MAKAN TAK KENYANG..
Monday, March 30, 2009 by MAWAR BERDURI in Labels:


Saat itu kian menghampiri. Tidak hairanlah kalau dilihat ada yang tidak mampu mengukirkan senyuman. Malah ada juga yang mula tidak tidur malam.. Semua ini disebabkannya..

FINAL EXAM!!

Ya, itulah yang membawakan satu suasana yang menyebabkan makan tak kenyang, tidur tak lena, dan mungkin mandi tak basah. Manakan tidak. Below 35, mungkin diri ini tidak mampu menjejakkan kaki di sana..

p/s: Ya Allah, kiranya ada rezekiku di sana, Kau kuatkanlah hatiku untuk menempuh segala mehnah yang mampu mencabar iman di dalam diriku ini...

DAMAINYA SANG BAYU...
Tuesday, March 10, 2009 by MAWAR BERDURI in Labels:


Hari Jumaat yang lalu, ana dan 4 orang sahabat yang lain(Nina, Diyana, Maya dan Jes) bersama-sama mengadakan rehlah di Pantai Port Dickson. Bukanlah bertujuan untuk membuang masa tetapi hakikat kebesaran Allah itulah yang ingin dihayati. Cuaca yang agak mendung pada mulanya sedikit sebanyak hampir mematahkan hasrat yang telah bersemi di hati kami. Namun yakin akan segalanya di bawah kekuasaan Allah, kami tetap meneruskan apa yang telah dirancang. Berbekalkan tawakkal kami memulakan perjalanan dengan doa agar dipermudahkan segala urusan.

Alhamdulillah, sepanjang perjalanan ke sana, kami tidak mengalami sebarang masalah. Namun, kami hampir diduga dengan ketiadaan bas semasa hendak pulang ke kolej. Segala puji bagi Allah sekali lagi kerana kami sempat menahan sebuah teksi yang sanggup membawa kami pulang ke Seremban walaupun terpaksa berhadapan dengan risiko saman! 6 orang termasuk pemandu dalam sebuah teksi.. Memandangkan perjalanan ke Kolej MARA Seremban mengambil masa hampir 1 jam, kami berbual-bual dengan pak cik driver. Rupa-rupanya, pak cik tersebut adalah seorang bekas major dalam ketenteraan di Sarawak. Kami khusyuk mendengar beliau mengimbau kenangannya semasa berkecimpung sebagai seorang tentera sambil menyelitkan latar belakang keluarganya. Moga-moga ada nasihat yang boleh diambil.

..............................................................

"Wei, kesian la kat balak aku yang sorang lagi." "Kenape lak?" "Ye la. Aku ade balak yang lain." "Balak aku suka aku dye rambut." "Tu la, balak aku pun macam tu. Boring la colour hitam."

"Bagilah balak aku jalan! Kalau tak, siap kau nanti."

................................................................

Astaghfirullah.. Begitulah antara dialog-dialog yang ana terdengar semasa di dalam bas untuk ke Port Dickson. Apa yang pasti, kata-kata tersebut datangnya daripada 2 orang pelajar sekolah menengah perempuan yang bertudung yang juga kebetulannya hanya selang satu tempat duduk dari ana dan sahabat-sahabat yang lain.

Inilah realiti yang berlaku dalam kalangan remaja Muslim hari ini. Hanya dengan beberapa dialog sahaja, kita dapat melihat parahnya jiwa-jiwa remaja yang bakal menjadi generasi yang akan memimpin negara suatu hari nanti. Akhlak yang ditonjolkan jauh menyimpang dari contoh yang telah ditunjukkan oleh Junjungan Besar Muhammad s.a.w. pada zaman remaja baginda. Dapatlah kita lihat satu kerugian di situ. Alangkah baiknya sekiranya remaja Muslim kita pada hari ini sibuk membincangkan masalah ummat yang berlaku di seluruh dunia. Tiada istilah 'nampak tua' sekiranya mereka mempunyai pandangan yang matang dalam isu-isu yang melanda masyarakat pada hari ini. Usamah bin Zaid telah diangkat oleh Rasulullah s.a.w. untuk menjadi panglima perang ketika usianya tidak melebihi 20 tahun. Bagaimana pula dengan remaja kita?

p/s: Kami bawa bekal makanan dari DS. Nak jimatlah katakan...

PENGHUJUNG DUNIA.....
Thursday, March 05, 2009 by MAWAR BERDURI in Labels:

Salam perjuangan...

Cuti 4 hari sempena Nadwah Kepimpinan Islam sudah pun menjelma. Kehangatan warga
kolej untuk meraikan sahabat-sahabat dari kolej yang lain kian terasa.

Teringat kembali saat ana bersama beberapa orang sahabat yang lain bersama-sama menyertai
program yang sama di KPM Branang. Sebelum ke sana, kami memang bersemangat mengharapkan sesuatu yang dapat dibawa balik untuk diaplikasikan dalam usaha pentarbiyahan di kolej. Namun, apa yang diharapkan tersebut ternyata hanya indah khabar pada rupa.
Tidaklah ana menyalahkan para penganjur memandangkan program itu julung-julung kali diadakan di bawah MARA.

Kolej MARA Seremban menyahut cabaran untuk menganjurkan program ini secara sukarela walaupun kekangan demi kekangan terpaksa dilalui. Ana mengharapkan kolej ana yang dicintai ini dapat mencetuskan revolusi baru dalam program Nadwah Kepimpinan ini.

.......................

Zaman sekolah dahulu, ana pernah juga menyertai Nadwah Kepemimpinan Islamiyah SBP yang diadakan di SBPI Rawang. Seronok! Itulah yang dapat ana gambarkan. Pada program itulah ana dipertemukan dengan Qurratul Ain, sahabat ana pada hari ini. Ana masih rindukan biah solehah yang terdapat pada program tersebut. Mengadakan usrah yang dikepalai oleh Ukhti Syafiqah dari KISAS di dalam bilik sebelum melelapkan mata, merapatkan ukhwah di antara kami meskipun kami datang dari pelbagai ceruk di bumi Malaysia ini. Setiap program yang diasingkan di antara ikhwah dan akhawat termasuklah dalam slot jungle tracking. Pada ketika itulah buat pertama kalinya ana melakukan flying fox!

.................................

Apa yang dapat dilihat pada hari ini, masyarakat mula berlumba-lumba untuk melakukan sesuatu yang dapat mengembalikan syiar Islam di atas muka bumi ini. Pelbagai program mahupun aktiviti dilakukan agar anggota masyarakat terutamanya golongan remaja kembali mengamalkan Islam secara totalnya. Amat dihargai usaha demikian.

Namun demikian, jika dilihat secara realitinya, mengapakan golongan masyarakat masih terumbang ambing malah makin teruk dari hari ke hari. Adakah fitnah dajjal mula meresapi jiwa masyarakat pada hari ini? Kerisauan makin meningkat tatkala melihatkan kerosakan demi kerosakan bukan sahaja berlaku dalam kalangan mereka yang bukan Islam. Malah, dalam kalangan ummat Islam itu sendiri.
Program keagamaan makin meningkat sedangkan nilai moral masyarakat makin merundum selari dengan suasana ekonomi dunia pada hari ini.

Tidak perlu kita melihat di negara lain kerana di dalam bumi Malaysia ini sendiri, kerosakan itu semakin parah dalam masyarakat. Bermula dengan pucuk kepimpinan dengan isu rasuahnya sehinggalah meresapi golongan pelajar sekolah dengan isu bulinya. Parah dan nazak! Itulah yang dapat digambarkan akan situasi masyarakat pada hari ini.

Jadi, apakah resolusinya? Adakah hanya dengan berkata-kata, kita mampu mengubah situasi yang berlaku pada hari ini?
Kembalilah kepada Islam yang tulen. Betulkan masyarakat dengan pegangan aqidah yang betul. Mulakan dengan mereka yang berada di sekeliling kita. Di samping itu, jangan dilupa.
Islam tidak akan tertegak di atas muka bumi ini selagi tidak tertegaknya Islam dalam diri kita.

p/s: Ya Allah, masukkanlah diriku di dalam kalangan mereka yang berjuang untuk kemenangan Islam pada akhir zaman ini.

My photo
Menitikberatkan perjuangan yang jitu semata-mata berlandaskan jalan kebenaran meskipun kemenangan bagaikan sukar untuk dicapai.

...