TAK HABIS-HABIS
Wednesday, March 31, 2010 by MAWAR BERDURI in Labels: ,

Tanpa sedar, kita telah menjengah ke bulan April. Begitu pantas masa berlalu meninggalkan kita. Kesibukan yang dihadapi sepanjang Mac membuatkan ana hanya mampu menyediakan satu post untuk dikongsi bersama-sama dengan sahabat sekalian. Namun, Insya Allah akan ana terus berusaha untuk istiqamah dalam salah satu wasilah yang ana pilih untuk mengajak sahabat-sahabat dan diri ana sendiri agar bersama-sama kita membersihkan hati kita dari kepompong-kepompong yang telah dicipta oleh mereka yang sekian lama bermusuh dengan Islam. Begitu hebat penangan perang saraf yang mereka mainkan sejak hampir seabad yang lalu sehingga hari ini kita sendiri tidak dapat melihat Islam yang sebenar di dalam masyarakat.

Bersama Ina Naim dan Setiausaha Nisa' Selangor sebagai juri dalam SOUTUCS '10 baru-baru ini. Gaya juara SOUTUCS '10. (NISA' Gombak)
...............................

Memilih untuk tidak terus membebel panjang, ingin ana kongsikan satu isu yang mungkin sudah jemu untuk diperkatakan dalam masyarakat iaitu berkaitan kes pembunuhan terancang oleh ibu bapa atau mereka yang mungkin sesuai digelarkan sebagai syaitan bertopengkan manusia (minta maaf kerana ana terpaksa menggunakan istilah yang agak keras bunyinya). Penjenayah-penjenayah ini tidak jemu-jemu melakukan pembunuhan saban hari terhadap anak-anak kecil yang telah dengan sempurna kejadiannya mahupun terhadap anak-anak yang tidak sempat untuk merasai nikmat kasih sayang di dalam rahim ibu selama 9 bulan 10 hari.

Ya Allah, lindungilah anak ini dari mereka yang bersifat lebih teruk dari binatang.

Apabila isu ini sibuk diperkatakan, perihal tunding menunding sudah menjadi kelaziman dalam melepaskan tanggungjawab di atas bahu pihak lain. Bukankah al-Quran sudah menerangkan dengan jelas dan terang bahawa kita semua ada tanggungjawab di atas segala apa yang berlaku di atas muka bumi ini. Kita semua adalah khalifah! Jadi, jangan terus salah menyalahkan antara satu sama lain. Ambillah apa-apa tindakan dengan penuh strategi bersesuaian dengan kemampuan kita untuk menjalankannya. Kerajaan dengan bidang kuasanya, masyarakat dengan anggota-anggotanya, keluarga dengan ahli-ahlinya dan diri sendiri dengan imannya.

Ana terasa geram apabila terdapat pihak bertanggungjawab yang hanya menjengahkan muka apabila masyarakat mula sibuk memperkatakan tentang sesuatu masalah sedangkan langkah pencegahan langsung tidak dimulakan sebelum masalah itu timbul. Mungkin ana tidak ada hak untuk mempertikaikan tindakan mereka yang kononnya lebih berkuasa, namun hakikatnya, semua manusia ada hak untuk memperbetulkan keadaan agar menjadi lebih baik. Prevention is better than cure. Itulah yang telah Islam ajarkan sejak berkurun lama dahulu dalam setiap perkara yang berlaku di atas muka bumi ini. Jangan sampai azab Allah swt mendahului kita. Nauzubillahimin zalik..
Ana rasa cukuplah sekadar ini ana berkongsi antara isu-isu terkini yang disiarkan di dalam akhbar mahupun di kaca-kaca televisyen khususnya di bumi Malaysia. Jika ana terus menulis, emosi mungkin telah mengatasi akal fikiran ana.

Bersama-samalah kita menyediakan jawapan melalui tindakan-tindakan kita agar kita tidak kelu andai ditanya mengenai tugas yang telah kita lakukan ketika bertemu Allah swt di Padang Mahsyar nanti..

Selamat bermuhasabah...

p/s: Terbaca berita janin di dalam botol yang mungkin digunakan untuk pemujaan.. Astaghfirullah...

ALIEN?
Sunday, March 21, 2010 by MAWAR BERDURI in Labels: ,

Pertemuan kami sekeluarga kembali diisi dengan peringatan dan nasihat pada sesi halaqah usai solat Magrib berjemaah dan bacaan Al-Mathurat. Sesi kami dimulakan dengan sesi tazkirah dari adik bongsu ana yang memperkatakan tentang masyarakat yang tidak meletakkan malu pada tempatnya. Masyarakat malu untuk menutup aurat, malu untuk ke masjid, malu untuk mendengar ilmu-ilmu agama. Namun tidak malu untuk mendedahkan aurat, bergaul bebas, berzina dan banyak lagi perlakuan-perlakuan yang hanya menjurus kepada kemudharatan sama ada di dunia mahupun di akhirat. Itulah hakikat kezaliman kepada diri sendiri dan kepada Islam itu sendiri. Majlis halaqah atau usrah kami diteruskan dengan pengisian utama dari ayahanda tercinta.

"Islam bermula dalam keadaan dagang. Dan ia akan kembali dagang. Maka beruntunglah orang yang berada dalam keterasingan." Hadith Muslim.


Kehidupan kita pada hari ini menuntut kita terus yakin dengan apa yang di bawa oleh Rasulullah saw iaitu ajaran Al-Quran dan AS-Sunnah yang rata-rata umat Islam sendiri meninggalkannya pada ketika ini. Suasana ini jelas menunjukkan kita sudah kembali kepada zaman di mana Islam itu dianggap pelik dan terasing pada pandangna manusia. Seorang muslimah yang berpakaian menutup aurat dengan sempurna dilihat bagaikan 'seorang' alien yang berasal dari planet Marikh berada di tengah-tengah jalan raya di ibu kota. Seorang muslim yang menolak ajakan seorang wanita ajnabi untuk menonton wayang berdua dilihat bagaikan kolot ataupun kuno.
Di manakah nilai Islam pada hari ini? Adakah hanya terletak di dalam Al-Quran yang berhabuk di dalam almari? Ataupun hanya di masjid-masjid mahupun surau-surau yang rata-ratanya dikunjungi oleh mereka yang sudah berusia lanjut?

Persiapkanlah diri kita untuk terus menghadapi dunia yang serba mencabar ini. Buangkanlah rasa malu taupun rasa rendah diri untuk mengamalkan Islam selagi mana belum tertutup pintu taubat. Masukkanlah diri kita dalam kalangan mereka yang beruntung kerana menjadi manusia yang ganjil di mata manusia namun mulia di sisi Allah swt. Tambah nilaikan amalan kita agar timbangan al-Mizan dapat membuka ruang syurga untuk kita di akhirat nanti.

Suka untuk ana berkongsi akan beberapa tips yang ayahanda ana kemukakan untuk kami anak-anak yang terpaksa menghadapi dunia yang penuh dengan mehnah dan cabarannya:
Jaga ibadah wajib
Besederhana dalam melakukan ibadah sunat namun cuba untuk mempertingkatkan sedikit demi sedikit sambil terus istiqamah. Sebagai contoh; membaca Al-Quran sekurang-kurangnya satu muka sehari, berqiamullail sekurang-kurangnya sekali seminggu, mengamalkan al-Mathurat pada pagi dan petang dan berpuasa sunat Isnin dan Khamis.

Lakukanlah mengikut kemampuan terlebih dahulu dan cuba untuk mempertingkatkan hari demi hari sambil berdoa agar terus diberikan kekuatan. Juga berusahalah mencari sahabat yang soleh dan solehah agar pesanan dan nasihat terus menyokong usaha kita. Insya Allah, Allah swt akan terus melindungi kita daripada fitnah dunia apabila keikhlasan mengiringi setiap amalan.

Halaqah diakhiri dengan Surah Al-Asr dan tasbih kaffarah.

p/s: Pening bila memikirkan persoalan-persoalan yang masih tidak ditemui jawapannya

My photo
Menitikberatkan perjuangan yang jitu semata-mata berlandaskan jalan kebenaran meskipun kemenangan bagaikan sukar untuk dicapai.

...