang diberi dan apakah status duit tersebut?

Jawapannya:

Saya tidak pernah meneliti perjanjian yang diletakkan oleh pihak Nuffnang dan Google Adsense, justeru sukar untuk memberikan jawapan yang tepat dan spesifik kepada soalan tersebut. Oleh itu, saya hanya akan memberikan jawapan umum dan juga panduan ringkas untuk menyemak status hukum hal sebegitu. Isu utama dalam hal ini adalah upah yang diberi kerana membenarkan ruang web atau blog yang digunakan bagi tujuan pengiklanan oleh pihak Nuffnang dan Google Adsense, hasil daripada kemudahan yang diberikan itu, kedua-dua pihak tadi akan memberikan upah tertentu menurut cara tertentu.

Dari sudut akad atau kontrak, substance atau inti utama kontrak sebegini jatuh dalam kategori akad "menjadi wakil dalam upah tertentu" atau wakalah bil ujr. Dalam konteks ini, kita selaku pemilik web dan blog dikira menjadi wakil pihak Nuffnang untuk menyebarluaskan iklan mereka. Sebagai timbal balas, ganjaran akan diberikan berdasarkan formula tertentu sama ada jumlah klik dan sebagainya.

Secara ringkasnya, bagi menentukan hukum dalam hal ini beberapa perkara perlu diambil kira iaitu:


1) Autoriti
Autoriti pihak yang menyediakan tawaran dalam konteks ini ialah Nuffnang dan Google. Jika telah disemak dan dipastikan kedua-dua pihak mempunyai kredibiliti untuk melunaskan janji dan tawarannya, satu peringkat semakan hukum telah lulus. Peringkat ini penting bagi memastikan tiada unsur gharar dalam penawaran mereka.

2) Upah dan cara kiraan

Jumlah upah dan cara pengiraannya
mestilah diberitahu dengan jelas dan boleh difahami oleh pihak pelanggan (kita). Jika perkara ini telah berjaya dipastikan dan difahami sebaiknya, tatkala itu lulus peringkat kedua semakan syariah.

3) Kandungan iklan

Kandungan iklan yang dipaparkan , jika sekiranya kandungan yang terbit di ruangan iklan yang disediakan untuk Google dan Nuffnang itu memaparkan iklan yang tidak halal, seperti gambar wanita tidak menutup aurat, permainan berunsur judi , iklan forex trading, bank riba, pinjaman riba atau apa sahaja iklan yang tidak halal, tatkala itu upah yang diterima kerana mengiklankannya juga turut haram sebagaimana kandungan iklan tersebut. Prinsip Islam jelas dalam hal ini, setiap promosi yang haram hukumnya adalah haram, maka setiap upah atas promosi tersebut juga haram. Dalilnya terlalu banyak, antaranya adalah laknat nabi terhadap setiap golongan yang terlibat dengan arak , demikian juga riba. Juga firman Allah yang melarang kerjasama dalam hal yang membawa dosa dan permusuhan.

4) Cara pembayaran
Hal ini perlu disemak dengan teliti bagi memastikan tiada unsur penipuan/
gharar. Jika kempat-empat peringkat itu semuanya lulus dan berjaya mematuhi hukum Islam, tatkala itu upah yang kita peroleh juga turut halal, demikian juga sebaliknya.

(Sumber: Soal Jawab Muamalat, Solusi Isu :19, m/s 41)


Berhati-hatilah dengan sumber yang menjadi darah daging kita.

p/s: Sodih sungguh den menengok pompuan dieksploitasi dalam iklan..

KITA BELAJAR DARI MEREKA
Tuesday, July 13, 2010 by MAWAR BERDURI in Labels: ,

Saya suka melihat laut yang tebentang luas.
Saya suka mendengar desiran air sungai yang mengalir di
celahan batu.
Saya suka meneliti ke arah mana sang unggas berterbangan.
Saya suka menanti sang cengkerik menitipkan kata-kata.
Saya suka menikmati tiupan bayu yang meniup di pipi.
Saya suka mengira bintang yang berkerlipan di langit.
Saya suka merasai kedinginan air hujan yang membasahi bumi.
Kenapa saya suka?
Kerana jiwa saya akan tenang.

..............................................................


Ombak menderu, membicarakan sesuatu?

Jiwa yang tenang dan damai apabila mendekati alam merupakan satu fitrah yang telah Allah swt kurniakan buat kita yang bernama insan. Ketenteraman hati dan perasaan apabila melihatkan kebesaran ciptaan Yang Maha Esa membuatkan kita akan tersentuh dek kehebatan penciptaannya. Pernahkah kita terfikir apakah signifikannya jiwa yang tenteram dengan alam yang terbentang luas? Kepatuhan kepada sunnatullah menghasilkan aturan yang begitu unik. Siang dan malam yang silih berganti. Terhasilnya pepohon yang merendang dari sebiji benih yang hanya sebesar kacang tanah. Lahirnya satu makhluk yang bergelar manusia dari benih kedua ibu bapanya yang tak dapat dilihat oleh mata kasar dan banyak lagi. Begitulah ketetapan Allah yang Maha Esa.

Allah swt berfirman di dalam surah As-Hasyr, ayat 1 yang bermaksud, "Bertasbih kepada Allah apa yang ada di langit dan apa yang ada di bumi dan Dialah Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana."

Alam tidak pernah jemu untuk bertasbih kepada Penciptanya. Bertasbihnya mereka kepada Allah tanda mereka tidak lupa kepada Yang Maha Pencipta. Mereka sentiasa zikruLlah (mengingati Allah). Zikir kepada Allah yang diungkapkan pada bahasa mereka yang mungkin tidak dapat kita tafsirkan, mampu membuatkan kita turut merasa kesannya. Kesan untuk merasai ketenangan. Hebat sungguh. Bagaimana pula agaknya andai kita sendiri yang mengingati Allah saban waktu. Masya Allah, pasti berganda kehebatannya.

"(Yaitu) orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah. Ingatlah hanya dengan mengingati Allah, hati akan menjadi tenteram." (Ar-Rad, ayat 28).

Hmm.. Rupa-rupanya itu rahsia mereka. Patutlah jiwa kita akan terasa kedamaiannya apabila mendekati alam. Mereka sentiasa zikruLlah! Alhamdulillah, nampaknya satu ilmu penting telah mereka ajari buat kita yang mendekati tanda kebesaran Allah swt. Sama-samalah kita zikruLlah agar kita dapat rasai kehebatan kuasa penenang jiwa!



Marilah bersama-sama alam berzikrulLah..

p/s: Nak honeymoon dalam hutan macam Adamaya.

JIKA ITU YANG KITA INGINKAN
Sunday, July 04, 2010 by MAWAR BERDURI in Labels: ,

Kesempatan menjadi fasilitator bagi program Smart Solat baru-baru ini, telah ana jadikan sebagai peluang untuk mengenali dan mendekati masyarakat di salah sebuah daerah di negeri Selangor. Mungkin gambaran dan dapatan yang ana peroleh daripada pemerhatian dan pekongsian dengan peserta yang rata-ratanya masih bersekolah rendah tidak begitu tepat lantaran tiada kajian yang khusus dijalankan, namun cukuplah untuk ana menilai dan mengambil sesuatu untuk dijadikan pengajaran dan sempadan bagi mendepani mehnah dan ujian sepanjang hidup di atas muka bumi Allah swt ini.

.............................................................................................

"Kenapa adik tak pergi sekolah agama?" soal ketua fasilitator setelah mendapati sebahagian besar peserta tidak mengikuti pengajian agama secara khusus di sebelah petang.

"Tak de duit," jawab seorang peserta. Dan akhirnya, jawapan itu juga yang menjadi jawapan kepada sebilangan peserta yang lain.

"Ada buku pasal solat di rumah?"
"Tak de."
"Mak ayah ada ajarkan solat di rumah?"
"Tak de. Mak ngan ayah pergi kerja," jawapan dari seorang peserta ini mematikan persoalan yang ditanya.

.............................................................................................


Beburung itu pun sujud kepada Allah swt.


Para peserta telah kami bantu dengan perkongsian mengenai perkara-perkara asas dalam solat dan menitipkan praktikal solat secara sempurna agar solat akan didirikan tidak menjadi sia-sia. Sedikit kesukaran bagi kami dalam mengendalikan slot ini memandangkan majoroti peserta tidak pernah dan tidak tahu solat langsung. Namun demikian, kami cuba yang terbaik agar mereka dapat menguasai tiang agama yang telah diperintahkan terus oleh Allah swt kepada Rasulullah saw.

Ketika sedang membantu para peserta, fikiran ana mengimbau kembali akan pengalaman solat secara bersendirian yang pertama dilakukan ketika berusia sembilan tahun. Berbagai-bagai perasaan yang dirasai ketika itu lantaran solat sebelumnya lebih mudah kerana akan dilakukan secara berjemaah sama ada bersama dengan abuya mahupun ummi. Pergerakan mereka hanya perlu diikuti, maka selesailah solat. Namun, kali ini solat terpaksa dilakukan bersendirian sambil diperhatikan tertibnya oleh kedua-dua mereka. Kedengaran juga adik-adik yang menahan gelak melihatkan diri melakukan solat sambil menantikan arahan daripada ummi dan abuya untuk setiap pergerakan di dalam solat dan ada kalanya tersilap melakukan sujud tanpa rukuk terlebih dahulu. Bermula daripada saat itu, solat dapat dilakukan tanpa bantuan daripada mereka. Setinggi-tinggi penghargaan buat ummi dan abuya tercinta yang masih sempat meluangkan masa untuk mendidik diri ini dalam melaksanakan ibadat utama ini.

Satu perasaan hiba dan sedih dapat ana rasakan apabila ana cuba membandingkan didikan yang ana perolehi dengan didikan yang dirasai oleh sesetengah para peserta. Jika diri ini mendapat didikan awal agama dari ibu bapa, mereka pula menerimanya daripada kami yang kebetulannya memilih kawasan itu untuk diadakan program ini. Tahniah buat ibu bapa yang memberikan keizinan untuk anak-anak mereka menghadiri program ringkas yang kami aturkan. Namun, ana cuba untuk membayangkan andai kata program seperti ini tidak dijalankan, adakah mereka akan tahu apa itu solat? Adakah mereka tahu wuduk itu perlu dimulai dengan niat dan diakhiri dengan basuhan pada kaki? Bagaimana pula dengan tertib di dalam solat? Adakah terdapat pihak yang akan membantu mereka? Bagi yang bernasib baik, mungkin mereka dapat mempelajarinya dari ustaz dan ustazah yang mengajar Pendidikan Agama Islam sewaktu di sekolah. Namun, jika dibandingkan penekanan untuk matapelajaran ini dengan matapelajaran yang lain, Pendidikan Agama Islam sering dipinggirkan lantaran tidak termasuk dalam lima matapelajaran Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR). Ada yang berjaya mendapat 5A dalam UPSR, matapelajaran agamanya gagal. Masya Allah. Generasi ini rupanya yang berjaya dilahirkan di bumi Malaysia ini.

Kesibukan ibu bapa yang mengabaikan pendidikan rohani anak-anak ditambah lagi dengan sistem pendidikan negara yang tidak menekankan ilmu fardhu ain yang hukumnya WAJIB dipelajari oleh setiap Muslim telah melahirkan generasi hari ini yang saban bulan menghasilkan 2500 bayi tanpa bapa. Bagaimana pula dengan yang tidak bersolat? Jangan sampai Allah swt meneggelamkan Malaysia sebagaimana bumi Acheh yang masyarakatnya ketika itu jauh dari Islam meskipun di bumi itulah lahirnya ramai wali Allah. Nauzubillahiminzalik.

Marilah sama-sama kita mensyahadahkan sistem di muka bumi Allah swt ini. Tegakkan sistem Islam di bumi Malaysia. Adalah menjadi fitrah manusia sama ada Muslim mahupun bukan Muslim bagi menginginkan perkara-perkara kebaikan. Kuasa untuk memilih sistem Islam ataupun bukan itu di tangan anda, dengan izin Allah swt. Buatlah pilihan yang betul.
...................................................................................

"Terima kasih banyak-banyak buat adik-adik yang sudi menjalankan program ini bersama dengan mereka. Akak sebenarnya dah naik bimbang sebab mereka ni memang tak dapat didikan dari ibu dan ayah. Mana tidaknya, siang malam sibuk mencari duit untuk keselesaan hidup keluarga sehingga mengabaikan tanggungjawab utama kepada anak-anak untuk mendidik mereka agar melaksanakan perintah Allah swt dan menigggalkan larangan-NYa. Kesusahan hidup membuatkan anak-anak terabai di sudut jiwa dan agamanya. Ini yang adik lihat baru golongan kanak-kanak, belum lagi golongan remaja. Akak pun cuba yang terdaya untuk mendekati mereka melalui kelas tuisyen akak. Kalau sudi, adik-adik buatlah pula program untuk golongan remaja. Bantulah mereka dekat dengan Allah swt," bicara seorang kakak yang merupakan ahli jawatankuasa surau tempat kami menjalankan program ini ketika bersama-sama menikmati sedikit kudapan yang disediakan.

"Insya Allah, kak."
...........................................................................................

Sekian sahaja untuk perkongsian ini. Ambillah mana-mana yang dapat dijadikan pengajaran. Jutaan kemaafan dipohon atas fatrah imtihan yang membuatkan perkongsian ini terhenti seketika sebelum ini. Doakan penulis agar terus istiqamah dalam perjuangan dan doakan juga kejayaan penulis di dunia dan akhirat.

p/s: Dah bau keropok lekor la...

My photo
Menitikberatkan perjuangan yang jitu semata-mata berlandaskan jalan kebenaran meskipun kemenangan bagaikan sukar untuk dicapai.

...